Pertama kali memasuki wad aku telah diterangkan dengan baik mengenai rawatan angiogram. Aku telah diterang mengenai risiko dan kelebihannya oleh misi di wad CCU, Taiping. Wad tersebut memang menempatkan misi yang begitu baik, cekap dan menyenangkan. Namun aku hanya berada di sana dalam masa dua hari semata-mata. Di sanalah aku mengambil keputusan untuk menjalani rawatan tersebut walaupun aku memohon ditangguhkan sehinggalah isteriku selesai melahirkan anak.
Malangnya apabila berpindah ke wad biasa, aku menjadi pelik bila ditanya dengan berbagai persoalan yang sama. Antara penerangan yang dinyatakan adalah prosedur angiogram ini boleh diadakan di Ipoh dan Penang selain daripada di IJN. Walaubagaimanapun 6 bulan diperlukan bagi mendapatkan rawatan di Ipoh. Aku hanya mampu menyerahkan kepada mereka untuk menguruskannya dan aku hanya bergantung kepada nasib.
Setelah beberapa hari dalam wad tanpa ada sebarang perkembangan, aku mengambil keputusan memohon pertolongan sahabat yang berada di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan di IJN. Beliau meminta aku mendapatkan surat atau laporan daripada hospital bagi dikemukakan ke IJN. Aku sudah menjangkakan masalah yang akan timbul bagi mendapatkan surat tersebut. Aku cuba berbincang dengan doktor yang merawatku. Dia mengatakan IJN takkan melayan sesiapa yang pergi sendiri tanpa rujukan daripada hospital. Aku mengatakan aku mempunyai seorang kawan yang boleh membantu menguruskannya. Malangnya aku ditempelak dengan katanya : "Kalau dah ada orang boleh tolong buat je lah", sekaligus mematikan harapanku mendapatkan pertolongannya. Aku hanya mendiamkan diri dan memendam rasa menghabiskan masa di dalam tanpa sebarang perkembangan yang memberangsangkan.
Sedang aku mengelamun menantikan hari untuk discharge dari wad, datang seorang nurse memberikan perkhabaran bahawa aku akan dibawa ke Ipoh untuk rawatan angiogram. Rupanya isteriku sudah menghubungi Dato' Ikram, sahabatku yang merupakan bekas Pengarah Kesihatan bagi mengatasi masalah tersebut. Doktor yang sama ditugaskan mengiringiku dan isteri ke Hospital Ipoh pada petang tersebut. Di sana aku ditempatkan di wad ICL bagi menunggu giliran dan menjelang jam 9 malam aku menerima rawatan yang sewajarnya. Aku bersyukur ke Hadrat Allah yang telah melorongkan jalan bagi aku mendapatkan rawatan sewajarnya. Aku bersyukur kerana masih mempunyai teman-teman yang mempunyai pengaruh yang mampu membantu. Alangkah sukarnya manusia biasa yang hanya mengenali insan biasa semata-mata untuk mendapatkan hak mereka seadanya. Perkara ini amat asing bagiku kerana aku bertugas di Jabatan Agama Islam Perak. Kami tidak pernah membiarkan masyarakat terbiar tanpa sebarang panduan bagi mendapatkan perkhidmatan kami. Jika terdapat sebarang kekurangan kami akan membantu untuk melengkapkan permohonan agar mereka boleh mendapatkan perkhidmatan kami. Kami juga memberikan keutamaan bagi sesetengah kes tetapi kami tidak pernah menghalang sebarang keperluan golongan marhain untuk mendapatkan perkhidmatan.
Mudah-mudahan kesihatan yang diberikan oleh Allah kepadaku nanti akan menambahkan kuupayaanku bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
No comments:
Post a Comment