Monday, July 11, 2011

Khutbah: Bersihkanlah hati kita

JAKIM sebagaimana yang dijangka telahpun melaksanakan tugasnya sebagai saudagar agama nombor 1 negara. Khutbah mengecam dan memfitnah perhimpunan Bersih 2.0 diedarkan di seluruh Wilayah Persekutuan yang nyatakan memburukkan imej mereka di kalangan rakyat jelata yang mampu berfikiran waras. Bukan seorang dua menyatakan kepadaku untuk mengulangi sejarah, bertakbir dan keluar beramai-ramai jika khutbah sebegitu dibacakan di Negeri Perak.

Aku didatangi pihak SB yang cuba memujukku mengarang dan menyebarkan khutbah yang seumpama itu di negeri ini. Aku hanya mengucapkan Insyaallah dengan rasa yang begitu mual dengan permintaan yang tidak langsung menggembirakan itu. Bagiku institusi agama tidak perlu dilibatkan dengan urusan ini kerana yang nyatanya ini semua adalah mainan politik kedua belah pihak. Kurang wajar institusi yang masih dihormati umat Islam ini dicemarkan dengan sokongan yang diberikan kepada mana-mana pihak. Institusi ini perlu berada di atas mana-mana parti politik kerana itulah sifat istana yang menaunginya selama ini.

Aku cuba memujuk Pengarah agar bersikap berkecuali dalam persoalan ini. Namun Timbalan yang kuharapkan agar menasihati beliau gagal menjayakan harapan yang kuamanahkan sehingga akhirnya menyampaikan kembali pendirian Pengarah agar aku mengarang sebuah khutbah yang menekankan mengenai keselamatan dan ketenteraman negara. Aku tidak ada pilihan kecuali menderhakai perintah tersebut kerana tidak sebati dengan keyakinan dan pendirian yang aku pegangi. 

Aku mengambil tindakan mengedarkan khutbah berkaitan dadah yang sepatutnya dibaca seminggu yang lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana bertembung dengan sambutan Isra' dan Mi'raj. Ini lebih baik daripada meletakkan jabatan dalam polimik kepartian yang tidak menguntungkan sesiapa. 

Dalam masa yang sama aku tetap mengarang sebuah khutbah agar dapat dijadikan kenangan dan koleksi peribadi bagi mengingati peristiwa bersejarah ini. Walaupun ianya tidak akan dibacakan di mana-mana namun cukuplah bagi menjadi bukti bahawa aku tetap menjadi pendokong kepada perjuangan menuntut keadilan dan sekali-kali tidak akan tunduk kepada arahan makhluk yang cuba mencabar kekuasaan Allah. 
  
اَلْحَمْدُ للهِ اْلقَائِلِ :

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِءَادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَٱسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلْكَـٰفِرِينَ ﴿٣٤﴾
Dan ketikamana Kami berkata kepada Para Malaikat, sujudlah kamu semua kepada Adam. Maka sujudlah mereka semua kecuali Iblis. Dia enggan sujud dan merasa takabbur, lalu termasuklah dia ke dalam golongan yang kufur. - Al-Baqarah

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ,

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

فيا عِبَادَ الله اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dihormati,


Bertaqwalah kita kepada Allah dengan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah dan RasulNya. Janganlah kita mati kecuali kita dalam keadaan benar-benar Islam.

 Sidang Jumaat Sekelian,
 Dosa dan keengkaran pertama yang dilakukan oleh makhluk terhadap Allah adalah keengganan Iblis untuk sujud menghormati Nabi Adam di samping sifat takabburnya yang merasakan dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam. Kesalahan ini walaupun biasa dilakukan oleh manusia di dunia ini tetapi amat besar kesannya kepada Iblis sehingga menyebabkannya kekal dalam kemarahan dan laknat Allah tanpa mampu bertaubat dan menarik balik sifat takabburnya itu. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apakah sebab kemarahanNya begitu memuncak dengan perbuatan Iblis tersebut. Oleh yang demikian sebagai manusia, tidak seharusnya kita memandang ringan dengan dosa yang menjadi punca kemurkaan Allah tersebut.



Muslimin yang dirahmati Allah,

Demontrasi jalanan berlaku bukan sahaja di negara ini malah turut berlaku di negara-negara lain di seluruh pelusuk dunia. Kita melihat demontrasi jalanan ini berlaku di Negara-negara mundur dan membangun, malah turut melibatkan negara-negara maju termasuk Eropah dan Amerika. Jika dikatakan demontrasi jalanan ini tidak mendatangkan sebarang faedah dan kebaikan, kita baru sahaja menyaksikan keberkesanan kaedah ini di Negara-negara Arab sehingga mampu menumbangkan pemimpin diktator mereka yang amat kejam. Jika tidak kerana demontrasi jalanan, rakyat Indonesia masih berada di bawah pemerintahan diktator Suharto. Jika tidak kerana demontrasi jalanan, rakyat Negara Arab masih diperbodohkan oleh pemimpin mereka yang menjadi boneka Israel.



Sidang Jumaat Sekelian,
 Kefahaman ulamak mengenai hukum demontrasi jalanan ini juga tidak sekata. Walaupun ada di kalangan ulamak yang mengharamkannya, bukan sedikit pula yang mengharuskannya. Malah di negara-negara Arab ianya difatwakan sebagai wajib dan dihukumkan syahid jika mati kerananya. Oleh kerana itu tidak perlulah kita terus-terusan bertelagah mengenai hukumnya.

Dari segi undang-undang Negara, walaupun begitu ramai yang mengatakannya sebagai haram, namun secara zohirnya undang-undang tertinggi Negara telah membenarkannya. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut menyatakan pendiriannya bahawa orang ramai mempunyai hak untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman. Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata bahawa ia termaktub di dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat. Kekecohan hanya timbul apabila munculnya para pengacau seperti Perkasa dan Patriot yang ditatang-tatang oleh pihak kerajaan.



Sidang Jumaat Sekelian,

Apa yang pasti, perbincangan dan perbahasan mengenai hukum dan keharusannya mengikut undang-undang, hanyalah usaha yang sia-sia dan menjadi punca perbalahan sesama Umat Islam. Perhimpunan yang nyata bersifat maksiat seperti konsert-konsert sempena hari tertentu seumpama ketika menyambut tahun baru tidak pernah dihalang malah diberikan publisiti yang begitu meluas. Undang-undang yang menghalang sering dilihat bersifat berat sebelah kerana membenarkan apa sahaja yang dianjurkan oleh parti pemerintah dan mengharamkan apa sahaja yang dianjurkan oleh parti pembangkang. Persoalan keselamatan atau mengganggu lalu lintas adalah hujjah yang terlalu dangkal kerana pihak keselamatan amat mampu mengawal sebarang perhimpunan dan membuat kawalan lalu lintas.



Hadirin Hadirat sekelian,

Keserabutan yang riuh diperkatakan pada hari ini berpunca dari sifat takabbur dan ego yang melanda pihak-pihak yang terlibat. Akibat sokongan rakyat yang sekian lama dahagakan keadilan menyebabkan penganjur Bersih merasa tiada keperluan untuk mempertimbangkan cadangan mengadakan perhimpunan di luar Kuala Lumpur walaupun dibenarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Dari sudut politik sememangnya tiada keperluan berhimpun di tempat sendiri kerana matlamat perhimpunan ini adalah semata-mata menarik perhatian kerajaan agar lebih prihatin dengan tuntutan rakyat yang ditindas.

Takabbur dan keegoan melampau turut ditunjukkan oleh pihak parti pemerintah. Mereka bertindak seolah-olah segala dasar kerajaan ketika ini sedah dianggap terbaik tanpa sebarang cacat cela. Kecacatan pengurusan SPR yang sentiasa memihak selama ini dipertahankan sepenuhnya tanpa memikirkan samada keadilan terlaksana atau tidak. Demi kuasa dan kemenangan apa sahaja diperjuangkan walaupun menafikan hak orang lain bagi mendapatkan keadilan.



Sidang Jumaat Sekelian,

Jika semua pihak sanggup membuang ego masing-masing dan kembali ke meja rundingan, banyak perkara boleh diperbetulkan. Kepentingan awam berteraskan kehendak Allah mestilah sentiasa dijunjung agar semua pihak merasakan hak mereka terbela. Keadilan kepada rakyat jelata tidak langsung merugikan sesiapa jika kita meletakkan Islam kebenaran semagai matlamat utama dalam setiap tindakan kita.



بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْانِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...