Monday, February 02, 2009

Surat Perletakan Jawatan

Isu Surat Perletakan Jawatan 2 orang Exco kerajaan Negeri Perak sedang hangat diperbincangkan. Bagi pihak BN amat tidak berpuashati kerana seorang daripada ADUN BN juga telah melompat parti tanpa perlu melepaskan jawatan wakil rakyatnya. Namun ada kelainan di antara kedua-dua kes ini memandangkan 2 Exco ini seolah-olah dipaksa atau diumpan secara halus bagi melompat parti berbanding dengan ADUN BN yang secara sukarela menyertai PR. Keahlian dalam Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak juga dikira unik memandangkan terdapat perjanjian secara bertulis yang dibuat di hadapan pihak istana. Dalam hal ini timbul persoalan adakah keterpaksaan mereka dilucutkan jawatan ini diiktiraf oleh Syarak. Situasi yang hampir sama pernah menimbulkan polimik di kalangan Umat Islam suatu ketika dulu iaitu dalam kes pengantin lelaki dipaksa bertaklik. Seorang Muslim itu diikat pertanggungjawabannya dengan janji yang dibuatnya apatah lagi jika ada hitam putih perlaksanaannya. Setiap ADUN Kerajaan Negeri Perak telah diminta berjanji untuk kekal bersama dengan Kerajaan Pakatan Rakyat dengan cara menandatangani surat perletakan jawatan tanpa tarikh dimana ianya akan berkuatkuasa ketika mana kesetiaan mereka berakhir. Ini bermakna mereka dikira dengan sendirinya meletakkan jawatan sebaik sahaja keluar daripada parti yang mendokong Pakatan Rakyat. Ini sama sahaja kaedahnya dengan talak yang akan jatuh serta merta sebaik sahaja syarat yang ditetapkan dalam lafaz yang disebut oleh pengantin lelaki berlaku atau terjadi. Walaubagaimanapun tidak sebagaimana taklik yang tidak boleh ditarik balik sehinggalah ianya berlaku dan jatuhnya talak, kedua Exco ini boleh sahaja menarik kembali surat perletakan jawatan tersebut sebelum melompat parti. Dalam hal ini kedudukan mereka dalam kerajaan akan bergantung kepada pihak Menteri Besar termasuk pihak istana. Namun apabila mereka terlebih dahulu meninggalkan parti maka apakah alasan untuk mereka menarik kembali perletakan jawatan tersebut kerana mereka tidak lagi menjadi ADUN mana-mana kawasan ketika itu. Tambahan lagi setelah Speaker DUN telahpun menerima dan mengisytiharkan kekosongan kedua-dua kerusi tersebut. Apa yang mampu dilakukan oleh mereka pada masa ini hanyalah mengharapkan agar BN bersimpati dengan nasib mereka yang sudah kehilangan jawatan masing-masing dan menunaikan segala janji manis yang ditawarkan kepada mereka sebelum ini. Ironinya, apakah faedahnya mereka kepada BN pada masa ini sehingga BN terpaksa memikirkan kebajikan mereka.....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...