Thursday, December 18, 2008

HARI KELUARGA MASJID SULTAN IDRIS SHAH 11

Sabtu, 13 Disember 2008 – Dengan aturcara seawal jam 7.00 pagi, kami sekeluarga meninggalkan rumah untuk berkumpul di Masjid Negeri. Namun sebagaimana yang dijangkakan, semua yang terlibat seolah-olah ingin membuktikan bahawa mereka memang “Melayu Tulen” dan sentiasa berpegang teguh kepada “Janji Melayu”.

Walaupun dua tempat berkumpul ditentukan, pukul 10.00 di R&R Tapah dan 1.00 tgh di R&R Dengkil, masih gagal memastikan konvoi yang dirancang diikuti semua yang terlibat. Akhirnya semua keluarga sampai di Air Keroh Resort lebih kurang jam 2.00 petang. Resort ini terletak di kawasan Taman Mini Malaysia/Asean. Kami pernah menginap di sini ketika menghadiri majlis perkahwinan Faisal kira-kira 8 tahun dulu.

Kepenatan memandu secara bersopan menyebabkan sepanjang petang dihabiskan dengan membuta di bilik. Oleh kerana malam tidak ada acara rasmi yang diaturkan maka kami bertolak ke Bandaraya Melaka untuk menghabiskan masa. Sekalung tahniah atas kehebatan Kerajaan Negeri Melaka dalam mempromosikan negeri ini sebagai pusat pelancungan bertaraf antarabangsa. Berbagai projek pelancungan baru yang menakjubkan seperti River Cruise, Eye On Malaysia, Menara Tamingsari dan sebagainya.
Kami menelusuri Sungai Melaka dengan bermandikan neon yang bergemerlapan dengan menaiki bot yang boleh membawa kira-kira 40 orang dalam satu masa. Bayaran dewasa sebanyak RM 5.00 dan kanak-kanak sebanyak RM 2.00 dirasakan amat berpatutan. Walaupun aku merasakan terlalu banyak wang yang dibelanjakan semata-mata untuk membolehkan rakyat bercanda dan menghabiskan masa, namun ianya jauh lebih baik daripada Bandaraya Ipoh yang tak tau apakah sebenarnya bahan pelancungan yang ada. Mungkin Tajol Rosli perlu menghadiri kursus khas dengan Ali Rustam sebelum hajat kembali memerintah Perak Darul Ridzuan dimakbulkan tuhan. Aku tak pasti apakah semua projek ini dibiayai kerajaan atau ditampung oleh swasta. Namun apa yang pasti beratus juta perlua dibelanjakan. Timbul tandatanya di dalam fikiran, apakah kelulusan yang sama akan diberikan jika aktiviti keagamaan atau keilmuan yang akan dianjurkan. Sepanjang berpengalaman berurusan dengan Pejabat Kewangan Negeri berbagai karenah perlu dihadapi. Sebagai contoh berbagai rungutan dan leteran yang kami terima untuk menjemput kumpulan nasyid membuat persembahan dalam mana-mana program agama walaupun artis semahal Siti Nurhaliza biasa membuat persembahan di majlis sambutan Hari Raya dan sebagainya.

Pagi Ahad, 14 Disember 2008, sebuah bas disediakan untuk aktiviti rombongan. Lokasi pertama dilawati adalah perigi Hang Tuah. Ketika kami sampai ada satu keluarga yang sedang mengambil wudhu’ menggunakan air jernih yang ditimba. Mungkin berbagai khurafat timbul yang dikaitkan dengan khasiat air telaga tersebut. Orang Melayu terlalu sukar memisahkan diri dari unsur-unsur sedemikian rupa. Di bahagian belakang ada sebuah rumah seni bina Melaka yang dimiliki oleh satu keluarga. Malangnya bayaran RM 1.00 dikenakan untuk masuk ke dalamnya. Malah untuk mengambil gambar juga dikenakan bayaran entah berapa. Ini benar-benar menghilangkan mood kami untuk masuk ke dalam. Bukan sangat kerana mahalnya bayaran tetapi terkilan dengan sikap tuan rumah yang terlalu mengambil kesempatan.

Lawatan seterusnya diteruskan ke River Cruise untuk menaiki bot. Kemudiannya kami menaiki Menara Tamingsari. Sebelum balik ke Resort untuk makan pada jam 3.00 ptg, kami menghabiskan masa menaiki beca melawat tempat-tempat bersejarah di Banda Hilir. Petangnya Dato’ Sheikh ajak main futsal. Walaupun terlalu lama tak menyepak bola, namun sejarah terukir bila aku berjaya membuat rembatan untuk gol terakhir pada petang itu. Malam ada barbeque makan malam dengan persembahan menarik bacaan ayat Kursi oleh anak Imam Azam dan doa oleh anak Imam Aziz.
Pagi ada sukaneka diadakan.Sebelum makan jam 12.00 tgh dan check out, kami mengambil kesempatan melawat Taman Mini Malaysia. Bayaran RM 10.00 dewasa dan RM 5.00 kanak-kanak dikenakan.
Kami meneruskan percutian ke Negeri Johor Darul Takzim. Aku memilih untuk mengikuti jalan biasa untuk ke Johor Bharu. Kami mengikuti perjalanan pesisir pantai melintasi Muar, Batu Pahat dan Pontian. Kami menemui nelayan yang menjual belangkas di Pantai Minyak Beku kira-kira 20 km daripada Batu Pahat. Dikatakan bahawa belangkas biasanya ditemui berpasangan. Patutlah selama ini kalau sesiapa yang terlalu rapat seolah-olah tak mau berenggang dikatakan ”macam belangkas”.

Satu lagi pantai yang kami temui adalah Pantai Punggor. Ramlee Awang Mursyid menggambarkan Punggor sebagai kampung asal Panglima Sunan, Pahlawan Melayu yang berguru dan menabur jasa di Acheh dalam novelnya, Bagaikan Puteri.

Sampai di JB kami menginap di Hotel Kozi berdekatan Danga Bay. Kehebatan Danga Bay memang sukar dibayangkan. Namun aku tidak melihat sebarang manfaat dari sudut perkembangan minda dan kerohanian daripada projek mega seumpama itu. Ianya tidak lebih daripada menyediakan ruang dan kemudahan bagi peniaga mengaut keuntungan dan rakyat jelata bersukaria. Kami menghabiskan minyak yang baru turun harga mengelilingi seluruh Johor sebelum kembali ke Melaka semula. Kami melengkapkan acara dengan mendermakan sedikit wang kepada peniaga ikan bakar di Umbai. Selepas bermalam di Banda Hilir, kami bersiar-siar termasuk melawat muzium , kapal replika dan muzium maritim. Menjelang petang kami bertolak kembali ke rumah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...