Monday, May 06, 2013

PRU 13

Walaupun terlalu sedih dengan kekalahan dalam menentang kezaliman BN, namun terlalu banyak pengajaran yang bermain di fikiran ini. Walaupun mereka yang tidak pernah mengerti erti perjuangan menegakkan Perjuangan Islam sering memandang sinis dengan ungkapan " Kita tidak kalh tapi masih belum diberikan kemenangan oleh Allah".  Mana mungkin kita mengatakan Nabi Nuh tewas dalam usaha dakwahnya sehingga terpaksa mengambil masa 950 tahun tanpa menuai hasil yang memberangsangkan. 

          Dengan peningkatan 89 perwakilan PR berbanding 133 perwakilan BN, tidak mungkin sesiapapun menafikan pertambahan kemenangan bagi PR jika dinilai dari sudut kemenangan 82 perwakilan PR berbanding 140 perwakilan BN dalam pilihanraya lepas. Ini belum lagi diambilkira melalui peningkatan undi popular yang masih menyebelahi PR berbanding BN.
          Walaupun kehilangan Kedah dan Perak, namun BN sebenarnya tidak lagi boleh mendabik dada lantaran BN sudah kehilangan talian hayat melalui beberapa negeri yang dulunya seolah-olah kubu kuat mereka seperti Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah. Kemenangan majoriti 2/3 di semua negeri yang dimenangi PR iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan pastinya menyesakkan dada pihak Barisan Nasional. 
        Apa yang menarik pada PRU13 kali ini adalah penguasaan Cina dalam hampir kesemua kerusi yang ditandingi oleh mereka melalui wadah DAP. Dengan hanya tinggal 6 kerusi parlimen yang dimenangi MCA berbanding 15 kerusi pada PRU12, dan hanya 1 kerusi milik Gerakan berbanding 2 kerusi pada pilihanraya lepas, bolehlah dianggap bahawa MCA dan Gerakan sudah tidak begitu relevan bagi Barisan Nasional. Umno sepatutnya sudah mampu bertindak meminggirkan mereka jika mereka benar-benar mengasaskan perjuangan mereka terhadap bangsa Melayu sebagaimana hujahan mereka agar PAS memutuskan hubungan dengan DAP.
      Bagaimana mungkin rakyat boleh menerima keputusan ini memandangkan di Perak, Kedah, Perlis dan Terengganu, PR tewas selepas kiraan semula dengan peningkatan jumlah kerusi kepada BN walaupun kiraan awal PAKATAN menang di kerusi tersebut. Ini ditambah lagi dengan penglibatan pengundi-pengundi Bangla yang dilihat sebelah mata oleh pihak SPR. Apapun kita tetap terpaksa redha dengan ketentuan Allah, walaupun keredhaan itu tidak menafikan hak kita untuk menyatakan rasa tak puashati dengan penipuan yang dilakukan.
       Apa yang membimbangkan dengan keputusan ini adalah apakah hala tuju pemikiran bangsa Melayu dan ke manakah kita akan dibawa selepas ini. Dengan kempen racist secara berterusan menggunakan slogan DAP adalah komunis dan Pas menjadi kuda tunggangan DAP amat jelas begitu berkesan meracuni pemikiran bangsa Melayu. Apakah salahnya strategi PAS yang meletakkan calon yang lebih banyak daripada DAP, namun DAP yang lebih banyak mendapat kemenangan. Apakah wajar DAP dicanangkan sebagai memperdayakan PAS sedangkan kesemua ahli dan penyokong DAP mengundi PAS tetapi malangnya ahli dan penyokong UMNO yang gagal menyokong bagi memberikan kemenangan kepada PAS.
      Wajarkah kita berterusan menghina dan memandang serong kepada orang Cina sedangkan mereka hanya bersatu untuk meruntuhkan BN dimaklumi menzalimi rakyat yang tidak bersama mereka.  Dengan manifesto PR yang begitu jelas mendahulukan rakyat merangkumi peningkatan taraf hidup dan pendapatan rakyat serta pengurangan kos sara hidup, ianya mampu menarik perhatian kaum Cina berbanding Melayu yang lebih terfokus kepada rasa terhutang budi terhadap pemberian One-Off seperti BRIM dan retorik kebimbangan terhadap terjejasnya ketuanan Melayu yang hakikatnya hanya tinggal sejarah semata-mata.
       Ini semua membayangkan perbezaan yang amat ketara dalam corak pemikiran Bangsa Melayu dan Bangsa Cina. Tidak hairanlah kerana Bangsa Cina adalah bangsa yang jauh lebih awal memiliki tamadun kemanusiaan di Negara China berbanding Kesultanan Melaka. Dari sudut keagamaan, Bangsa Cina jauh lebih awal menerima Islam berbanding Bangsa Melayu sehingga tidak keterlaluan jika diistilahkan Bangsa Melayu adalah Muallaf jika dinisbahkan kepada Bangsa Cina. Maka Bangsa Cina hanya tidak mengungkapkan dua kalimah syahadah sebagaimana kita sedangkan nilai-nilai Islam lebih banyak dimiliki dan dihayati oleh mereka berbanding kita.
         Mungkin bagi Pas ada hikmah yang terlalu besar dengan kegagalan ini. Dengan sikap BN yang sanggup melakukan apa sahaj untuk mempertahankan kuasa, mungkin kemenangan PR pada PRU ini akan menyebabkan kekacauan yang besar akibat BN yang mungkin masih gagal menerima kekalahan dan kehilangan kuasa. Mungkin Allah sengaja melambatkan kemenangan PR ini bagi memberi masa mereka menyedari kehendak hati rakyat melalui catatan keputusan terperinci di peringkat parlimen dan pertambahan 71 kerusi DUN bagi pihak PR yang pastinya disedari oleh pihak BN. Boleh jadi juga Allah menghendaki agar pengaruh DSAI berlalu sehingga tidak ada lagi yang benar-benar layak menerajui negara melainkan seluruh rakyat ketika itu melihat Presiden PAS ketika PRU14 nanti paling sesuai untuk menerajui negara dan membawa Islam yang akan diterima oleh semua.
     
        Apa yang pasti tugas kita masih terlalu banyak dalam membangunkan pemikiran Bangsa Melayu dan corak pemikiran mereka. Keputusan pilihanraya tetap merupakan satu ketetapan Allah yang perlu kita terima bersama. Namun ada beban dan amanah yang amat berat sedang menanti kita terutamanya mereka yang menerima anugerah ilmu agama daripada Allah.
 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...