Wednesday, April 29, 2009

Orang Kafir Tidak Dihalang Membaca Al-Quran

Terdapat satu perkembangan yang amat baik dalam usaha dakwah kepada Agama Islam di era pemerintahan Pakatan Rakyat di Negeri Perak Darul Ridzuan. Oleh kerana kelaziman bagi YAB Menteri Besar memulakan setiap perbincangan dengan ayat-ayat Al-Quran telah menyebabkan sebahagian daripada ayat-ayat yang dibaca telah menarik perhatian beberapa orang Exco bukan Islam. Maka muncullah satu fenomena baru dimana mereka juga turut menukilkan ayat-ayat tersebut dalam ucapan tersebut. Ini menyebabkan sebahagian daripada orang-orang Islam melatah dan menuduh mereka menghina al-Quran lantaran bacaan mereka mempunyai beberapa kesilapan sebutan dan makhraj huruf malah jauh sekali untuk menandingi bacaan para qari.
Namun apakah semata-mata kerana kekurangan tersebut menyebabkan mereka wajar dihalang daripada membacanya. Apakah halangan ini juga akan diperluaskan kepada mana-mana orang Islam yang sebahagiannya lebih banyak kesilapan dari segi tajwidnya. Tidakkah kewajipan orang Islam membetulkan bacaan mereka jika berlaku kesilapan dan ini tidak akan berlaku jika mereka dihalang daripada membacanya.
Hakikatnya al-quran bukanlah diturunkan semata-mata untuk Umat Islam shaja tetapi ianya sebagai rahmat kepada seluruh Alam. Ayat al-Quran sendiri banyak menggunakan perkataan "wahai manusia" yang merangkumi orang-orang bukan Islam. Maka bagaimanakah mereka mahu mendengar arahan Allah ini yang ditujukan kepada mereka sedangkan mereka dilarang daripada membacanya.
Walau apapun latar belakang bantahan ini, namun faktor apa sekalipun termasuk faktor politik tidak seharusnya mengatasi hukum Syariat yang telah ditetapkan oleh Allah. Kenapa tidak kita bertanya apa kata fuqaha' berkaitan perkara ini sebelum kita mengeluarkan sebarang kenyataan yang akhirnya menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap ulamak dan menjauhkan orang bukan Islam daripada penghayatan agama suci ini.
Beberapa buah Kitab Feqah boleh dirujuk dalam hal ini dapat memberikan gambaran mengenai isu yang diperbincangkan ini. Di antaranya adalah :
Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbini menjelaskan dalam Kitab Mughniyul Muhtaj, Jilid 1, halaman 72 :
أما الكافر فلا يمنع من القراءة القران لأنه لا يعتفد حرمة ذلك كما قاله الماوردي
Adapun orang kafir, maka tidak ditegah daripada membaca al-Quran, kerana tidak difatwakan haramnya perbuatan demikian, sebagaimana kata al-Mawardi"
Pengarang kitab I'anatut Talibin, jilid 1, halaman 69, telah memetik keterangan dari kitab Busyra al-Karim seperti berikut:
قال في بشرى الكريم ويشترط كونها من مسلم مكلف فلا يمنع الكافر منها ان لم يكن معاندا ورجي اسلامه ولا الصبى ولا المجنون اه
"Katanya dalam Kitab Busyra Al-Karim, dan disyaratkan bahawa dia seorang Islam yang Mukallaf. Maka tidak ditegah orang kafir daripada membaca al-Quran, jika dia tidak bersikap menentang dan diharap dia akan memeluk Islam"
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Kitab Sabil al-Muhtadin, jilid 1, halaman 112 berkata:
"dan hanyasanya ditegah kafir daripada menyentuh mashaf kerana haram menyentuh dia itu terlebih muakkad dengan dalil haram menanggung dia serta hadas dan haram menyentuh ia dengan najis, bersalahan dengan membaca Quran kerana harus membaca dia serta hadas dan harus membaca dengan mulut yang kena najis"
Syeikh Daud al-Fatani, dalam Kitab Bughyah al-Tullab, jilid 1, halaman 49 pula berkata:
"dan keluar dengan kata muslim itu, orang kafir maka jangan ditegahkan dia daripada membaca Quran kerana tiada iktikad akan haramnya tetapi jika kita harap akan Islamnya"
Masalah dikatakan bahawa ianya dianggapa satu penghinaan terhadap Al-Quran maka hendaklah diteliti keadaan pembaca tersebut. Jika sekiranya jelas niatnya atau tindakannya memperkecil dan menghina isi kandungan atau ajaran dari ayat yang dibacakan maka tidak syak lagai bahawa ianya adalah haram dibiarkan dan wajib dihalang mereka daripada membacanya. Ini bukan sahaja khusus kepada orang bukan Islam malah lebih-lebih lagi terhadap orang Islam sendiri yang membaca al-Quran lalu menghinanya. Namun jika tiada tanda-tanda nyat penghinaan tersebut maka niat di hati pembaca kita serahkan kepada Allah dan tiadalah alasan kita untuk menghalang mereka membacanya. Malah sepatutnyalah orang yang Islam yang tidak mahu membaca dan merujuk kepada al-Quran mereka terhina dan teras malu kerana sebenarnya mereka lebih hina daripada orang kafir itu lantaran mereka menolak cahaya yang diberikan oleh Allah bagi menerangi kehidupan mereka sedangkan orang bukan Islam sekadar tumpang mengambil panduan dari kejauhan chaya petunjuk yang dikurniakan oleh Allah.

Friday, April 24, 2009

Hadiah Isltimewa Barisan Nasional Kepada Umat Islam

Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan itu adalah antara penyelesaian jangka panjang yang dicapai oleh Kabinet semalam memandangkan lebih banyak kes seperti yang melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi, dijangka muncul pada masa akan datang. Mohd Ridzuan, atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anaknya Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, 1 kepada Islam pada 12 April serta memohon hak penjagaan terhadap mereka di Mahkamah Syariah walaupun emak mereka masih beragama Hindu. "Penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak," kata Mohamed Nazri pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak, menjadi mangsa. Katanya Kabinet juga membuat keputusan bahawa sekiranya sesuatu perkahwinan didaftarkan di mahkamah sivil, maka ia hanya boleh dibubarkan mengikut undang-undang sivil."Jangan jadikan agama, contohnya Islam, sebagai alat untuk melepaskan diri daripada perkahwinan kerana perbuatan seperti ini akan mencemarkan nama agama itu," kata Mohamed Nazri. Beliau berkata Kabinet juga bersetuju bahawa tarikh penguatkuasaan undang-undang Islam terhadap seseorang mualaf ialah tarikh dia memeluk agama itu. Katanya bagi menguatkuasakan keputusan itu, Pejabat Peguam Negara akan diminta meneliti semua undang-undang berkaitan yang perlu dipinda, tetapi tidak termasuk undang-undang syariah, yang terletak di bawah bidang kuasa sultan. Mohamed Nazri berkata sebagai langkah jangka pendek bagi kes Mohd Ridzuan, menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri senator Datuk Jamil Khir Baharom, diminta memberi kaunseling kepada Mohd Ridzuan. BERNAMA

Semua umat Islam mesti menerima hakikat bahwa :

1. Hukum Islam bukanlah penentu dalam pertikaian yang berlaku di negara ini kerana undang-undang sivil adalah yang tertinggi dan Hukum Islam hendaklah diselaraskan dengan kehendak undang-undang sivil.

2. Islam sebagai agama persekutuan tidak boleh dijadikan alasan untuk menganggap agama ini lebih istimewa daripada agama lain.

3. Ketegasan dalam mentaati Hukum Islam akan dianggap mencemarkan imej agama ini di sisi kerajaan hari ini.

4. Orang Melayu wajib bermatian agar orang Bukan Melayu tidak mendapat hak milik tanah tetapi hendaklah bertolak ansur jika terdapat tuntutan daripada mereka walaupun terpaksa menjejaskan agama kita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...