Friday, June 10, 2011

Khutbah: Keamanan dan keselamatan negara satu jihad

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِي اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ اَنْفُسَهُمْ وَاَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ   يُقَاتِلُوْنَ   فِىْ  سَبِيْلِ  اللهِ فَيَقْتُلُوْنَ وَيـُقْتَلُوْنَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا.


أَشْهَدُ اَنْ لااِلهَ اِلاَّ الله  وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الَّذِيْ اَرْسَلَهُ كَافَةً لِلنَّاسِ بَشِيْرًا وَنـَذِيْرًا,وَهَاِديًا إِلىَ الْحَقِّ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
  اما بعد, فيا عباد الله اِتَّقُوْا الله وَاُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Sekalian,

Keselamatan adalah merupakan perkara yang menjadi keperluan asas bagi setiap insan untuk hidup bahagia di dunia ini. Islam merupakan sesuatu agama yang memandang berat terhadap aspek keselamatan umatnya dan alam seluruhnya. Ini sesuai dengan pengertian yang terangkum di dalan istilah "الاسلام" itu sendiri yang bermaksud “selamat dan sejahtera”.

Islam menganggap tugas menjaga keamanan dan ketenteraman awam sebagai tugas yang amat mulia. Walau seadil mana pun undang-undang yang diperuntukkan namun tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa adanya penguatkuasaan oleh anggota keselamatan. Atas dasar inilah kerajaan mengistiharkan 25hb. Mac sebagai Hari Polis.


Sidang Jumaat Sekalian,

Sebagai seorang anggota keselamatan yang beragama Islam, kita mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap agama, bangsa dan negara. Di samping menjaga keselamatan negara, keselamatan dari sudut agama juga tidak harus kita lupakan. Islam telah menetapkan senarai keutamaan dalam menjaga keselamatan. Keselamatan yang menjadi keutamaan yang tertinggi adalah keselamatan agama itu sendiri. Keselamatan agama bukan sahaja perlu dijaga oleh anggota keselamatan sahaja tetapi mesti dijaga oleh setiap muslim. Penekanan terhadap penjagaan aqidah mesti menjadi keutamaan setiap kita. Sebarang pencemaran dan penjejasan terhadap aqidah umat perlu disekat dan dicegah. Anggota keselamatan yang beragama Islam perlu membantu pihak berkuasa agama dalam menjaga keselamatan aqidah di kalangan umat Islam.



Sidang Jumaat Sekalian,

Keutamaan kedua yang menjadi tanggungjawab kita adalah menjaga nyawa. Allah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 33 :
وَلاَ تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ وَمَنْ قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلاَ يُسْرِفْ فِي الْقَتْلِ إِنَّهُ كَانَ مَنْصُورًا
Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu kerana sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan.

Allah bukan sahaja mengharamkan perbuatan membunuh orang lain tetapi juga mengharamkan juga perbuatan membunuh diri sendiri. Lebih jauh dari itu Islam juga mengharamkan perbuatan mencederakan orang lain atau mencederakan diri sendiri yang mana Allah memberikan jalan penyelesaiannya dengan Hukum Qisas. Oleh yang demikian peranan anggota keselamatan dalam memastikan keselamatan nyawa dan jiwa dalam masyarakat adalah amat penting.

Sidang Jumaat Sekalian,

Keutamaan ketiga selepas agama dan nyawa adalah menjaga akal. Hanya dengan generasi yang mempunyai akal yang waras dan rasional sahaja negara akan mencapai kemajuan. Oleh yang demikian sebarang unsur yang boleh menjejaskan potensi akal perlu dihapuskan daripada masyarakat dan negara. Penguatkuasaan secara tegas terhadap penyalahgunaan dadah dan pengambilan arak di kalangan orang Islam mestilah dilaksanakan. Rasulullah S.A.W bersabda :

لَعَنَ اللهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُتْبَاعَهَا وَعَا صِرَهَا وَمُعَصِّرَهَا  وَحَا مِلَهَا وَمَحْمُوْلَةً ِالَيْهَا.
Allah melaknat arak, peminumnya, pemberi minum, penjual, pembeli, pengusaha arak, orang yang dibuat arak untuknya, pembawa arak dan orang yang dibawa arak untuknya. (Hadis riwayat Abu Daud dari Ibnu Umar)


Sidang Jumaat Sekalian,

Keutamaan keempat adalah untuk menjaga keselamatan keturunan dan maruah masyarakat. Sebarang pencabulan terhadap kesucian keturunan manusia dan pencabulan terhadap maruah manusia mesti disekat secara bersungguh-sungguh. Islam bukan sahaja mengharamkan perzinaan malah turut mengharamkan tuduhan zina dibuat sewenang-wenangnya terhadap seorang Islam. Allah berfirman dalam surah Al-Nur ayat 4 :
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلاَ تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu terima persaksian mereka selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.



Sidang Jumaat Sekalian,

Keutamaan yang kelima adalah menjaga harta benda. Islam mewajibkan kita mempertahankan harta benda kita daripada dirosakkan atau diambil oleh orang lain dengan cara yang salah. Islam mengharamkan perbuatan mencuri malah meletakkan hukuman yang lebih berat jika sampai ke peringkat merompak. Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 33 :

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الأَرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلَافٍ أَوْ يُنْفَوْا مِنَ الأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Sesungguhnya balasan bagi orang yang memerangi Allah dan Rasulnya serta melakukan kerosakan di muka bumi. Mereka akan dibunuh dan disalib atau dipotong tangan dan kaki bertimbal balik atau dibuang negeri itu adalah penghinaan bagi mereka di dunia dan akhirat nanti mereka akan beroleh siksaan yang amat besar.


Tugas sebagai anggota keselamatan adalah satu tugas yang cukup penting bagi negara. Islam juga memandang tinggi dan menganggapnya sebagai satu tugas yang amat mulia. Lebih jauh dari itu ianya boleh dianggap sebagai satu cabang jihad dan menjadi ibadat yang diberi pahala di sisi Allah. Walau bagaimanapun kemuliaan dan kepentingan tugas ini akan tercemar dan dipandang serong jika disalahgunakan. Atas dasar inilah menurut pandangan Islam tugas sebagai anggota keselamatan ini akan dianggap sebagai ibadah sekiranya memenuhi beberapa syarat yang ditentukan syara’ iaitu :-

Pertama :

Kita menjalankan tugas tersebut dengan hati yang tulus ikhlas semata-mata kerana Allah.

Kedua :

Kita tidak meninggalkan perintah Allah dan kewajipan kita terhadap agama semasa menjalankan tugas tersebut seperti tidak meninggalkan solat, tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan tanggungan.

Ketiga :

Tidak melakukan maksiat atau perkara yang dilarang oleh Allah ketika melaksanakan tugas seperti tidak mengamalkan rasuah, tidak menganiayai atau menzalimi orang lain secara tidak sewajarnya, dan tidak pilih kasih dalam menguatkuasakan undang-undang.

Keempat :

Bertimbang rasa dalam menjalankan tugas dengan meletakkan asas menjaga keamanan sebagai matlamat utama bukan dengan niat semata-mata mencari kesalahan dan kesilapan dalam masyarakat.



Sidang Jumaat sekalian,

Jika sekiranya asas-asas ini dapat kita hayati maka insyaAllah kita akan dapat melahirkan masyarakat yang aman dan sejahtera yang akan mengundang keberkatan Allah sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 96 :

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى ءَامَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka pintu keberkatan daripada langit dan bumi tetapi mendustakan (Rasul kami) lalu kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...