Thursday, June 09, 2011

Khutbah : Ulamak Pewaris Nabi (Pertikaian Institusi Ulamak)

الحمد لله القائل :

وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالأََنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (28)

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ,

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.



Sidang Jumaat Sekelian,

Marilah kita bersama-sama bertaqwa kepada Allah dengan mendekatkan diri kita dengan golongan yang bertaqwa. Di antara golongan yang telah terbukti keimanan dan ketaqwaan mereka adalah golongan ulamak sebagaimana firman Allah dalam surah al-Fathir ayat 27 di atas tadi yang bermaksud :

Dan di antara manusia, binatang melata dan binatang ternak, berbagai-bagai warna , begitulah hanyasanya mereka yang takutkan Allah adalah ulamak, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.



Sidang Jumaat Sekelian,

Kita hari ini telah dikelirukan oleh suasana dan keadaan di mana terlalu amat sukar mencari dan mengenal pasti ulamak sebenar yang menjadi pewaris nabi walaupun agak mudah mengenalpasti mereka yang bukan ulamak tetapi mengakui sebagai ulamak.
Tanda-tanda ulamak pewaris nabi amat jelas sebagaimana firman Allah di atas iaitu mereka amat takutkan Allah dan amat mengambil berat terhadap perintah-perintah Allah dan amat berwaspada dalam meninggalkan larangan-larangan Allah. Selain sifat taqwa kepada Allah ulamak juga perlu menguasai ilmu-ilmu tertentu bagi melayakkan mereka menggunakan ilmu mereka bagi membimbing umat Islam menjalani kehidupan dunia tanpa melanggari batasan dan sempadan syariat. Setiap ulamak mesti menguasai sekurang-kurangnya ilmu-ilmu fardhu ain dan ilmu-ilmu asas mengenai al-Quran seperti Nasakh dan Mansukh, Asbabul Nuzul, Tafsir dan Ta'wil dan sebagainya. Tidak cukup untuk dikatakan sebagai seorang ulamak jika sekadar boleh membaca al-Quran dan memahaminya melalui terjemahan walaupun mereka inilah yang begitu rakus berbahas dan mengkritik tafsiran ulamak silam yang muktabar. Ulamak juga mesti menguasai ilmu berkaitan al-Sunnah seperti dapat membezakan antara Hadis Mutawatir dan Hadis Ahad, dapat membezakan antara Hadis Gharib dan Hadis Masyhur dan dapat membezakan antara Hadis Sahih dan Hadis Daif. Ulamak juga mesti menguasai ilmu berkaitan Usul Fiqh seperti Kaedah Ijmak dan Qias, Istihsan dan Masolihul Mursalah, Saddul Zara’i dan Qawaid Fiqhiah. Ulamak juga mestilah menguasai bahasa Arab termasuk segala Ilmu Nahu, Saraf dan Balaghah bagi membolehkannya memahami kedua-dua sumber Hukum al-Quran dan al-Hadis. Ulamak juga mestilah boleh memahami suasana dan kemahiran-kemahiran semasa dengan bantuan pakar-pakar bidang tertentu bagi membolehkannya mengistinbat dan mengeluarkan hukum berkenaan isu-isu semasa.

Sidang Jumaat Sekelian,

Peranan ulamak bukan sekadar menetapkan hukum dan mengajar di masjid semata-mata. Ulamak bukanlah golongan yang hanya tahu mengenai agama dan hanya tahu menghukum orang lain. Ulamak juga bertanggungjawab untuk bersama masyarakat menjalani kehidupan bersama. Malah ulamak juga boleh melibatkan diri dalam bidang perniagaan, bidang siasah dan sebagainya. Malah ramai ulamak silam yang menjadi tokoh korporat yang berjaya dan juga menjadi pemimpin negara yang disegani. Malah ulamaklah yang mencetuskan semangat jihad dan memimpin penentangan terhadap penjajah ketika menuntut kemerdekaan negara. Namun kehidupan hari ini yang banyak bergelumang dengan dosa dan maksiat menyebabkan kebanyakan ulamak terpaksa menyisihkan diri dan terpaksa menegur kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Mereka berkewajipan membuat teguran terhadap masyarakat dan tidak boleh bersubahat dengan mendiamkan diri. Tetapi masyarakat hari ini yang tidak mahu menerima teguran lalu mempersalah dan mengecam para ulamak.

Sidang Jumaat Sekelian,

Sejak dahulu hingga sekarang tidak ada sekatan terhadap umat Islam untuk menjadi ulamak. Institusi ulamak tidak pernah dimonopoli atau dikuasai oleh golongan tertentu. Sesiapa sahaja boleh menjadi ulamak asalkan mempunyai kelayakan yang disebut tadi. Sejarah telah membuktikan bahawa institusi fatwa dan gelaran ulamak turut dikongsi bersama oleh pakar-pakar berbagai bidang termasuk pakar perubatan seperti Ibnu Sina, pakar perundangan seperti Ibnu Rusydi, pakar Matematik seperti Al-Jabbar dan pakar kaji bintang seperti Al-Khawarizmi. Semua mereka bukan sahaja merupakan pelopor dan pengasas dalam bidang masing-masing tetapi menguasai ilmu fardhu ain dan ilmu kifayah malah layak menjadi mujtahid. Amat jauh bezanya pada hari ini di mana terlalu ramai orang yang cetek pengetahuan fardhu ain tetapi mahu membawa pemikiran baru dalam agama dan memperkecilkan dan memperbodohkan pandangan ulamak silam. Keghairahan untuk membuah dan melahirkan pemikiran secara terbuka telah meletakkan ulamak muktabar dianggap sebagai berfikiran tertutup atau jumud. Keterbukaan ini telah sampai kemuncaknya hingga kadang-kadang bercanggah dengan adab mengeluarkan pendapat malah kadang-kadang bercanggah dengan syariat Allah. Inilah yang menyebabkan ulamak bangun menegur dan memberi peringatan agar kesucian Islam dapat dipertahankan. Namun tindakan ini pula yang dipersalahkan. Ulamak digambarkan sebagai golongan yang yang tidak boleh ditegur dan enggan menerima teguran. Sedangkan merekalah sebenarnya yang tidak mahu menerima teguran.


Sidang Jumaat Sekelian,

Selain Nabi dan Rasul tidak ada pihak yang boleh mendakwa sebagai maksum dan tidak boleh ditegur. Sejarah ketamadunan Islam yang gemilang telah memaparkan suasana harmoni yang berasaskan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Dan bertolong-tolonglah kamu semua atas dasar kebaikan dan jangan kamu semua bertolong-tolongan atas dasar dosa dan pemusuhan.

Di zaman Khalifah Ar-Rasyidin bukan sahaja umat Islam, mengkritik dan menegur ulamak malah teguran dan kritikan turut juga melibatkan khalifah dan pemerintah. Saidina Umar al-Khattab yang terkenal sebagai seorang yang tegas dan bengis pernah ditegur bukan sahaja oleh para sahabat seperti Salman al-Parisi, malah pernah ditegur secara terbuka oleh seorang sahabat muslimat. Namun yang menegur menjaga adab ketika menegur dan yang ditegur menerima teguran dengan hati yang lapang dan terbuka.


Muslimin yang dirahmati Allah,

Kita mesti menghormati institusi ulamak kerana mereka menyelamatkan kita di dunia dan akhirat. Semakin lama waktu berlalu semakin mengurangkan bilangan manusia yang boleh digelar sebagai ulamak. Rasulullah S.A.W mengingatkan kita dengan kekusutan ini dalam sabdanya :

حَدِيثُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ النَّاسِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاَ فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Hadis riwayat Abdullah b. Umar Ibnu Al-As R.A berkata , Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : Allah tidak mengambil ilmu Islam dengan cara mengambilnya dari dada manusia, sebaliknya Allah mengambilnya dengan mematikan para ulamak sehingga apabila sudah tidak tinggal lagi walau seorangpun ulamak maka manusia akan melantik orang jahil sebagai pemimpin, menyebabkan apabila mereka ditanya mereka akan memberikan fatwa tanpa berdasarkan ilmu pengetahuan. Maka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...