الْحَمْدُ لِلَّهِ القَائِلِ :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ ِالاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ رَسَوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ .
اَمَّا بَعْدُ, عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Wahai hamba-hamba Allah !
Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita berada di ambang Ramadhan yang sekian lama kita nantikan. Ramadhan merupakan anugerah Allah kepada kita untuk melahirkan manusia yang bertaqwa sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat yang dibacakan tadi. Ibadat puasa yang juga telah diwajibkan kepada umat-umat terdahulu, kini diwajibkan kepada kita selama sebulan yang sebenarnya adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri samada di dunia mahupun di akhirat. Inilah rahmat Allah yang telah meringankan bebanan puasa ini dengan menerangkan konsep perkongsian beban di antara Umat Muhammad dan ummat terdahulu di mana sesuatu bebanan itu akan dirasakan ringannya jika manusia menyedari bukan mereka sahaja yang terpaksa melaluinya.
Hadirin yang dikasihi Allah,
Puasa tidak hanya sekadar meninggalkan makan dan minum semata-mata tetapi merangkumi kekangan terhadap hawa nafsu yang selama ini menjadi raja kepada kebanyakan manusia dan tidak ada cara yang lebih baik bagi mengawalnya kecuali dengan cara berpuasa. Namun jika silap cara kita menunaikan puasa maka sia-sia sahajalah ibadat tersebut tanpa dapat melahirkan ketaqwaan di penghujung Ramadhan akan datang. Sabda Rasulullah SAW :
كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ اِلاَّ الْجُوْعُ وَالعَطْشُ
“Berapa ramai orang yang berpuasa sedangkan tiada sebarang faedah yang diperolehinya daripada puasa tersebut kecuali hanya lapar dan dahaga”.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Terdapat beberapa tanda bagi mengenalpasti samada puasa kita diterima oleh Allah atau tidak. Ianya boleh dinilai melalui keselarasan amalan kita dengan perintah Allah sepanjang Ramadan dan selepas kita menjalani sebulan Ramadhan nanti Jika sekiranya setiap hari kita berpuasa dan setiap hari yang berlalu menambahkan lagi kekuatan kita untuk melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya maka besarlah harapannya puasa kita di terima Allah. Jika sekiranya hari-hari yang mendatang hanya menambahkan dosa atau tidak ada sebarang peningkatan terhadap kualiti dan kuantiti ibadat kita maka dibimbangi kita akan hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.
Hadirin mukminin yang dirahmati,
Di antara ciri-ciri orang yang beriman dan bertaqwa adalah kegembiraan mereka dalam menyambut kedatangan Ramadhan. Kegembiraan mereka bukan hanya kerana peluang perniagaan yang terbuka luas, bukan hanya kerana boleh menguruskan badan dan bukan juga kerana mahu mengurangkan ataupun berhenti merokok, tetapi kerana kesedaran tentang kelebihan Fadhilat Ramadhan itu sendiri. Orang yang beriman akan berusaha melipatgandakan amal ibadat melebihi daripada usaha mempelbagaikan juadah ketika berbuka. Disamping itu orang yang bertaqwa akan memastikan mereka tidak berlebih-lebih dan melakukan sebarang pembaziran sepanjang Bulan Ramadhan ini.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Sebahagian Umat Islam melakukan beberapa kesilapan dalam menghayati Ramadhan. Keghairahan kita melakukan ibadat terutamanya solat Terawih biasanya hanya bertahan selama separuh daripada Bulan Ramadhan sahaja. Sepuluh hari yang terakhir daripada Ramadhan menunjukkan kemerosotan bilangan jemaah yang amat ketara walaupun kelebihannya terutamanya dalam mencari Lailatul Qadar jauh lebih besar daripada hari-hari sebelumnya. Ramai di antara kita tidak mahu terlepas untuk menunaikan Solat Terawih yang hukumnya hanya disunatkan tetapi tidak merasa sebarang kerugian ketika meninggalkan Solat Fardhu Berjemaah walaupun hukumnya adalah Fardhu Kifayah.
Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,
Keghairahan bertadarrus menyebabkan kita sering berlumba-lumba untuk mengkhatamkan Al-Quran melalui program Tadarus sebelum berlalunya Ramadhan. Ini menyebabkan sebahagian dari kita hanya bergotong royong dalam menghabiskan bacaan tanpa ada sebarang peningkatan dalam mutu bacaan. Kita hanya membaca dan mendengar bacaan tanpa ada proses pembelajaran kerana tertekan mengejar waktu untuk mengkhatamkan Al-Quran sehingga akhirnya banyak berlaku kesilapan dan pahala yang diharapkan bertukar menjadi laknat tuhan. Sewajarnyalah apabila mutu bacaan sudah dipertingkatkan maka kita beralih kepada usaha pemahaman. Setelah pemahaman terhadap Al Quran dapat dicapai maka berusahalah seboleh mungkin untuk menghayati segala ajaran Al-Quran. Janganlah kita hanya menjadi golongan yang hanya mementingkan bacaan tetapi kembali kepada Allah sebelum dapat mengamalkan apa-apa daripada ajaran Al-Quran.
Hadirin mukminin Rahimakumullah,
Di antara kesilapan pihak pengurusan masjid dan surau di seluruh Negara ini adalah kerana kebanyakkannya menghentikan kelas-kelas pengajian sepanjang Ramadhan yang mulia ini. Sebahagian besar daripadanya hanya memulakan semula semua pengajian hanya setelah berlalunya sebulan Syawal. Ini menyebabkan kebanyakkan Umat Islam tidak menuntut ilmu selama dua bulan walaupun ianya amat penting dan merupakan kewajipan setiap orang Islam.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Marilah kita berusaha melakukan perubahan sempena Ramadhan pada tahun ini. Jika selama ini kita tidak pernah melakukan Qiamullail maka inilah peluang bagi kita untuk melakukannya sebelum kita bersahur atau selepasnya. Jika kita jarang meninggalkan Sunat Witir sepanjang Ramadhan maka teruskanlah melakukannya walaupun sesudah berlalunya Ramadhan. Jika kita sanggup berjemaah Terawih sepanjang Ramadhan maka teruskanlah berjemaah dalam Solat Fardhu sesudah Ramadhan. Firman Allah dalam Surah Ar-Ra’du ayat 22 :
وَالَّذِيْنَ صَبَرُوْا ابْتِغَآء َوَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوْا الصَّلوة وَأَنْفَقُوْا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلاَنِيَةً وَيَدْرَءُوْنَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُوْلَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ
“Dan mereka yang sabar kerana mengharapkan keredhaan tuhan mereka semata-mata dan mereka mendirikan sembahyang serta membelanjakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka samada secara sembunyi ataupun secara terang-terangan dan mereka menolak kejahatan dengan cara melakukan kebaikan. Mereka itulah disediakan balasan yang baik di Hari Akhirat”.
Hadirin yang dirahmati Allah,
Ramadhan seharusnya dimuliakan dan dihormati oleh setiap warga Negara yang tidak kira apa agama sekalipun. Oleh kerana Islam adalah agama persekutuan, maka semua penganut agama lain wajib turut sama menghormati Ramadhan. Segala aktiviti maksiat yang sememangnya diharamkan oleh semua agama mestilah dihentikan serta merta. Tidak sepatutnya hanya Umat Islam sahaja yang sibuk menghormati kebebasan penganut agama lain, sedangkan hakikatnya, kebebasan tersebut merupakan pelanggaran terhadap tuntutan agama mereka sendiri. Tidak perlulah mereka memperjuangkan kebebasan sedangkan hakikatnya hanya menunjukkan keengkaran mereka dalam mematuhi kehendak agama mereka semata-mata.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
No comments:
Post a Comment