اَلْحَمْدُ للهِ اْلقَائِلِ :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُلُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقْنَـٰكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ ﴿١٧٢﴾ – البقرة :172
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ,
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
فيا عِبَادَ الله اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat yang dihormati,
Bertaqwalah kita kepada Allah dengan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah dan RasulNya. Janganlah kita mati kecuali kita dalam keadaan benar-benar Islam. Rasulullah saw bersabda :
اَْلحَلاَلُ بَيِّنٌ وَاْلحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ
Perkara halal itu jelas danperkara haram juga jelas. Di antara keduanya ada perkara yang diragukan
Sidang Jumaat Sekelian,
Sekali lagi kita dikejutkan dengan isu pemakanan yang bercampur dengan sesuatu yang haram. Namun isu yang berlaku baru-baru ini agak ganjil kerana bir yang biasanya diketahui sebagai haram telah dihalalkan, seolah-olahnya memberi peluang peluang kepada Umat Islam untuk merasai dan menghayati nikmat meminum arak tanpa merasa berdosa terhadap Allah. Isu ini tidak sepatutnya berbangkit kerana tidak ada keperluan langsung untuk meminum bir tersebut, kerana sudah terlalu banyak minuman halal yang ada di pasaran. Jika benarlah ianya halal, maka tidak ada keperluan langsung untuk dinamakannya sebagai bir. Ianya hanya semata-mata bertujuan untuk mempermainkan Hukum Allah disamping menguji jati diri umat Islam pada hari ini.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Penamaan semula sesuatu barangan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Sensitiviti umat Islam terhadap perkara yang diharamkan oleh Allah telah sekian lama dihapuskan melalui kaedah “pelembutan istilah”. Umat Islam yang selama ini begitu jijik dengan babi sudah menjadi kurang sensitif dengan penggunaan istilah khinzir. Arak tidak begitu dirasakan haram bila disebut sebagai minuman keras. Zina tidak begitu dirasakan kejinya bila disebut sebagai persetubuhan haram.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Kepekaan Umat Islam dengan isu halal haram dalam pemakanan dan barangan kepenggunaan selama ini sememangnya berada di tahap yang amat mengecewakan. Masih ramai yang tidak mempedulikan samada sesuatu barangan itu mempunyai sijil halal atau tidak. Masih ramai yang tidak mengambil tahu samada sijil halal yang ada pada sesuatu barangan itu diiktiraf oleh pihak yang berautoriti atau tidak. Masih terlalu ramai yang hanya melihat kepada pekerja Islam yang diletakkan sebagai pelayan di kedai makan, tanpa mempedulikan samada mereka yang memasaknya Islam atau tidak.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Masalah kepekaan kepada halal dan haram ini bukan sahaja terjadi di kalangan orang ramai sahaja malah membabitkan para pengusaha dan peniaga Islam di seluruh negara. Lebih daripada 80% daripada permohonan sijil halal adalah terdiri daripada peniaga dan pengusaha bukan Islam. Bagi peniaga dan pengusaha Islam termasuk restoran-restoran mamak yang begitu banyak dikunjungi oleh umat Islam, mereka tidak merasakan perlunya kepada persijilan halal. Bagi mereka halal hanyalah melibatkan soal sembelihan dan bebas dari bahan berunsur babi semata-mata. Sedangkan Islam mewajibkan kita mencari makanan yang “ حَلاَلاً طَيِّباً “ iaitu halal dan baik. Kebersihan dalam masa penyediaan serta kualiti makanan yang berzat wajib diambil kira dalam masa mencari makanan yang halal.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pihak yang mempunyai kuasa juga perlu menyelesaikan masalah ini sebelum masyarakat Islam sendiri merasakan bosan untuk mengambil berat mengenai persoalan ini. Konflik perundangan yang wujud mestilah diselesaikan segera. Kesalahan mencampurkan bahan haram ke dalam makanan Umat Islam samada dilakukan oleh orang Islam atau orang bukan Islam hendaklah dihukum dengan hukuman yang amat berat kerana ianya membabitkan soal syurga dan neraka. Rasulullah saw bersabda :
كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ حَرَامٍ فَالنَّارُ أَوْلَىْ بِهِ
Setiap daging yang tumbuh dari unsur yang haram maka neraka lebih layak baginya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Di kala mana bangsa lain begitu mendesak agar agama mereka dihormati, maka umat Islam lebih berhak mendapat penghormatan tersebut di negara tercinta ini. Kita mempunyai kuasa politik untuk menjadi menteri, kita memegang jawatan sebagai ketua jabatan yang melaksanakan polisi, kita mempunyai penguatkuasa yang digeruni, kita mempunyai media dan akhbar yang boleh mempengaruhi. Maka apakah alasan untuk tidak menyelesaikan masalah sekecil ini. Atas nikmat Allah yang mana lagi kah yang ingin kita dustai.
Sidang Jumaat Sekelian,
Kita wajib berubah daripada banyak bercakap kepada banyak melaksanakan tugas. Kita wajib meneroka industri makanan kita sendiri tanpa mengharapkan orang lain melakukannya untuk kita. Dimanakah maruah kita mengharapkan orang lain menyuapkan makanan ke mulut kita, kemudiannya merayu dan meratap agar hanya makanan halal sahaja yang disuapkan ke mulut kita.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْانِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
No comments:
Post a Comment