Nik Nur Madihah yang memperoleh 20A dalam peperiksaan SPM yang lalu berkata beliau perlu berfikir panjang sama ada ke Timur Tengah menyambung pelajaran dalam bidang keagamaan, atau mendalami ilmu fizik yang diminatinya di United Kingdom (UK). Katanya, "Saya memang berminat untuk belajar ilmu agama di Timur Tengah, tetapi pada masa yang sama, saya juga minat mempelajari fizik. Mereka yang lebih arif termasuk seorang profesor fizik dari sebuah universiti tempatan pula, mencadangkan saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford dalam bidang fizik."
Persoalan ini adalah dilema yang dihadapi oleh kebanyakan pelajar yang mahu mendalami sains dan agama secara serentak. Seolah-olah terdapat pertentangan yang amak hebat di antara kedua-dua disiplin ilmu. Salah satu daripadanya terpaksa dikorbankan. Ironinya, kebanyakan manusia akan meyarankan agar pendidikan agama dikorbankan. Suatu yang dianggap pelik dan merugikan jika pelajaran sains dikorbankan demi mengejar pendidikan agama.
Kebanyakan pelajar terbaik akan ditawarkan dengan berbagai bantuan oleh berbagai pihak. Kalaupun tidak ditawarkan, kebanyakan pelajar atau penjaga akan melakukan berbagai usaha bagi membolehkan mereka menyambung pelajaran di berbagai bidang. Selalunya jika sekiranya mereka gagal, barulah mereka melihat mana-mana institusi pendidikan agama bagi mengelakkan mereka daripada tercicir. Selain daripada itu institusi agama juga dijadikan tumpuan penjaga bagi memulihkan anak-anak yang bermasalah. Ini menyebabkan agama dikuasai oleh mereka yang kurang berketerampilan. Malah sebahagian mereka menjadi sembilu yang mencemarkan institusi agama yang sepatutnya begitu dihormati.
Kebanyakan ibu bapa memikirkan masa depan anak-anak mereka dari sudut peluang kerjaya yang bakal diperolehi. Pandangan umum menganggap aliran agama tidak punya peluang kerjaya dan tidak menjamin masa depan seseorang pelajar. Ini kerana keperluan kepada agama tidak begitu difikirkan oleh berbagai agensi samada kerajaan atau swasta. Namun apabila berlaku kemelesetan ekonomi global, banyak pekerja yang menghadapi masalah pembuangan kerja. Beberapa agensi terpaksa mengorbankan pekerja-pekerja yang dulunya amat diperlukan tetapi boleh dikorbankan. Maka bertambah lagilah pengangguran di kalangan siswazah yang akan keluar tanpa bekalan pengalaman. Keadaan ini tidak pernah berlaku kepada mereka yang berpendidikan agama. Belum ada lepasan agama yang menganggur kecuali mereka malas ataupun tidak mampu menggunakan kelebihan ilmu mereka. Walaupun mungkin tidak menjanjikan kemewahan namun sudah ramai yang mampu memperolehinya. Maka bersamalah kita fikirkan, apakah paradigma dan dogma yang ada pada masyarakat hari ini masih lagi relevan atau perlu kepada perubahan segera.
No comments:
Post a Comment