Monday, February 02, 2009

Surat Perletakan Jawatan

Isu Surat Perletakan Jawatan 2 orang Exco kerajaan Negeri Perak sedang hangat diperbincangkan. Bagi pihak BN amat tidak berpuashati kerana seorang daripada ADUN BN juga telah melompat parti tanpa perlu melepaskan jawatan wakil rakyatnya. Namun ada kelainan di antara kedua-dua kes ini memandangkan 2 Exco ini seolah-olah dipaksa atau diumpan secara halus bagi melompat parti berbanding dengan ADUN BN yang secara sukarela menyertai PR. Keahlian dalam Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak juga dikira unik memandangkan terdapat perjanjian secara bertulis yang dibuat di hadapan pihak istana. Dalam hal ini timbul persoalan adakah keterpaksaan mereka dilucutkan jawatan ini diiktiraf oleh Syarak. Situasi yang hampir sama pernah menimbulkan polimik di kalangan Umat Islam suatu ketika dulu iaitu dalam kes pengantin lelaki dipaksa bertaklik. Seorang Muslim itu diikat pertanggungjawabannya dengan janji yang dibuatnya apatah lagi jika ada hitam putih perlaksanaannya. Setiap ADUN Kerajaan Negeri Perak telah diminta berjanji untuk kekal bersama dengan Kerajaan Pakatan Rakyat dengan cara menandatangani surat perletakan jawatan tanpa tarikh dimana ianya akan berkuatkuasa ketika mana kesetiaan mereka berakhir. Ini bermakna mereka dikira dengan sendirinya meletakkan jawatan sebaik sahaja keluar daripada parti yang mendokong Pakatan Rakyat. Ini sama sahaja kaedahnya dengan talak yang akan jatuh serta merta sebaik sahaja syarat yang ditetapkan dalam lafaz yang disebut oleh pengantin lelaki berlaku atau terjadi. Walaubagaimanapun tidak sebagaimana taklik yang tidak boleh ditarik balik sehinggalah ianya berlaku dan jatuhnya talak, kedua Exco ini boleh sahaja menarik kembali surat perletakan jawatan tersebut sebelum melompat parti. Dalam hal ini kedudukan mereka dalam kerajaan akan bergantung kepada pihak Menteri Besar termasuk pihak istana. Namun apabila mereka terlebih dahulu meninggalkan parti maka apakah alasan untuk mereka menarik kembali perletakan jawatan tersebut kerana mereka tidak lagi menjadi ADUN mana-mana kawasan ketika itu. Tambahan lagi setelah Speaker DUN telahpun menerima dan mengisytiharkan kekosongan kedua-dua kerusi tersebut. Apa yang mampu dilakukan oleh mereka pada masa ini hanyalah mengharapkan agar BN bersimpati dengan nasib mereka yang sudah kehilangan jawatan masing-masing dan menunaikan segala janji manis yang ditawarkan kepada mereka sebelum ini. Ironinya, apakah faedahnya mereka kepada BN pada masa ini sehingga BN terpaksa memikirkan kebajikan mereka.....

Sunday, February 01, 2009

Dunia Ibarat Roda



Situasi seperti ini mungkin suatu yang amat ganjil suatu masa lalu. Kehadiran pejuang bahasa dan tokoh-tokoh elit dalam program pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di Sogo termasuk Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said, Prof. Awang Sariyan, Dato' Dr Anwar Ridhuan, penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan bekas profesor falsafah sains Dr Shahrir Md Zain, Hasni Abas serta penulis Ainon Mohd adalah merupakan sejarah yang sukar untuk diramalkan. Sebahagian mereka mungkin tidak terlibat malah mungkin menggeleng kepala melihat perarakan politik yang dianjurkan oleh pembangkang selama ini. Gelengan kepala mereka mungkin berbeza dengan gelengan orang awam yang merungut hanya akibat kesesakan lalulintas akibat perarakan tersebut. Di fikiran mereka mungkin menganggap penganjur demontrasi jalanan ini sebagai kurang bijak dan tiada hikmah dalam bertindak. Mereka lebih merasakan ketinggian daya intelek mereka menyebabkan mereka meyakini kehebatan kaedah perjuangan mereka dengan mendampingi pemimpin negara. Selain suara mereka lebih didengar mungkin labanya juga dapat dirasai bersama. Mereka mungkin sahaja sama pemikirannya seperti Tun Dr. Mahathir yang marah dengan demonstrasi jalanan ketika memerintah namun mengharapkan bantuan golongan yang suka berdemonstrasi untuk mengumpulkan rakyat ketika hak bersuara di media massa dinafikan. Tun Dr. Mahathir sentiasa mengarahkan FRU untuk menggunakan gas pemedih mata ketika berkuasa lalu sebelum merasai sendiri kepedihannya setelah hilangnya kuasa.
Maka apakah kini daya intelek mereka telah mula berkurangan. Atau sahaja mungkin cara hikmah mengikut interpretasi sebelumnya sudah tidak lagi sesuai. Apabila kepentingan atau bidang perjuangan mereka terancam maka apa sahaja yang boleh membantu atau menjayakan perjuangan harus dilaksanakan. Oleh kerana kemiskinan bukan teras perjuangan mereka, maka apa dipedulikan gerakan perjuangan rakyat mengatasi kemiskinan di Baling. Oleh kerana demokrasi dan keadilan bukan agenda zohir perjuangan mereka, mana mungkin mereka harus terlibat dengan perhimpunan "BERSIH". Maka tidak hairanlah mereka hanya mampu mengumpulkan paling tidak 500 orang bagi perarakan tersebut. Mungkin wajar golongan ini melibatkan diri dengan mana -mana demonstrasi yang diadakan dari masa ke semasa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...