Satu Muzakarah Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perak telah diadakan di Dewan Serbaguna Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, pada Hari Ahad, 21 Disember 2008. Muzakarah tersebut dianjurkan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan ke 12, Persatuan Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perak (PEWARAK). Pembentangan Kertas Kerja bertajuk "Program Pemerkasaan Masjid Dan Surau Untuk Transformasi Masyarakat " telah disampaikan oleh Cikgu Azmi Bin Abdul Hamid, Presiden Teras Pengupayaan Melayu.
Muzakarah dan Mesyuarat Agung ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Antara intipati terpenting dalam ucapan perasmian tersebut adalah mengajak semua Pegawai Masjid di seluruh Negeri Perak untuk bersama dengan Kerajaan Negeri Pakatan rakyat berusaha memartabatkan institusi masjid sebagai pemangkin kepada kemajuan Ummah. Satu teguran keras yang senada dengan penegasan Yang Dipertuan PEWARAK, Y.Bhg. Dato' Sheikh Mohd Nor Bin Mansur Al-Hafiz dalam ucapan aluan beliau adalah, agar tidak akan ada lagi mana-mana Pegawai Masjid yang lebih sudu dari kuah dalam menyekat kegiatan agama di mana-mana masjid. Sebelum ini terdapat sebahagian Pegawai Masjid terutamanya imam yang menjadi ejen dalam mencari kesalahan guru-guru agama dan mengadu domba kepada pihak yang berkenaan walaupun perkara tersebut biasanya dilakukan oleh ajk masjid. Semua masjid pada hari ini hendaklah dibebaskan daripada sebarang sekatan terhadap usaha penyebaran ilmu Allah dan seharusnya menjadi pusat kegiatan Umat Islam di seluruh qariah.
Mesyuarat Agung kali ke 12 ini telah berlangsung dengan begitu lancar dengan keputusan sebulat suara diambil bagi menyambung kembali mandat semua AJK yang ada kecuali mereka yang tidak hadir tanpa alasan yang munasabah. Mesyuarat juga memutuskan agar Jawatankuasa Induk melantik penyelaras atau jawatankuasa peringkat daerah bagi merancang dan melaksanakan tugas dan aktiviti persatuan. Dengan nisbah keahlian seramai lebih kurang 2,000 orang, kehadiaran pada mesyuarat agung seperti ini bukanlah suatu yang dapat dibanggakan. Ini sebenarnya adalah gambaran biasa bagi kebanyakan persatuan dan pertubuhan yang dianggotai oleh Umat Islam terutamanya Melayu. Sebahagian dari kita masih menganggap bahawa mesyuarat seperti ini hanya membuang masa. Sebahagian lagi hanya akan melibatkan diri jika sekiranya mendapat saguhati kewangan. Ada juga yang enggan menghadirkan diri kerana bimbang diberikan sesuatu jawatan. Inilah diantara kelemahan yang menghantui masyarakat Islam sehingga kita tidak mampu untuk bergerak secara jama'iy dalam melaksanakan tugas dakwah. Semoga dengan kedatangan tahun baru 1430 Hijrah nanti akan membuka lembaran baru ke arah yang lebih baik bagi semua ahli dan ajk yang diberikan amanah yang amat berat ini. Semoga Umat Islam di negeri ini akan mampu berubah ke arah menjadi golongan yang terbaik yang dilahirkan di kalangan manusia dengan berteraskan kepada keimanan kepada Allah dan melaksanakan tugas amar makruf nahi munkar.
No comments:
Post a Comment