اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقَائِلِ :
لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْءَانَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ اْلأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ,
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bertaqwalah kita kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan berjihadlah kita pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad. Sesungguhnya hanya orang yang berjihad di jalan Allah sahajalah yang akan mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat Sekelian,
Sempena Hari Pahlawan yang disambut di seluruh negara pada 31 Julai maka marilah kita hari ini mengenang dan mengimbas kembali jasa pahlawan-pahlawan negara mengawal dan mempertahankan kedaulatan negara. Setiap orang yang mahu menjadi pahlawan negara mestilah mengetahui dan menghayati konsep jihad fi sabilillah agar perjuangannya mendapat keberkatan sehingga ke hari akhirat. Bukan semua orang mampu menjadi pahlawan kerana seorang pahlawan memerlukan keberanian tetapi hanya dengan keberanian semata-mata belum menjamin seseorang akan menjadi pahlawan.
Sidang Jumaat Sekelian,
Orientalis barat berjaya menipu sebahagian Umat Islam agar menjauhi jihad fi sabilillah dengan berbagai teori yang menyimpulkan bahawa jihad adalah keganasan. Hasilnya maka lahirlah Umat Islam yang ada hari ini menjadi Umat Islam yang berpada dengan apa yang ada, berserah kepada takdir semata-mata dan menjadi mainan dunia hingga diperkotak-katikkan oleh sesiapa sahaja. Inilah bahayanya jika jihad sudah tidak dihayati lagi ataupun dihayati dengan cara yang tidak menepati kehendak Allah.
Sidang Jumaat sekelian,
Jihad dalam Islam adalah menggunakan segenap tenaga, pemikiran dan segala sumber yang ada pada kita dalam menentang musuh-musuh Allah. Yang dimaksudkan dengan Musuh-musuh Allah adalah segala yang menghalang kita daripada mengamalkan agama Allah dan menghalang kita daripada melaksanakan amanah sebagai Hamba Allah. Musuh-musuh ini sebenarnya berkeliaran di sekeliling kita merangkumi golongan munafiqin ( منافقين ) , golongan Fasiqin ( فاسقين ), golongan murtaddin
(مرتدين), golongan orientalis, Yahudi dan Nasrani termasuk juga iblis laknatullah dan hawa nafsu kita sendiri.
Pihak Orientalis telah berjaya mengelirukan Umat Islam dengan mengatakan bahawa jihad hanya perlu dilaksanakan jika kita diserang. Jihad dikatakan hanya dibolehkan bagi mempertahankan diri dari dianiayai. Sebenarnya jika kita melihat peperangan di dalam Islam biasanya terjadi apabila berlaku 3 keadaan;-
Pertama adalah untuk mempertahankan diri dari serangan orang kafir. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah Ayat 190 :
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلاَ تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Berjuanglah di jalan Allah terhadap orang yang memerangi kamu tetapi jangan melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.
Kedua adalah bagi mempertahankan diri daripada kezaliman orang yang zalim. Allah berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 75 :
وَمَا لَكُمْ لاَ تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَنَا مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَنَا مِنْ لَدُنْكَ نَصِيرًا
Mengapa kamu semua tidak berjihad di jalan Allah sedangkan golongan yang lemah samada lelaki dan perempuan dan anak-anak, masing-masing berkata Ya tuhan kami keluarkanlah kami dari negeri kami yang mana penduduknya melakukan kezaliman ini dan berilah kami pelindung dan penolong dari sisimu.
Ketiga adalah diwaktu mempertahankan kedaulatan agama dan kebebasan menjalankan perintah agama. Inilah yang menyebabkan khalifah-khalifah Islam keluar memerangi Negara kafir yang menghalang rakyatnya untuk menghayati Islam. Allah berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 39 :
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لاَ تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ
Perangilah mereka hingga tiada lagi timbul fitnah dan supaya seluruh kehidupan adalah mengikut ketentuan Allah seluruhnya.
Sidang hadirin sekelian,
Imam Nawawi menyebutkan dalam Matan Al-Minhaj bahawa hukum jihad terbahagi kepada 2 :
Pertama : Fardhu Kifayah – Memerangi orang kafir yang berada di negeri mereka setelah disampaikan kepada mereka seruan Islam. Ini adalah tanggungjawab pemerintah bagi memastikan Islam berada di kedudukan yang tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.
Kedua : Fardhu Ain – Memerangi orang kafir yang menyerang negara Islam di mana ketika itu setiap individu wajib mempertahankan negaranya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kewajipan mempertahankan Negara adalah suatu kewajipan yang bergantung kepada keadaan Negara tersebut. Mempertahankan Negara yang tidak menghalang penghayatan Islam adalah wajib malah Islam juga mempertahankan pengamalan agama lain di dalam Negara Islam. Tetapi bagi Negara yang memerangi Islam dan memusuhi penganut Islam secara terang-terangan seperti Amerika Syarikat , Britain dan sebagainya maka mempertahankan Negara tersebut adalah Haram hukumnya. Setiap rakyat dan tentera Islam di negara tersebut tidak boleh membantu Negara mereka menyerang Negara Islam dan wajib mengkhianati Negara mereka sekadar yang termampu. Bersekongkol dengan Negara mereka disifatkan oleh Rasulullah S.A.W sebagai Asobiah ( عصبية ) yang tidak diakui sebagai Umat Nabi Muhammad. Asobiah bermakna kita membantu saudara kita, masyarakat kita dan Negara kita dalam melakukan kezaliman.
Sidang Jumaat Sekelian,
Terdapat perbezaan yang nyata di antara tentera atau pahlawan Islam dan tentera yang hanya berjuang kerana kepentingan dunia yang tidak memberi makna apa-apa. Pahlawan Islam Ikhlas berjuang hanya kerana Alllah dan tidak kerana yang lain. Oleh kerana itu mereka tidak melanggar larangan Allah dan sentiasa memastikan kepatuhan mereka terhadap perintah Allah. Mereka tidak sekali-kali melakukan maksiat terhadap Allah ketika berjuang mahupun sesudah mencapai kemenangan. Mereka tidak membunuh sesuka hati apatah lagi pembunuhan yang dilarang oleh Allah seperti membunuh pendita-pendita, kanak-kanak dan wanita yang tidak terlibat dalam peperangan, tidak merosakkan bangunan, jalan-jalan dan kemudahan awam serta tidak menganiaya dan memperkosa mangsa-mangsa perang. Dalam kekalutan peperangan mereka masih tidak meninggalkan sembahyang kerana telah diberikan keringanan mengenai kaedah bersembahyang di dalam perang. Mereka inilah pahlawan sebenar yang matlamat perjuangan mereka samada mencapai kemenangan dalam keredhaan ataupun syahid mengadap tuhan.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
No comments:
Post a Comment