Sunday, November 10, 2013

Khutbah Jumaat ; PERLUKAH KITA BERSATU


اَلْحَمْدُ ِللهِ القائل :

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ  لأمنَ مَنْ فِي الأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّى يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ (سورة يونس : 99)

اَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدَنـَا مُحَمَّدِنِ الْهَادِىْ اِلىَ الْحَقِّ  وَاِلىَ الصِّرَاطِ الْمُسْتَقِـيْمِ وَعَلىَ الِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ اِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ. اَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ فَاِنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ.


Saudara kaum muslimin yang berbahagia,
          Daripada dahulu sehingga kini, kita sentiasa disogokkan dengan gesaan untuk bersatu dan berpadu, seolah-olahnya dengan bersatu padu semua masalah ummat akan dapat diselesaikan. Sebahagian kita menghendaki semua manusia menerima pandangan dan pendapat mereka seolah-olahnya menyanggahinya merupakan satu dosa yang amat besar. Kebanyakan kita tidak dapat menerima mereka yang tidak bersama dengan kita dan tidak merasakan mereka bersaudara dengan kita jika mereka tidak mentaati kita secara total.

         

Sidang Jumaat Sekelian,

Khilaf  bermakna berselisih pandangan atau pendapat. Dikatakan sesuatu kaum itu berkhilaf apabila sebahagiannya mengambil jalan yang berlainan daripada jalan yang lain daripadanya. Pada zaman Rasulullah S.A.W tidak berlaku sebarang perselisihan kerana mereka bersegera mencari kebenaran melalui nabi. Berbeza dengan kita hari ini yang masih terus berselisih dalam urusan yang sudahpun diputuskan oleh Rasul apatah lagi urusan yang tidak diputuskan oleh Rasul. Apabila baginda wafat maka bermulalah perselisihan di kalangan para sahabat sehinggalah ke hari ini.

 

Sidang Jumaat Sekelian,

Perselisihan pertama yang berlaku dalam sejarah adalah mengenai kewafatan Rasulullah S.A.W. Saidina Umar Al-Khattab mengengkari kewafatan baginda dan mengatakan bahawa baginda tidak mati tetapi diangkat oleh Allah SWT sebagaimana diangkatNya Nabi Isa anak Maryam. Perselisihan ini hilang ketika mana Saidina Abu Bakar membacakan Surah Ali Imran ayat 144 dan Surah Az-Zumar ayat 30.

Firman Allah SWT :

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلاَّ رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ – آل عمران : 144

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

 

إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ – الزمر : 30

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati.


Sidang Jumaat Sekelian,

Perselisihan kedua timbul mengenai tempat pengkebumian Rasulullah SAW kerana ada sahabat yang mengatakan di Mekah kerana ianya tempat lahir Rasulullah, tempat diutusnya sebagai rasul, qiblat umat Islam dan tempat dikebumikan Nabi Ismail. Sebahagiannya mengatakan di Madinah kerana ianya merupakan tempat hijrah dan tempat mengembangkan Islam. Sebahagian sahabat pula berpendapat di Baitul Maqdis kerana ianya tempat pengkebumian Nabi Ibrahim. Perselisihan ini akhirnya hilang apabila Saidina Abu Bakar mengingatkan mengenai hadis nabi yang menyebutkan :

إِنَّ اْلأَنْبِيَاءَ يُدْفَنُوْنَ حَيْثُ يُقْبَضُوْنَ

Para Nabi dikebumikan di tempat kewafatannya.

 

Sidang Jumaat Sekelian,

Perselisihan seterusnya berlaku dalam urusan perlantikan khalifah dimana Orang Ansar mahu melantik Saad Bin Ubadah  (سعد بن عبادة)tetapi tidak meneruskan hasrat itu apabila diingatkan kepada hadis Rasulullah SAW :

َاَْلأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

 Pemimpin itu hendaklah dilantik daripada keturunan Quraisy.

Walaubagaimanapun perselisihan ini berterusan kerana Golongan Khawarij mendakwa boleh dilantik selain Quraisy.

Kemudian berlakulah beberapa perselisihan seterusnya seperti perselisihan mengenai harta peninggalan nabi yang kemudiannya diselesaikan oleh Saidina Abu Bakar yang meriwayatkan hadis nabi :

نَحْنُ مَعَاشَرَ اْلأَنْبِيَاءِ لاَ نُوَرِّثُ

Ertinya : Sesungguhnya kami para anbiya’ tidak mewariskan.

Sahabat juga berselisih apabila Khalifah Abu Bakar As-Siddiq memerangi mereka yang enggan membayar zakat dan kemudiannya semua sahabat bersetuju dengan pandangan Abu Bakar yang mengatakan mereka wajib diperangi.

 

Hadirin yang dirahmati Allah,

          Jika para sahabat yang mendapat didikan secara langsung daripada Rasulullah SAW sendiripun menghadapi berbagai perselisihan pendapat maka apakah yang diharapkan kepada Umat hari ini untuk menjadi Umat yang satu yang tidak berbeza pandangan dan sikap mereka. Malah perselisihan pandangan di kalangan Umat adalah perlu dan tidak harus dibimbangkan selama mana kita menjaga adab dan hukum dalam berselisih pendapat.  Secara umumnya hukum perselisihan terbahagi kepada dua bahagian iaitu : Perkara yang diharamkan berselisih dan perkara yang dibolehkan berselisih. Diantara perkara yang diharamkan berselisih adalah:

1)    Rukun Islam yang lima.

Antaranya adalah Dua Kalimah Shahadah, Sembahyang 5 waktu, Haji bagi yang berkemampuan, Puasa di Bulan Ramadhan dan sebagainya. Umat Islam tidak dibenarkan sama sekali mempertikaikan perkara ini. Oleh sebab itulah Khalifah Abu Bakar memerangi golongan Murtaddin, golongan yang engkar kewajipan zakat dan mereka yang menyokong Musailamatul Kazzab.

2)    Rukun Iman yang enam.

Antaranya adalah beriman kepada Allah, Para Malaikat, Kitab-Kitab, Rasul-Rasul, Hari Kiamat dan Qada’ dan Qadar. Ini berdasar ayat 136 Surah An-Nisa’ :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ وَمَنْ يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالاً بَعِيْدًا

Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad SAW) dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

 

Maka tidak boleh diterima sama sekali aqidah dan I’tiqad yang bercanggah dengan I’tikad di atas termasuk I’tikad Ahli Batiniah yang menta’wilkan Hukum Syariat mengikut fahaman mereka seperti mengatakan menunaikan Haji itu sebagai menziarahi imam-imam mereka, puasa hanya menahan diri daripada membocorkan rahsia imam-imam mereka dan mereka mengatakan sesiapa yang memahami hakikat ibadat maka gugurlah kefardhuan beribadat daripadanya berdasarkan Firman Allah dalam Surah Al-Hijr : 99 :
(وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ – الحجر : 99 )      

Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap diyakini)  yakni kematian.

 

3)    Semua nas Syarak yang sabit secara qat'i ( قَطْعِيُّ الثُّبُوْت ) iaitu Al-Quran dan Hadis Mutawatir  ( حَدِيْثٌ مُتَوَاتِرٌ ) dan Qat'i Dilalah ( قَطْعِيُّ الدِّلاَلَةُ ).

4)    Semua yang telah diijmakkan oleh Ulama' daripada masalah aqidah dan syariah.

          Maka barangsiapa yang mengengkari sesuatu daripada rukun Islam, Rukun Iman atau apa yang disepakati ulamak maka dia terkeluar daripada golongan orang yang beriman, menjadi murtad dan wajib orang Islam mengambil tindakan tegas terhadap mereka bagi menghalang kerosakan dalam agama dan perpecahan di kalangan Umat.

بَـارَكَ اللَّـهُ لِى وَلـَكُمْ فِى الْـقـُرْأَنِ الْـعَـظِـيْـمِ وَنـَفـَعَـنِى وَاِيـَّاكُمْ بـِاْلاَيـَاتِ وَالـذِّكـْـرِ الْـحَـكِـيْـمِ, وَتـَقـَبَّـلَ مِـنِّى وَمِـنـْكُمْ تِـلاَوَتـَهُ اِنـَّهُ هُـوَ الـسَّـمِيْـعُ الْـعَـلـِيْمُ. اَقـُوْلُ قـَوْلِى هَـذَا وَاَسْـتَـغْـفِـرُ اللَّـهَ الْـعَـظِـيْـمَ لِى وَلـَكُمْ وَلِـسـَائِـرِ الْـمُـسْـلِـمِـيْـنَ وَالْـمُـسْـلِـمَـاتِ وَالْـمُـوْءمـِنِـيْنَ وَالْـمُـوْءمِنـَاتِ فـَاسْـتـَغـْفـِرُوْهُ اِنـَّهُ هُـوَ الْـغَـفـُوْرُ الـرَّحِـيْـمُ  .

 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...