Sunday, February 07, 2010

Akibat Hukum Hudud Yang Tidak Dilaksanakan

Ketika Aduka Taruna di dakwa atas penghinaannya terhadap Sultan Johor, berbagai reaksi dizahirkan oleh berbagai pihak. Atas semangat bloggers yang mengatasi segalanya, ada juga bloggers yang menyokong perjuangan Islam turut bersimpati malah melaksanakan kempen kutipan derma membantu beliau. Atas nama kebebasan mengeluarkan pendapat dan berkreativiti segala caci maki dan sindirannya terhadap perjuangan Islam begitu mudah dilupakan begitu sahaja. Malah penghinaannya terhadap Ummul Mukminin dan Ulamak Salaf tidak dianggap sebagai jenayah, tetapi sekadar penyakit yang hanya memerlukan rawatan dan perhatian. Atas nama dakwah kononnya beliau harus didekati, bukan dibenci dan dicaci. Dosa beliau diserahkan kepada Allah, dan kita kononnya tidak berhak menghakimi.


Jika inilah pemikiran yang dibudayakan, entah apa akan jadi suatu masa nanti. Manusia menjadi seolah-olah mempertuhankan hak asasi walaupun mengenepikan hak Allah sebagai Pencipta. Ayat-Ayat Allah yang menerangkan berkenaan Hukum Hakam perbuatan manusia seolah-olah sudah tidak boleh digunapakai lagi. Setiap pesalah dan penjenayah harus diberikan simpati dan tidak ada manusia yang boleh menghukumi. Maka bebaslah manusia berbuat apa sahaja kerana hanya Allah sahaja yang akan menentukan benar atau salah segala perbuatannya. Mangsa jenayah mesti bersabar dan memaafkan penjenayah kerana mungkin ada sebab tertentu yang menyebabkan penjenayah melakukan perbuatan jenayahnya. Sebab tertentu itulah yang harus dipersalahkan bukan penjenayah yang melakukan jenayah. Ianya mungkin kedua ibu bapa yang gagal mendidiknya menjadi baik, masyarakat yang meminggirkannya, teman-teman yang sering mempengaruhinya dan yang paling besar salahnya adalah para ustaz dan ulamak yang hanya tahu mengeluarkan hukum haram terhadap perbuatannya.

Apakah agaknya yang bermain di minda blogger yang mencipta gambar di atas. Mungkin bagi beliau Ulamak sama sahaja martabatnya dengan blogger seperti beliau. Dengan ketandusan ilmu di bidang agama, beliau mungkin menyangka tuduhan liwat dan zina sama sahaja dengan tuduhan rasuah atau mencuri anak ayam di kampung-kampung. Pasti tidak ada dalam mindanya ketakutan kepada Had Qazaf kerana pasti ianya tidak akan dikenakan terhadapnya di negara ini. 

Persoalan politik bukanlah segala-galanya di dunia ini. Kekaguman seseorang terhadap Tuan Guru Nik Aziz dan Anuar Ibrahim tidak boleh sampai memaksumkan mereka daripada sebarang salah dan dosa. Kebencian terhadap mereka berdua juga tidak membolehkan mereka diperlakukan semahu-mahunya. Tuduhan Liwat sama sahaja hukumnya dengan tuduhan zina. Hukuman khusus diperuntukkan dalam Hukuman Hudud bagi kesalahan tersebut. Malah Al-Quran juga menetapkan hukuman yang amat berat yang tidak ada seumpamanya dalam kesalahan lain. Selain 80 sebatan kepada pelakunya, dia dikira fasiq dan tidak boleh menjadi saksi selama-lamanya. Ini bermakna kata-kata dan pendapat mereka secara dasarnya sudah hilang kewibawaan dan tidak boleh digunapakai. Maka berhati-hatilah sebelum membuat tuduhan atau menyokong tuduhan-tuduhan tersebut. Diam dan menunggu kepastian adalah lebih menghampiri kebaikan bagi sesiapa sahaja yang tidak berkaitan. Tuduhan yang begitu memualkan belum dibuktikan atau disabitkan. Maka pihak yang dituduh tidak boleh lagi di anggap bersalah dan diaibkan. Begitu juga pihak yang menuduh (dikatakan menjadi mangsa) mempunyai hak untuk membuktikan dan tidak wajar untuk dipersoalkan. Namun apa halnya dengan orang lain yang tidak ada kena mengena dengan kes ini dalam apa-apa keadaan. Atas dasar politik, mereka ibarat lebih sudu dari kuah. Tanpa mempunyai sebarang bukti dan pengetahuan, mereka memperpanjangkan tuduhan dan menambahkan keaiban. Mereka secara pasti telah melakukan kesalahan qazaf dan dengan mudah menjadi fasiq tanpa alasan yang nyata. Apakah berbaloi segala yang mereka lakukan hanya kerana ketaksuban mereka terhadap ideologi yang mereka pertahankan. Apakah Hukum Tuhan sudah tidak lagi menjadi perkiraan mereka sedangkan mereka masih mengaku beriman kepada tuhan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...