Thursday, December 04, 2008

Hebat Sangatkah Pegawai PTD


Satu perjumpaan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan dengan YB Setiausaha Kerajaan Negeri telah diadakan di Pejabat SUK pada 18 November 2008, jam 10.00 pagi. Rombongan kita diwakili oleh YDP, AF Ustaz Hj. Zamri B. Hashim, TYDP, AF Ustaz Kamal Izat B. Ahmed, AF S/U, Ustaz Kamaruddin Adam, Bendahari, Ustaz Syed Mohamad, AF Ustaz Faizal Jani dan AF Ustaz Muzammil Syafawi. Beberapa perkara yang melibatkan perkara dasar telah dikemukakan termasuk perlantikan Pengarah JAIPk, kepincangan dalam kenaikan pangkat, kelewatan mengisi perjawatan yang telah diluluskan dan penempatan pegawai bermasalah di JAIPk.
Terdapat perbezaan yang agak ketara mengenai sikap yang ditunjukkan oleh YB SUK dengan penjawat-penjawat sebelum ini. Ayat-ayat sindiran yang dilontarkan terhadap persatuan seusai salam, jelas menunjukkan betapa tebal prejudisnya terhadap pegawai agama. Sikap tersebut berterusan sehingga mendorong sebahagian kami gagal mengawal kesabaran untuk berlemah lembut,bersopan santun dan lunak terhadap beliau. Kebanyakkan hujah yang dilontar gagal dihabisi lantaran ketegasannya menentukan apa yang beliau mahu dengar atau tidak. Ini menyebabkan ada di antara kami terpaksa mengikut rentaknya dengan memotong atau membidas secara langsung hujah beliau tanpa membiarkan beliau berterusan memaksa kita mendengar hujah beliau tanpa berjawab.
Walaupun amat sukar untuk mengubah pendirian beliau, namun sekurang-kurangnya kita mampu menyatakan pendirian kita tanpa membiarkan sahaja mana-mana pihak membuat berbagai dakwaan sesuka hati mengenai pendirian "orang dalam". Amatlah tidak masuk di akal jika pandangan dalaman tidak langsung diambil kira dalam penentuan jawatan "Pengarah". Apakah munasabahnya jika berbagai pihak yang mempunyai "kepentingan" yang berbagai memberikan cadangan mengenainya lantas mendakwa bahawa itulah cadangan yang terbaik. Walaupun berkali-kali ditegaskan mengenai cadangan dan pendirian kita, beliau terus-terusan mendesak agar di berikan cadangan lain yang kononnya lebih baik seolah-olah tidak ada sebesar zarah kemampuan dan kelayakan "orang agama" bagi mengetuai jabatan sendiri. Andaian yang mampu saya fikirkan adalah antaranya :
a. Kebanyakan Pegawai PTD masih berpegang kepada pemikiran bahawa hanya mereka yang paling cekap mentadbir.
b. Masih kuat tertanam di sanubari mereka bahawa "orang agama" hanya tahu mengenai hukum hakam agama tetapi amat jahil mengenai pengurusan dan pentadbiran.
c. Kalaupun "orang agama" diberi peluang, peluang itu akan dijadikan peluang untuk dibuktikan kegagalannya, bukan sangat sebagai peluang untuk membuktikan kejayaannya.
Teman-teman sekelian,
Amat besar tanggungjawab yang perlu kita laksanakan dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Bukan sahaja peningkatan dalam bidang keilmuan dan kemahiran yang berbagai diperlukan dalam berhadapan dengan masyarakat, namun untuk memuaskan hati pembuat dasar yang entah apa panduan mereka dalam membuat penilaian dan mengambil keputusan. Orang agama didesak untuk tahu segala-galanya, dan dianggap "OKU" jika tiada kemahiran tambahan samada kemahiran teknikal, kemahiran ICT dan sebagainya. Masyarakat seolah-olah sepakat menerima pemisahan antara orang agama atau ulamak dengan golongan professional. Maka sampai bilapun orang agama atau ulamak tidak akan dianggap professional kalaupun tidak dipandang rendah terhadap apa sahaja yang kita laksanakan. Ironinya, bukan sedikit saintis yang fobia dengan komputer, doktor pakar yang terpaksa memanggil pomen menukar tayar kenderaannya, saintis yang bergelap semalaman setelah fius utama di rumahnya jatuh akibat petir. Ketiga-tiga contoh golongan ini tidak pernah dianggap kurang malah tetap dianggap pakar dan golongan professional yang dihormati. Walaupun orang agama sudah mempunyai berbagai kemahiran yang diiktiraf termasuk ijazah samada sarjana atau sarjana muda dalam berbagai bidang namun kita tetap orang agama. Kita di mata mereka tetap orang agama dan sifat tetap "tak tau mentadbir" tidak akan hilang daripada kita. Ijazah Pentadbiran Perniagaan, Kaunseling, Jurisprudence dan sebagainya tidak ada nilainya sama sekali jika disandarkan kepada kita. Oleh itu insaflahlah, bahawa segala kemuliaan itu di sisi Allah, bukan nilaian manusia. Berebutlah kita dalam usaha meningkatkan pengalaman, kemahiran dan ilmu pengetahuan kerana ianya tuntutan tuhan, bukan untuk mendapatkan sanjungan dan pengiktirafan manusia, dan kita adalah golongan yang paling memahaminya. Persetankanlah pengiktirafan manusia, kerana kebanyakan mereka adalah sama.
Teman-teman sekelian,
Satu sudut pandangan yang lain, saya bimbang jika sikap ini bukan kerana tidak yakinnya mereka dengan dengan kemampuan kita tetapi kerana keengganan mereka dalam menerima Islam sebagai penyelesai masalah. Keistimewaan yang ada pada kita, adalah kerana kita ada asas agama yang kuat, pengalaman mentadbir di jabatan agama, ditambah dengan kursus dan ijazah lanjutan di bidang yang sama dengan mereka. Kita menguasai dua kemahiran berbeza yang saling melengkapi. Kita mewarisi kaedah feqah yang memandu kita dalam memilih segala ketentuan. Walaupun kelebihan ini antara sebesar-besar rahmat dari yang Maha Esa, namun apakah nilainya bagi mereka yang terdidik dan hanyut dalam lingkungan sekular. Kelebihan menghayati agama bukan standard yang boleh dibangga. Pentadbiran dan pengurusan barat adalah terbaik dan wajar didewa. Pengurusan berteraskan konsep rabbani hanyalah dianggap sejarah silam yang wajar dilupakan. Jika inilah hakikatnya, maka tugas dan tanggungjawab kita amat berat dan terlalu mencabar. Pemahaman mengenai hakikat sebenar Islam perlu dipertingkatkan. Semoga usaha ini akan meletakkan Islam dan pengurusannya di persada yang tertinggi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...