Thursday, May 02, 2013

Khutbah: Mampukah Kita Bersatu

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،

 وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (آل عمران :103)

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ 

وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اِتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Muslimin sidang Jumaat Sekelian,

Allah menjelaskan dalam ayat yang dibacakan tadi :

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

         Daripada dahulu sehingga kini, kita sentiasa disogokkan dengan gesaan untuk bersatu dan berpadu, seolah-olahnya dengan bersatu padu semua masalah ummat akan dapat diselesaikan. Sebahagian kita menghendaki semua manusia menerima pandangan dan pendapat mereka seolah-olahnya menyanggahinya merupakan satu dosa yang amat besar. Kebanyakan kita tidak dapat menerima mereka yang tidak bersama dengan kita dan tidak merasakan mereka bersaudara dengan kita jika mereka tidak mentaati kita secara total.


Muslimin yang dirahmati Allah,

         Rasulullah saw terpaksa memecahkan perpaduan yang sekian lama terjalin di kalangan masyarakat Mekah demi menyebarkan kebenaran Islam. Para sahabat terpaksa melupakan ikatan kekeluargaan yang amat mereka cintai, melupakan hubungan persahabatan yang begitu erat dan melupakan perpaduan yang sedia ada di kalangan masyarakat kerana meyakini kebenaran Islam.
Terdapat perbezaan antara pandangan manusia dengan apa yang dikehendaki oleh Allah. Masyarakat yang pada pandangan mereka bersatu padu tetapi sebenarnya adalah berpecah belah disisi Allah. Perpecahan yang ditimbulkan oleh Rasulullah dengan membawa ajaran Allah hakikatnya adalah penyebab kepada perpaduan manusia di sisi Allah. Kehidupan yang begitu mewah dan tenang seolah-olah seperti di syurga, sebenarnya adalah seperti di jurang api neraka. Begitu juga perpecahan yang timbul akibat ajaran yang dibawa oleh Rasulullah, hakikatnya adalah untuk membawa manusia ke dalam syurga.


Saudara kaum muslimin sekelian,

      Sebenarnya kebenaran dan keadilan selama-lamanya tidak pernah bersatu dengan kebatilan dan kezaliman. Kita akan terus melihat golongan kufur, munafiq dan fasiq terus dengan kekufuran, kemunafiqan dan kefasiqan mereka, penjenayah terus menerus melakukan jenayah mereka, manakala golongan Islam dan beriman terus beramal dan berjuang untuk menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Apa yang pasti kedua-duanya tidak akan  bersatu selama-lamanya, melainkan satu golongan berpisah dari golongan mereka dan menggabungkan diri dengan golongan yang satu lagi demi menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.


Saudara kaum muslimin,

      Seorang anak selama-lamanya tidak akan bersetuju dan akan bangkit menentang bapanya andainya bapanya menzalimi dan tidak berlaku adil terhadapnya. Penentangan ini tetap akan dilakukan walaupun menyedari bapanyalah yang selama ini memberi makan-minum, menyediakan pakaian dan pendidikan kepadanya. Jika si bapa tidak mahu anaknya menentangnya, maka janganlah dia menzalimi dan menganiaya mana-mana anaknya. Begitulah yang berlaku terhadap masyarakat Mekah di zaman Jahiliah. Walaupun pemimpin Quraisy merasakan mereka bersatu padu, namun perpaduan mereka hakikatnya adalah perpaduan bagi menindas golongan bawahan serta golongan miskin dan papa. Pertolongan dan bantuan yang diberikan oleh mereka kepada rakyat jelata hakikatnya diambil dari hasil penipuan dan rampasan harta rakyat yang tidak mampu berbuat apa-apa. Maka tidak hairanlah golongan yang terawal menerima dakwah Rasulullah saw adalah golongan yang papa kedana, di samping hamba sahaya yang hidup menderita di bawah penindasan tuan-tuan mereka.


 Muslimin yang dirahmati Allah,

Orang-orang yang berada di landasan kebenaran akan terus menerus berjuang mempertahankan yang hak dan  mereka tidak akan tunduk dan berkompromi dengan kebatilan. Golongan yang engkar dengan perintah Allah tidak mungkin mampu menegah mereka daripada terus melaksanakan perintah Allah demi perpaduan melainkan mereka sendiri yang perlu kembali kepada perintah Allah.  Allah memberi peringatan dalam Al Quran seperti firmannya dalam surah Yunus ayat 99:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ  لأمنَ مَنْ فِي الأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّى يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ (سورة يونس : 99)

Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?


Firman Allah lagi dalam surah Al An ‘am ayat 116 :

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلاَّ الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلاَّ يَخْرُصُونَ – الأنعام : 116

“Sekiranya kamu patuh dan taat kepada  kebanyakkan daripada manusia di atas muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Tiadalah yang mereka turut kecuali sangkaan mereka semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta ”.


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.  

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...