Pelaburan Offshore atau dipanggil Luar Pesisir ialah menyimpan wang dalam bidang kuasa selain negara tempat tinggal sendiri. Manakala dalam negara sendiri dipanggil Onshore. Maka jika melabur di Singapura atau Thailand pun sebenarnya sudah dikira pelaburan offshore.
Namun begitu istilah ini sering digunakan bagi urusan menyimpan wang di pusat-pusat bebas cukai (tax haven) atau Pusat Kewangan Antarabangsa (international Offshore Financial Center atau IOFC). Wang itu dimasukkan ke dalam akaun simpanan biasa, deposit tetap, pasaran wang, dana amanah (mutual fund), dana lindung nilai(hedge fund), dana hartanah atau unit amanah dan sebagainya. Tiada yang ajaib bagi menjanjikan pulangan 100% setahun atau lebih bagi urus niaga ini.
Daya tarikan IOFC adalah kelonggaran cukai, perlindungan aset, privasi dan kelonggaran undang-undang. Contohnya syarikat offshore tidak perlu memfail pulangan tahunan atau penyata beraudit kepada pihak kerajaan. Syarikat juga dikecualikan cukai dan duti setem. Bukan penduduk tetap juga boleh menjadi pengarah atau pemegang saham. Mesyuarat lembaga pengarah boleh dibuat di mana-mana, bersemuka atau melalui telefon atau tak perlu dibuat langsung. Pendek kata ianya seperti tidak ada undang-undang langsung. Maka ini adalah kelebihan untuk syarikat atau pengurus syarikat bukan untuk pelabur.
Tarikan untuk pelabur adalah cukai yang rendah ataupun tiada cukai langsung dikenakan dan pulangan yang lebih besar boleh diberikan. Dalam keadaan ini, dimana keadaan yang paling bagus sekalipun biasanya pulangan akan mencecah 30% setahun sahaja. Jumlah ini akan menurun akibat persaingan.
Cukai yang rendah menjadikan alasan munasabah untuk menggunakan khidmat offshore. Namun berbanding dengan risikonya maka tidak seperti negara-negara yang tinggi kadar cukainya seperti Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun, maka kadar cukai 28 % di Malaysia masih dianggap berbaloi jika dibandingkan risiko yang terpaksa dihadapi.
Dari segi undang-undang adalah salah bagi sesetengah negara termasuk Malaysia untuk mengiklankan produk mereka dan ini menyebabkan maklumat dan pengetahuan kita terhadap pelaburan tersebut dalam keadaan meraba-raba.
Kos yang terlibat adalah sedikit tinggi seperti perlunya anda membuka akaun, membuat panggilan telefon, mendapatkan nasihat pakar dan mungkin perlu menempah tiket Air Asia ke sana. Mungkin amat berbaloi jika pelaburan kita mencecah sekurang-kurangnya RM 500,000.00 dan pastinya kebanyakan kita merasakan lebih baik enjoy dengan wang yang ada sebanyak itu daripada memberikannya kepada seseorang yang begitu jauh lalu berangan-angan bahawa orang itu begitu jujur berusaha memberikan kekayaan kepada kita.
Bukanlah bermakna apa sahaja yang dikaitkan dengan offshore adalah penipuan tetapi ianya adalah satu risiko yang amat besar terutama jika kita menggunakan orang tengah untuk menguruskan pelaburan kita. Mungkin kita mampu meyakinkan hati bahawa orang tengah kita adalah beriman dan tidak tergoda dengan wang ringgit namun mampukah kita memastikan pengurus dana di negara luar sana mempunyai sikap yang sama sedangkan kita tidak pernah melihat atau bercakap dengannya.
Istilah offshore atau Luar Pesisir sering menjadi senjata ampuh untuk mematikan hujah seseorang yang cuba mempertikaikan sesuatu pelaburan hanya kerana kebanyakan manusia di dunia ini kurang faham dengan istilah ini dan mereka tidak tahu apa yang mahu dipertikaikan.
Semoga beberapa maklumat ini mampu membantu kita dalam membuat keputusan yang bijak bagi memastikan keselamatan harta benda dan kekayaan kita.
No comments:
Post a Comment