Wednesday, October 05, 2011

Anugerah Giliran Cemerlang

 

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang adalah anugerah yang amat diharap-harapkan oleh setiap penjawat awam. Melalui skim SSB yang terdahulu ianya menjadi impian memandangkan hasilnya melibatkan pergerakan atau kenaikan gaji samada secara menegak atau melintang. Kenaikan tersebut boleh menjangkau ribuan ringgit dalam masa setahun dan menghampirkan tangga gaji kepada tangga gaji akhir. Namun apabila skim SSM diperkenalkan maka pergerakan gaji ditukarkan kepada kelulusan PTK dan anugerah ini hanya melibatkan pemberian sijil, saguhati RM 1,000.00 dan beberapa manfaat sampingan bagi keutamaan menghadiri kursus serta pameran gambar di papan kenyataan selama setahun.

Pada tahun 2000, ketua bahagianku ketika itu bertanya apakah aku mahu mendapatkan anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun tersebut. Melalui caranya bercakap aku dapat menilai bahawa beliau sebenarnya cuba memohon tolak ansur dariku bagi mengalah kepada salah seorang rakan setugas yang merupakan seniorku walaupun dari segi pencapaian agak sedikit ketara berbeza antara kami berdua. Mengenangkan keakrapannya dengan ketua bahagian ketika itu menyebabkan aku mengatakan kepada ketua bahagian; bagi saya tahun depan je lah.

Alhamdulillah, tahun 2001 aku dikurniakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang memberikan pergerakan gaji secara melintang pada tahun 2002. Ketika itu terasa benar kepuasannya apabila hasil titik peluh dihargai dan dinilai sewajarnya. Walaubagaimanapun sedikit kehampaan aku rasai apabila senarai penerima anugerah pada tahun tersebut melibatkan sama salah seorang anggota yang diketahui umum amat lemah komitmennya terhadap tugas hakikinya. 

Anugerah kali kedua aku terima pada tahun 2003. Anugerah kali ini adalah atas dasar kelulusan peperiksaan PTK (TK2) dengan kelulusan awal secara bersyarat. Aku bersama dua sahabat baikku telah mendapat kelulusan bersyarat iaitu lulus sebahagiannya. Oleh kerana hanya kami sahaja yang mencapai markah yang sedemikian, semakan semula dibuat terhadap kelulusan tersebut. Bagi menjaga imej penjawat awam keseluruhannya, maka geraf kelulusan direndahkan sehingga menyebabkan keputusan kami bertiga diubah kepada lulus sepenuhnya. Kelulusan ini membolehkan aku mendapat anjakan gaji sekali lagi dengan kaedah melintang.

Tahun 2008 aku dihantar bertugas di Daerah Kuala Kangsar. Pada tahun 2009, aku memohon untuk memanggku Daerah Ipoh bagi membolehkan aku mengurangkan kos ulang alik ke Kuala Kangsar menjadi 3 hari seminggu sahaja.  

 Pejabat Agama Daerah Ipoh adalah daerah yang paling sibuk dengan kadar pendaftaran pernikahan lebih kurang 2 kali ganda berbanding daerah kedua sibuk seperti Kuala Kangsar, Taiping, Teluk Intan dan Manjung. Ini menjadikan aku terpaksa  menyelesaikan tugas di dua daerah yang amat sibuk. Walaupun pengarah sendiri berusaha untuk mendapatkan elaun memangku bagiku, namun oleh kerana tidak menjadi pegawai yang begitu dikehendaki, pihak SUK tidak begitu bersungguh untuk menjayakannya. Maka jika sekiranya anugerah seterusnya aku terima berasaskan tugas pada tahun 2009 maka aku merasakan aku amat layak menerimanya. Namun tahun 2009 bukanlah giliran aku untuk menerimanya.


2011 aku sekali lagi menerima anugerah berasaskan penilaian tugas pada tahun 2010. Jika tidak memikirkan komitmen yang pernah aku curahkan pada tahun 2009 tanpa sebarang penghargaan, ingin rasanya aku menolak untuk menaiki pentas pada tahun ini. 2010 adalah tahun yang paling sedikit sumbanganku kepada kerajaan. Tahun berkenaan adalah tahun aku menuai sedikit sumbangan kerajaan terhadap tugas yang aku curahkan selama ini. Selama hampir 3 bulan aku di hantar berkursus ke Mesir. Di hujung tahun hampir 2 bulan aku diberi anugerah menunaikan Fardhu Haji di Mekah. Maka tidak ada asas langsung untuk aku menerima anugerah pada tahun ini melainkan atas asas giliran semata-mata.



Sijil Perkhidmatan Terpuji yang diberikan kepada mereka yang dianggap baik komitmennya tetapi tidak sampai gilirannya untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Sijil ini hanyalah sekadar memujuk hati tanpa kelebihan apa-apa............




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...