Thursday, June 09, 2011

Khutbah: Menolak Seruan Allah (Ali Imran: 23-30)

الْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِنَ الْكِتَابِ يُدْعَوْنَ إِلَى كِتَابِ اللَّهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ يَتَوَلَّى فَرِيقٌ مِنْهُمْ وَهُمْ مُعْرِضُونَ (ال عمران : 23)


Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang diberikan Kitab (Taurat), mereka diseru kepada Kitab Allah supaya mereka berhukum dengannya, kemudiannya sebahagian dari mereka berpaling dan mereka terus membelakangi kebenaran.

اَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدَنـَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ اِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ.
اَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ فَاِنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ.
Sidang Hadirin Sekelian,

Ayat di atas menceritakan tentang golongan yang diberikan kurniaan Kitab Allah (Taurat) yang mana Kitab tersebut menggesa dan memerintahkan penerimanya agar menggunakan kitab tersebut bagi menyelesaikan segala masalah yang dihadapi di kalangan mereka. Kitab yang diberikan oleh Allah ini adalah sempurna dan lengkap bagi menyelesaikan segala masalah mereka tetapi malangnya sebahagian daripada mereka menolak gesaan Allah ini dan berpaling daripada kebenaran. Lebih malang lagi mereka yang menolak seruan ini adalah mereka yang diberi amanah oleh Allah untuk menghukum dan bertanggungjawab bagi mengurus dan menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan mereka. Ini adalah kisah sejarah yang telah dirakamkan yang berlaku kepada Bani Israel yang diberikan Kitab Taurat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah menjelaskan beberapa faktor yang menyumbang terhadap penolakan tersebut dimana antaranya adalah kerana mereka menyangka bahawa azab Allah yang akan menimpa mereka akibat penolakan tersebut tidaklah sebegitu perit dan hanyalah bagi tempoh beberapa hari sahaja. Mereka terpedaya dengan kesesatan fahaman agama mereka akibat tindakan mereka yang sering memutarbelit dan mengada-adakan perkara yang tidak ada dalam agama mereka. Mereka menyangka bahawa kuasa dan kekayaan mereka di dunia ini dapat mempengaruhi dan merasuah Allah dan malaikat-malaikatnya untuk meringankan azab mereka nanti. Firman Allah :

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَنْ تَمَسَّنَا النَّارُ إِلاَّ أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ وَغَرَّهُمْ فِي دِينِهِمْ مَا كَانُوا يَفْتَرُونَ - (ال عمران : 24)

Itu semua adalah kerana mereka mengatakan (mengikut sangkaan mereka) : Bahawa kami tidak akan masuk neraka kecuali beberapa hari tertentu sahaja. Mereka terpedaya dalam agama mereka akibat apa yang mereka ada-adakan.

Sidang Jumaat sekelian,

Allah menjelaskan akibat perbuatan mereka sebagaimana firmanNya :

فَكَيْفَ إِذَا جَمَعْنَاهُمْ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيهِ وَوُفِّيَتْ كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ - (ال عمران :25)

Bagaimanakah nanti apabila mereka kami kumpulkan di Hari Kiamat yang tidak ada keraguan tentang kewujudannya. Dan akan disempurnakan setiap jiwa balasan terhadap apa yang mereka usahakan. Dan mereka tidak sekali-kali dizalimi.

Sidang Jumaat Sekalian,

Mungkin sebahagian manusia masih meragui tentang kekuasaan Allah bagi membalas segala keengkaran mereka. Bagi menghilangkan keraguan tersebut maka fikirkanlah bagaimana Allah berkuasa menggantikan sesebuah kerajaan atau pemerintah yang merasa bongkak dengan kekuasaan mereka sehingga mereka melampaui batas. Allah Maha Berkuasa memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakinya lalu mereka dimuliakan manusia. Begitu juga Allah Maha Berkuasa merampas kembali kekuasaan daripada mereka lalu mereka menjadi sehina-hina manusia di kalangan masyarakat. Mereka dulunya ketika berkuasa dilayan seperti raja dan dibenarkan segala kata-kata mereka. Tiap tindakan mereka dipuji dan disanjung seolah-olah mereka maksum yang terpelihara dari dosa dan kesilapan. Setiap kelemahan dan kegagalan dikatakan berpunca dari sikap orang bawahan dan rakyat jelata tetapi setiap kejayaan dan perubahan dikatakan berpunca dari cetusan idea dan sumbang fikiran mereka. Maka kepalsuan ini hanya akan disedari setelah mereka hilang segala jawatan mereka .

Ingatlah bahawa Allah Maha Berkuasa mengubah nasib mereka semudah Dia menukarkan siang kepada malam serta mematikan yang hidup dan menghidupkan yang mati. Allah juga mampu memberi rezeki dan kemewahan yang tidak terbatas kepada sesiapa yang dikehendakiNya, maka kenapa kepada makhluk juga kamu perlu mengampu. Firman Allah :

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ - (ال عمران :26)

Katakanlah (wahai Muhammad):”Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintah! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari, sesiapa yang Engkau kehendaki Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

تُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَتُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَتُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَتَرْزُقُ مَنْ تَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ
- (ال عمران :27)

“Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan sesuatu yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dengan tiada hitungan hisabnya.”

Sidang Hadirin sekelian,

Allah juga tidak suka peristiwa sejarah ini terus berlaku tanpa ada sebarang tindakan mengatasinya. Oleh yang demikian Allah menyarankan kepada Bani Israel agar tidak menambahkan lagi golongan yang mempunyai ciri-ciri yang disebutkan tadi kerana bala Allah tidak akan menimpa kepada mereka sahaja malah turut menimpa seluruh masyarakat. Maka Allah menyarankan agar mereka tidak melantik orang-orang kafir atau yang sejenis dengan mereka seperti orang munafiq, orang fasiq, orang zalim dan sebagainya bagi menjadi pemimpin mereka dalam urusan agama dan dunia mereka. Jika sekiranya mereka masih melakukannya maka Allah melepaskan tanggungjawabNya daripada menolong mereka. Mereka hanya dibenarkan melantik pemimpin seperti di atas jika sekiranya ada ketakutan yang memaksa mereka melakukannya. Namun Allah mengetahui apa yang ada di hati mereka samada terpaksa atau rela dalam melakukannya. Segalanya akan dizahirkan oleh Allah pada Hari Kiamat kelak dimana segala kebaikan dan kejahatan manusia diperlihatkan sehingga mereka mengharapkan agar masa dapat diundurkan dan Hari Kiamat itu masih jauh dengan mereka. Allah berfirman :

لاَ يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلاَّ أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ - (ال عمران :28)
قُلْ إِنْ تُخْفُوا مَا فِي صُدُورِكُمْ أَوْ تُبْدُوهُ يَعْلَمْهُ اللَّهُ وَيَعْلَمُ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ - (ال عمران : 29)
يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُحْضَرًا وَمَا عَمِلَتْ مِنْ سُوءٍ تَوَدُّ لَوْ أَنَّ بَيْنَهَا وَبَيْنَهُ أَمَدًا بَعِيدًا وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ - (ال عمران :30)
Janganlah Orang-Orang beriman mengambil orang-orang Kafir menjadi Wali (Pemimpin) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Barangsiapa yang berbuat demikian maka lepaslah ia daripada pertolongan Allah kecuali kerana memelihara diri dari sesuatu yang menakutkan mereka. Dan Allah mengingatkan kamu terhadap siksaanNya dan hanya kepada Allah kamu akan kembali. Katakanlah jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu zahirkannya pasti Allah mengetahuinya. Allah Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebaikan dan kejahatannya dihadapkan di hadapan mukanya sendiri, maka mereka berkeinginan jika sekiranya antara mereka dan hari tersebut masih jauh . Dan Allah memperingatkan kamu terhadap siksaannya dan Allah sangat Penyayang kepada Hamba-hambaNya.

Sidang Jumaat Sekelian,

Walaupun ayat ini turun kepada Bani Israel namun pengajarannya kekal sehingga Kiamat. Golongan seperti ini tetap ada sehingga kini dan bersamalah kita menginsafi dan memikirkannya. Semoga kita akan mendapat petunjuk dalam menanti tibanya hari penentuan yang tidak lama lagi akan menjelang.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...