15 Oktober 2011 sekali lagi aku menerima ucapan selamat dari berbagai pihak. 41 tahun lalu aku dilahirkan oleh seorang ibu yang jika tidak silap maklumat yang aku perolehi, ketika itu sudahpun mencecah umur 41 tahun. Masih lagi terasa seolah-olah baru lagi berada di bawah belaiannya. Masih terasa hangatnya dakapan seorang ibu yang hanya pandai menyatakan kasih sayang terhadap anak bongsu manjanya ini melalui tindakan keibubapaannya, tidak sangat melalui kata-kata. Aku dibesarkan di bawah pengawasan sepenuhnya secara langsung oleh ibu tercinta, dengan pengawasan jarak jauh dari ayah yang tidak langsung pandai menzahirkan kasih sayangnya. Dan kini sebahagian sifatnya aku warisi, menjadi bebanan terhadap isteri yang terpaksa berseorangan memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak kami.
Hari Jadi sering dilihat sebagai satu hari yang amat penting dan menggembirakan bagi kebanyakan manusia. Malangnya ia sering mengingatkan diri ini dengan saat-saat kematian yang semakin menghampiri. Bukankah begitu banyak ajal manusia hadir di hari lahirnya. Ini menyebabkan sesekali, menanti berakhirnya hari jadi membuatkan aku merasa seperti berada di kandang pesalah menanti hukuman dijatuhkan.
Ulamak sirah banyak menyamakan tarikh Maulidur Rasul dengan tarikh kewafatan baginda. Umat Islam tidak pernah lupa menyambut tarikh kelahiran baginda berbanding menginsafi kewafatan baginda.
Dengan usia yang mencecah 41, usia yang dikatakan awal kehidupan oleh mereka yang tak kenal erti tua, usia kematangan bagi yang melihat kepada sirah perutusan risalah nubuwwah kepada Rasullullah, usia yang memberikan kata dua kepada yang mahu melakukan perubahan, berubah menjadi lebih baik atau terus berada dalam kesesatan. Berusaha mengejar redha Allah ataupun istiqamah dengan cara hidup syaitan.
Ketika di awal 20'an aku melihat tokoh-tokoh besar yang menabur jasa kepada dunia dalam segala bidang. Aku sebagai insan biasa, menyimpan cita-cita menjejaki langkah mereka. Impianku 20 tahun lagi pasti aku akan menggantikan mereka. Aku berkira-kira, jika ilmu dan kemahiran mereka boleh dikuasai dengan membaca, aku mengira berapa helaiankah yang mesti aku baca sehingga sampai ke tahap umur seperti mereka. Sehingga kini aku sendiri tidak pasti berapa ribu bukukah yang telah kuhabisi sepanjang 20 tahun yang lalu, dan bidang apakah yang belum pernah aku teliti.
Malangnya kini aku masih seperti dulu. Aku hanya insan biasa yang tidak menyumbang apa-apa kepada dunia. Aku hanya jaguh kampung yang hanya pandai menunujukkan kepandaian di hadapan teman-teman sekerja. Aku belum menguasai apa-apa bidang jauh sekali menjadi pakar dan sumber rujukan.
Terlalu banyak impian dan cita-cita besar yang terpaksa aku lupakan. Aku terpaksa belajar menerima kenyataan bahawa aku adalah salah seorang penumpang di dunia yang sementara ini. Aku tidak akan menjadi salah seorang pencaturnya, jauh sekali mengubah dunia.
No comments:
Post a Comment