Saturday, February 23, 2013

Sekali lagi aku terpaksa berada di wad hospital yang merupakan satu tempat yg paling kubenci di dunia ini. Walaupun wad di hospital swasta ini hanya kurang sedikit tarafnya dari hotel budget namun suasananya masih menjadikan aku seolah- olah seperti seorang pesakit. Bau ubat dan uniform jururawatnya menjadikan semangatku hilang berterbangan entah ke mana. Namun kerana isteri tercinta terpaksa lah aku berkorban menemaninya saban hari selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan yang menimpanya.
 
       Sepanjang hidupku bukan aku tidak pernah dirawat dihospital. Beberapa insiden sewaktu kecil menjadikan aku seorang yang begitu membenci hospital..antara yang paling hebat apabila bawah lututku terkena zink karat yang menyebabkan parut koyaknya kekal sehingga kini. Aku terpaksa dibawa oleh mak dan kakak untuk mencuci lukanya beberapa kali. Aku terpaksa ditipu dengan pujukan naik bas ke Malim Nawar walaupun bas itu datangnya dari Malim Nawar. Aku hanya mampu meraung bila merasa tertipu apabila bas bertolak menuju ke Kampar.

        Sebagai anak kepada tukang rumah terpijak paku adalah suatu yang amat lumrah. Mempunyai apak yang begitu takut ke hospital mengajar aku satu bentuk perubatan yang pernah disebut oleh Rasulullah walaupun baginda melarang sahabat melakukannya. Beberapa kali aku membantu apak mengubati kakinya yang terpijak paku karat sehinggalah aku sendiri mencubanya. Hanya lebarkan lubang luka tersebut dan masukkan belarang mancis api yang sudah dikikis. Hanya dengan satu sentuhan api maka menyalalah belarang tersebut menyelinap masuk ke saluran darah hingga mengejangkan seluruh tubuh. Rasanya masyaallah terlalu nikmat di sabalik kesakitan yang begitu melampau. Namun kesannya amat menakjubkan kerana kesan luka tersebut seolah-olah tidak pernah ada sebelumnya.  
5249 - حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحِيمِ أَخْبَرَنَا سُرَيْجُ بْنُ يُونُسَ أَبُو الْحَارِثِ حَدَّثَنَا مَرْوَانُ بْنُ شُجَاعٍ عَنْ سَالِمٍ الْأَفْطَسِ عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الشِّفَاءُ فِي ثَلَاثَةٍ فِي شَرْطَةِ مِحْجَمٍ أَوْ شَرْبَةِ عَسَلٍ أَوْ كَيَّةٍ بِنَارٍ وَأَنَا أَنْهَى أُمَّتِي عَنْ الْكَيِّ - رواه البخاري
 ......Daripada Nabi SAW bersabda Kesembuhan itu melalui 3 cara iaitu Berbekam atau meminum madu ataupun melalui kepanasan api dan aku larang ummatku daripada menggunakan api.
 
            Kini setelah usiaku melewati 40 an aku jarang ditimpa sakit. Mungkin kerana doa yang tak putus atau Allah Maha Mengetahui kemampuankku untuk menghadapinya. Aku hanya mampu melawan setiap penyakit dan menyulamnya dengan doa dan rukyah, Segala kesembuhan adalah dari Allah. Moga sehingga ke akhir hayat aku tidak akan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...