Muzakarah Raja Nazrin Shah 2018 anjuran Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan yang diurusetiakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak telahpun melabuhkan tirai. Resolusi telahpun dibentangkan di hadapan YAB Menteri Besar Perak yang sewajarnya akan memperhalusi setiap resolusi bagi melihat kesesuaiannya untuk dilaksanakan dan menjadi dasar dan keutamaan pihak kerajaan. Inilah objektif tertinggi perlaksanaan Muzakarah ini yang membawa tajuk ; Kepimpinan dan Kekhalifahan, Gagasan Konstruktif Ulama' dan Umara'. Muzakarah membuka tirainya dengan pembentangan Prof. Dato' Dr. Ridzuan Othman, yang membicarakan mengenai Empayar Othmaniah dan pengaruhnya kepada dunia Melayu. Sejarah telah mencatatkan kisah bagaimana Laksamana Hang Tuah telah melakukan pengembaraan ke Istanbul bagi membeli meriam dan singgah mengerjakan Haji di Mekah. ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa adanya kaitan dan mungkin juga penyerahan wala' Kerajaan Melaka kepada Empayar Othmaniah.
Pembentangan seterusnya lebih menumpukan kepada konsep ketaatan kepada raja dan sultan serta bagaimana seharusnya sebagai rakyat kita mentaati segala perintah raja dan pemerintah. Hal ini telah ditegaskan dengan penuh keyakinan oleh Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Emeratus Dato' Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Bin Abdul Majid yang mengatakan; "Bersatu mentaati peminpin yang tidak baik lebih baik dari berpecah di bawah pemimpin yang baik" Juga disoroti sejarah peranan kesultanan Melayu dalam memperkasakan peranan ulama' dan bagaimana ulama' menjadi "mastermind" dalam membantu umara' membina ketamadunan umat. Ketandusan kepimpinan Umat Islam di peringkat dunia telah cuba disogokkan oleh mantan Pengerusi ABIM, Ahmad Azam Abdul Rahman, dengan kehebatan Recep Tayyib Erdogan, Presiden Turki yang dikatakan sebagai memiliki ciri-ciri untuk dinobatkan sebagai Pemimpin Dunia Islam pada masa ini.
Berbeza dengan Muzakarah yang sama beberapa tahun yang lalu, Muzakarah kini tidak memberi banyak peluang untuk membincangkan setiap isu dan fakta secara lebih meluas. Dengan keterbatasan waktu bagi sesi dialog, malah ianya masih menjadi medan bagi "golongan politician" melontarkan soalan yang sebenarnya merupakan sindiran terhadap kepincangan kerajaan. Kini tiada lagi sesi perbincangan berkumpulan ataupun sidang pleno bagi merumuskan resolusi. Resolusi hanya diamanahkan kepada ilmuan Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar bagi merangka dan akhirnya dibacakan oleh Rektornya, Dato' Dr. Nordin Kardi. Maka samada setuju atau tidak maka para peserta terpaksa menelan apa sahaja yang disuapkan tanpa sebarang perbahasan yang komprehensif.
Terdapat 2 perkara utama yang ditekankan pada Muzakarah ini iaitu bagaimana seharusnya peranan yang perlu dilaksanakan oleh Pemerintah, Ulama dan Rakyat di bawah. Persoalan kedua adalah perlunya Kepimpinan Umat Islam ditonjolkan dan ditaati oleh kesemua negara Islam pada hari ini. Persoalan ketaatan kepada pemerintah adalah suatu yang mempunyai dasar yang telah ditegaskan dalam Al-Quran iaitu :
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ
مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ
كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
(النساء:59)
Ayat ini secara jelas menolak dasar ketaatan mutlak terhadap raja dan pemerintah. Dunia sudah secara umumnya menolak sistem perhambaan yang menjadikan ada manusia yang boleh bercakap dan melakukan apa sahaja dalam masa yang sama ada manusia yang perlu menerima apa sahaja seolah-olah mereka tidak mempunyai jiwa dan rasa. Bangsa Melayu adalah satu bangsa yang amat menghormati institusi kesultanan daripada dahulu sehingga kini. Namun raja dan sultan yang dihormati dan ditaati ini tidak mungkin diwakili oleh Sultan Mahmud yang mangkat dijulang, Sultan Alam Shah Bana yang digambarkan oleh Tan Sri P. Ramlee sebagai raja yang memberi perintah dan hukuman sesedap mulutnya sahaja. Apatah lagi Raja anak buloh betung dan Raja Bersiong yang bermaharajalela dan menyiksa rakyat jelata.
Tamadun dan Sejarah Bangsa Melayu telah memberikan contoh terbaik bagaimana pelaksanaan ketaatan ini dapat dilaksanakan. Malangnya Orang Melayu hanya banyak menonjolkan Laksamana Hang Tuah sebagai wira dan tokoh besar dalam membina tamadun Melayu. Walaupun jasa dan bakti Hang Tuah terlalu banyak namun ianya dicemari dengan ketaatannya kepada raja sehingga menjadi dalang dalam memenuhi kehendak nafsu syahwat sultan dan raja ketika itu. Walaupun Hang Jebat dikagumi anak muda dengan semangat membela rakyatnya, namun dia terpalit dengan peristiwa amuk yang juga membunuh rakyat serta isu perselingkuhan yang begitu kabur dan paling tidaknya terlibat dengan perlanggaran peraturan pernikahan. Hero dan Wira sebenar Melayu dalam empayar Melaka adalah Bendahara Tun Perak yang menjadi tulang belakang kepada beberapa orang sultan. Beliaulah yang menaikkan nama Hang Tuah dan beliau jugalah yang mampu menjatuhkannya. Tidak sebagaimana Hang Tuah, Bendahara Tun Perak telah menunjukkan kaedah praktikal dalam mentaati dan mengengkari Sultan sebagaimana yang berlaku ketika berlakunya fitnah terhadap Hang Tuah. Tanpa kebijaksanaan Tun Perak ini entah bagaimanalah berakhirnya kisah pemberontakan Hang Jebat. Siapakah yang mampu menewaskan Hang Jebat melainkan Hang Tuah pada ketika itu. Maka kita melihat bahawa betapa bijaksananya Bendahara Tun Perak yang memiliki sudut pandang yang begitu jauh dan mengajar kita bahawa ketaatan kepada raja bukanlah ketaatan yang mutlak tetapi harus dihadapi dengan pertimbangan akal dan iman.
Semua orang bersetuju perlu ada seorang pemimpin yang akan mengetuai umat Islam di dunia hari ini. Sememangnya secara asasnya kita melihat negara-negara Umat Islam kini dipimpim oleh para pemimpin yang dayus dan bacul sehingga dunia seolah-olah tidak mengetahui sebarang pendirian negara Islam walaupun kita sudah ada Liga Arab, OIC dan seumpamanya. Dalam suasana ketandusan ini, lahirlah Erdogan yang memukau umat Islam di seluruh dunia dengan kelantangan dan keberaniannya membantu Umat Islam di seluruh dunia dan menyuarakan suara alternatif kepada dunia barat. Namun dalam keadaan negaranya yang masih belum pulih dari cengkaman Sekularisme yang melampau maka mampukah beliau untuk memainkan peranan yang amat besar ini. Dengan bebanan sejarah yang memperlihatkan bagaimana musuh Islam pernah bersatu meruntuhkan Khilafah Othmaniah di bumi tersebut, maka apakah mereka hanya akan berdiam diri menghadapi kelahiran bibit-bibit kekhalifahan baru di bumi tersebut. Maka apakah bijak jika kita mencanang-canangkan Turki sebagai Pemimpin Islam Sedunia melainkan kita hanya menambahkan beban beliau yang bukan sahaja menghadapi cabaran luar malah yang paling beratnya adalah cabaran dalaman dalam negaranya sendiri.
Maka umat Islam seharusnya mencari kepimpinan yang bukan sahaja diterima oleh semua pihak dan tidak begitu menjadi target dan sasaran musuh. Dunia Arab sudah begitu lama menunjukkan perkembangan yang begitu menyedihkan. Mereka berhadapan dengan perang saudara dan persengketaan sesama sendiri di samping kesangsian antara negara beraja dan negara demokrasi. Maka tidak ada sebarang harapan yang boleh diletakkan kepada mereka yang bukan sehaja tidak mampu malah diperkotak katikkan oleh Israel yang di kelilingi oleh mereka. Buat masa ini kita melihat kepada dunia Melayu yang sebenarnya mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang hebat walaupun sebahagiannya sudah begitu lama terpisah dari kita. Bagaimanakah cara dan kaedah merealisasikannya maka lebih banyak muzakarah, seminar, perbincangan meja bulat dan seumpamanya ke arah itu.
1 comment:
Post a Comment