Thursday, October 05, 2017

Masjid Bukan Jabatan Kebajikan Masyarakat

Dunia maya telah menjadikan setiap detik peristiwa yang berlaku di seluruh muka bumi ini dapat dikongsi bersama oleh seluruh warganya. Sebahagian dari perkongsian ini membawa berbagai kebaikan dan manfaat  kepada manusia sedangkan sebahagiannya pulak membawa keburukan serta mengeruhkan suasana kepada sesetengah pihak.
Antara isu yang sering tular di dunia maya adalah mengenai kemiskinan dan kemelaratan sebahagian manusia yang menggambarkan seolah-olah tiada pihak yang bersimpati dan membantu.  Antara pihak yang sering menjadi mangsa kritikan, sindiran dan tohmahan awam dalam menangani isu sebegini adalah pihak masjid ataupun Ahli Jawatankuasa Masjid. Masjid digambarkan sebagai satu institusi yang hanya pandai mengumpul duit dari ehsan orang ramai, menyimpan dan bermegah dengan banyaknya simpanan masing-masing. Dengan ayat yang lebih kasar masjid dikatakan hanya pandai menggemukkan badan, tanpa menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling yang memerlukan bantuan dari mereka.
Persoalan yang timbul adalah, benarkah masjid sebagai satu-satunya pihak yang bertanggungjawab bagi menangani isu seperti ini ?. Pihak manakah lagi yang wajar memikul tanggung jawab tersebut ? Apakah perkara ini menjadi salah satu peranan dan fungsi masjid ? Apakah perkara ini menjadi keutamaan pertama dalam peranan dan fungsi masjid ?
Persoalan-persoalan ini akan dapat dirungkaikan dengan kita melihat kepada fungsi masjid sebagaimana yang telah dilaksanakan di zaman Rasulullah saw dan para sahabat serta perbandingan dengan fungsi masjid di masa kini. Berdasarkan realiti ini timbul beberapa persoalan yang berkisar antara lain; perlukah fungsi dan peranan masjid pada masa kini dikembalikan semula peranan dan fungsinya sebagaimana masjid di zaman Rasulullah saw dan para sahabat ? Apakah wajar dan apakah kekangan bagi melaksanakan usaha tersebut ? Apakah usaha pengembalian tersebut sebagai satu peningkatan dan perkembangan yang baik atau ianya hanya sebagai satu langkah ke belakang yang tidak lagi relevan dengan perkembangan zaman ?.


Masjid pertama yang dibangun oleh Rasulullah Saw. adalah Masjid Quba’, kemudiannya disusuli dengan Masjid Nabawi di Madinah. Inilah yang disifatkan oleh Allah dalam firmanNya :
.......لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ (108)
Sesungguhnya mesjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.
Walaubagaimanapun Masjid Nabawi di Madinah telah dijadikan sebagai sebuah masjid yang sempurna dari segi fungsi dan peranannya ketika itu. Sejarah mencatat tidak kurang dari tujuh peranan utama yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw  di Masjid Nabawi, yaitu:
1. Pusat ibadah khusus.
      Rasulullah saw menjadikan masjid sebagai pusat ibadat khusus seperti solat dan berzikir bersama para sahabat. Ibadat secara berjemaah amat dititikberatkan dan kebanyakannya dilaksanakan di masjid.
2. Pusat Pendidikan.
           Rasulullah saw mengajar dan mentarbiah para sahabat di masjid sehingga mereka lahir sebagai tokoh-tokoh akademik yang begitu hebat dan berwibawa.
3. Pusat Maklumat dan Penerangan.
           Rasulullah saw memaklumkan segala perkembangan dan keperluan semasa kepada seluruh penduduk Madinah melalui mimbar.
4. Pusat Aktiviti Ketenteraan.
           Rasulullah saw turut mengisytiharkan peperangan dan menjadikan masjid sebagai tempat merangka dan merancang strategi peperangan.
5. Pusat Pengadilan.
           Rasululllah saw menghakimi setiap perbalahan dan menjatuhkan hukum bagi umat Islam mendapatkan keadilan di masjid.
6. Pusat Tahanan Tawanan.
           Rasulullah saw pernah menambat tawanan perang di tiang masjid.
7. Pusat Kegiatan Ekonomi.
           Perkarangan masjid juga dijadikan sebagai pusat perkumpulan masyarakat di samping mereka berjual beli di masjid.
 Secara umumnya jika dinisbahkan kepada dunia moden hari ini, masjid bukan sahaja mempunyai satu fungsi untuk beribadat semata-mata, malah merangkumi berbagai fungsi. Ini bermakna masjid juga berfungsi sebagai sebuah universiti, Kementerian Penerangan dan Komunikasi, Kem Tentera, Mahkamah, Penjara dan Pasaraya.
Berdasarkan apa yang disenaraikan, fungsi di atas telahpun dikembangkan dengan penubuhan institusi masing-masing yang lebih kemas, fokus dan selesa. Sebagai contohnya, pengwujudan universiti dan institut pengajian tinggi telah meletakkan taraf pendidikan masyarakat di bidang akademik pada tempat yang sewajarnya. Di sini para ilmuan dikumpulkan bersama para penuntut agar mereka boleh menumpukan segala aktiviti berkaitan akademik. Tinggallah masjid menjadi pelengkap kepada keperluan ilmiah masyarakat bagi golongan yang tercicir dari arus pendidikan perdana. Masjid menyediakan ruang dan peluang bagi mereka yang dahagakan ilmu agama yang mungkin tidak dapat dipelajari secara khusus dan terperinci. Kesibukan tugas seharian menjadikan mereka hanya mempunyai senggang waktu tertentu sahaja bagi mendapatkan ilmu agama. Ruang inilah yang perlu dimanfaatkan oleh para pentadbir masjid bagi memenuhi keperluan golongan ini. Perkembangan semasa memperlihatkan masjid turut dilibatkan dalam menyebarkan ilmu-ilmu lain selain ilmu agama walaupun secara umumnya tidak begitu menepati kesesuaian pembelajaran ilmu tersebut mahupun budaya hidup masyarakat Islam tempatan.
Jika ditinjau daripada suasana yang sudah ada pada hari ini, tidak mungkin mana-mana pemikiran yang waras merasakan munasabahnya jika dikembalikan segala fungsi universiti, mahkamah, kem ketenteraan, Jabatan Penerangan dan Pasaraya ke masjid walaupun dibina sebuah masjid yang begitu besar untuk menempatkan kesemua keperluan tersebut.
Oleh yang demikian, begitu jugalah dengan tanggung jawab sosial dan kemasyarakatan yang kini telah dilaksanakan dengan jayanya oleh berbagai pihak seperti Kementerian Kewangan, Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Basmi Kemiskinan dan agensi seumpamanya. Apakah wajar bila wujudnya satu kes terpencil gelandangan, maka pentadbir masjid terus diherdik dan dimaki hamun seolah-olah tidak wujudnya berbagai agensi yang mengangani masalah tersebut.
Sebenarnya bukanlah menjadi satu halangan bagi pihak masjid untuk membantu umat Islam yang menghadapi kesulitan kewangan apatah lagi di kalangan ahli kariah mereka sendiri. Walaubagaimanapun masyarakat juga perlu melihat bahawa masjid mempunyai senarai peranan yang berbagai dan ianya harus dilaksanakan mengikut keutamaan yang ditentukan Syarak.  Begitu juga dalam urusan membasmi kemiskinan, terdapat keutamaan pihak yang harus bertanggungjawab dan masjid bukanlah berada di keutamaan yang terawal. Oleh yang demikian tidak wajar sama sekali pihak masjid dipersalahkan jika ianya berlaku di dalam kariah mereka. Apatah lagi membandingkan masjid dengan gereja yang kononnya lebih mudah membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.
Di antara fungsi dan peranan terpenting bagi masjid adalah bagi membolehkan Umat Islam beribadat dengan sah, aman dan selesa. Oleh yang demikian apa sahaja usaha ke arah itu adalah merupakan keutamaan utama masjid. Penggunaan sumber kewangan masjid hendaklah memberi keutamaan bagi membolehkan ibadat dilaksanakan dengan sah, aman dan selesa. Sebagai contohnya, adalah wajib bagi menjadikan sahnya Solat Jumaat, rukun-rukun khutbah didengari oleh 40 orang jemaah. Maka sistem audio masjid hendaklah disempurnakan agar sekurang-kurangnya terdapat 40 orang yang boleh mendengar khutbah dikumandangkan.  Maka janganlah ada lagi masjid yang masih lagi menggunakan mikrofon yang berikat dengan tali atau getah kerana ini hanya menunjukkan kesilapan mereka dalam mematuhi keutamaan ketika berbelanja. Bagi sesetengah orang atau sesetengah masa dan keadaan, terdapat jemaah yang menghadapi masalah bagi menahan diri dari melepaskan hajat samada kecil mahupun besar. Bagi mereka, terpaksalah bergegas balik ke rumah dan mungkin terlewat bagi mendapatkan Takbiratul Ihram bersama imam ataupun mungkin akan terlepas solat berjemaah terus. Maka wujudnya keperluan untuk dibina tandas dan tempat wudhuk di masjid. Maka kewangan masjid hendaklah digunakan bagi tujuan tersebut dan seterusnya mengikut keutamaan lain seperti pengajian, program kemasyarakatan dan sebagainya.      
Sebenarnya ada titik pemisah yang harus diikuti oleh para pentadbir masjid dalam menguruskan kewangan masjid. Dalam masa yang sama orang awam juga wajib memahami bahawa pentadbir masjid terikat dengan amanah yang digalas daripada para penderma dan pewaqaf. Mereka tidak mempunyai wenangan dalam berbuat apa sahaja atas nama masjid, ataupun menggunakan kewangan masjid secara sembrono. Kita harus melihat dari sudut diri kita sendiri, jika kita yang menyumbangkan kewangan kepada masjid, apakah kita redha dengan penggunaannya. Secara umumnya, mereka yang menyumbang pastinya membayangkan bahawa wang mereka akan digunakan bagi mewujudkan suasana dan persekitaran masjid yang selesa. Mereka secara umumnya membayangkan bahawa wang mereka akan digunakan bagi keperluan ahli kariah mereka, bukan orang diluar apatah lagi mereka yang berbeza agama dengan mereka.
Oleh yang demikian, jika pihak pentadbir masjid hendak menggunakan kewangan masjid secara yang berbeza, maka hendaklah mereka mengisytiharkan kepada awam melalui kutipan-kutipan berasingan. Ini termasuklah bantuan kepada saudara-saudara kita yang berada di luar Negara seperti Palestin, Syria, Myanmar dan sebagainya. Pentadbir masjid hendaklah mengadakan kutipan khusus bagi tujuan tersebut tanpa bermudah-mudah dengan mengambil daripada tabung simpanan biasa hasil dari kutipan mingguan setiap Jumaat.
 Kesimpulannya, kita hendaklah mengambil jalan tengah di antara sikap sesetengah pentadbir masjid yang begitu sukar untuk membelanjakan tabungan masjid dan para pentadbir yang begitu bermudah dengan urusan tersebut. Memang ada sebahagian dari pentadbir yang lebih berbangga dengan banyaknya simpanan mereka di institusi-institusi kewangan sedangkan keperluan ahli kariah tidak langsung dipedulikan. Setiap sen kewangan masjid tidak harus disimpan kerana ianya bukan untuk diwariskan. Bendahari masjid yang baik bukanlah bendahari yang pandai berjimat dan menyimpan duit, tetapi bendahari yang pandai menggunakan duit mengikut ketentuan Allah dan RasulNya.

Semoga dengan ini tidak akan ada lagi suara-suara sumbang yang menghina pentadbir masjid tanpa asas yang kukuh apatah lagi membanding-bandingkannya dengan gereja yang pengurusannya tidak terikat dengan sebarang hukum hakam tuhan. Masjid boleh memberikan bantuan kepada yang memerlukan secara sementara sebelum mereka mendapat bantuan yang sepatutnya. Namun Masjid Bukanlah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang akan menanggung mereka seumur hidup dengan kewangan yang diwujudkan bukan dengan tujuan tersebut hanyalah semata-mata pengkhianatan kepada amanah ummat yang tidak sewajarnya dilakukan. Semoga kita mampu memahami dan menjalankan peranan masing-masing dan tidak menyerahkan sesuatu peranan kepada pihak yang tidak sepatutnya. In sya Allah Umat Islam akan menjadi satu umat yang hebat dan cemerlang jika semua pihak menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Wallahu A’lam Bis Sowab.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...