Friday, December 12, 2008

KENAPA PERPECAHAN YANG DITAJA

[.......SERI ISKANDAR-Kerajaan Negeri Perak akan menerima suntikan dana khas sebanyak RM60 juta daripada kerajaan pusat. Pengarah Pembangunan Negeri (gambar) Datuk Zainal Abidin Omar berkata semua JKKKP di setiap kawasan Parlimen di arah menghantar senarai projek yang perlu dilaksanakan di kawasan masing-masing. Katanya,peruntukan khas itu diperolehi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh Timb. Perdana Menteri,Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini." Kita juga telah mengarahkan Pejabat Pembangunan Negeri agar mengemukakan senarai projek baru termasuk menaik taraf kemudahan asas yang perlu dilaksanakan segera"." Kerja-kerja pembangunan projek itu akan dilakukan segera pada akhir bulan ini walaupun peruntukan hanya akan diperolehi awal tahun depan"katanya.Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi dialog bersama kira-kira 700 JKKKP diseluruh Perak bertempat di Institut Latihan Kemas Di sini semalam. Beliau juga turut menggesa semua JKKKP supaya terus mengurus tadbir Dewan Orang Ramai di kawasan masing-masing,dan tidak sesekali menyerahkan kepada JKKK yang ditadbir kerajaan negeri." Saya ingin mengingatkan sekali lagi bahawa kesemua Dewan Orang Ramai tersebut adalah dibina atas tanah kerajaan negeri tetapi menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Pusat "." Oleh itu Dewan Orang Ramai mesti diuruskan oleh JKKKP dan segala penyelenggaraan akan dibuat melalui peruntukan yang diterima daripada kerajaan Pusat selepas ini " katanya.- Petikan Kosmo!.............]

Amat menyedihkan apabila membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang yang amat kita kenali. Seorang dianggap sebagai antara yang "terbaik" di kalangan pegawai tinggi yang ada tetapi rupanya mempunyai mentaliti kampungan yang tidak dapat dibangga. Sesekali hati ini tertanya-tanya apakah ini sikap sebenar bekas orang no. 1 di jabatan kita. Entah apakah kaedah dan prinsip yang digunapakai dalam mengeluarkan kenyataan sebegini rupa. Walaupun secara jelas dinyatakan "...kesemua Dewan Orang Ramai tersebut adalah dibina atas tanah kerajaan negeri..", namun tetap diarahkan JKKKP agar terus menguruskannya. 


Saya teringat bagaimana kes seperti ini sering saya hadapi dalam menguruskan masjid dan surau di negeri ini. Begitu ramai yang menganggap hanya mereka yang layak menjadi pengerusi atau AJK Kariah hanya semata-mata kerana merasakan mereka ada hak pemilikan peribadi. Hanya kerana mereka atau keluarga mereka mewakafkan tanah atau mendermakan wang untuk pembinaan maka dianggap seluruh pengurusan bagai mereka yang punya. Mereka terlupa bahawa pemegang amanah tunggal hanya Majlis Agama. Setiap yang diwakafkan atau didermakan dikira menyerahkan hak milik kepada Allah. Mereka sama sahaja kedudukannya dengan ahli kariah yang lain kerana selepas itu tanah atau wang yang diderma bukan lagi milik mereka. Allah menyerahkan amanah ini kepada Pemerintah, lalu pemerintah mewakilkan kepada Majlis Agama untuk menguruskannya. Ahli Kariah ketika ityu bukan lagi sebagai pemilik tetapi hanya sebagai pengguna. 
Maka apakah hak bagi Kerajaan Pusat untuk mendakwa dewan orang ramai itu hak mereka. Ianya terpulang kepada pemilik tanah untuk menguruskannya. Mana mungkin bangunan yang dibina di tanah orang mahu digunakan sewenang-wenangnya. Boleh sahaja pemilik tanah menyuruh agar diruntuhkan apa sahaja yang ada di atas tanahnya. Malulah kita dengan anak cucu jika nanti dianggap "buruk siku" kerana mengambil kembali apa yang sudah dilepaskan hak dan pemilikan daripadanya.
Kita semua akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala yang kita lakukan di dunia pada. Apakah ketaatan kita kepada pihak atasan tidak punya batas dan sempadan sedangkan ketaatan secara mutlak hanya milik Allah dan Rasulnya. Cukuplah perpecahan yang berleluasa di kalangan rakyat jelata, jangan sampai cerdik pandai dan pemegang amanah seperti kita menambahluaskannya. Kita menguruskan wang negara dan setiap pembaziran yang tidak sewajarnya bakal menjadi ranjau dalam perjalanan kita menuju ke syurga.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...