Atas rasa tanggungjawab sebagai ketua agama daerah, menyebabkan aku hadir ke Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada tengahari tadi walaupun aku telah mengisi borang cuti sebelumnya. Akibatnya aku terperangkap dalam suasana yang tidak menentu sehinggalah menjelang waktu Asar. Jika sebelum ini aku hanya mampu melihat dan membaca mengenai kepedihan mangsa gas pemedih mata yang digunakan oleh FRU, petang ini aku berjaya menikmatinya. Berkali-kali kami terpaksa membasuh muka selain menjilat garam yang diagihkan, lantaran lontaran bom asap yang dibaling sewenang-wenangnya.
Orang ramai disuruh bersurai tetapi laluan masuk dan keluar ditutup rapat. Maka terpaksalah aku, bersama beberapa orang jemaah yang beri'tikaf menanti waktu serta penghuni quarters dan rumah berdekatan menikmati segala kesulitan. Sesekali hati ini tersentuh, mengenangkan apa kurangnya di sini jika dibandingkan dengan suasana di Gaza. Mungkin anggota-anggota PDRM dan FRU terlupa segala kutukan dan seranah mereka kepada Israel beberapa hari lalu hanya kerana bedilan mereka terhadap rakyat Palestin yang tidak bersenjata. Selalunya mereka ini akan menjawab, bahawa mereka terpaksa atas arahan ketua dan hanya mencari rezeki yang halal. Namun apa yang dapat aku perhatikan, riak wajah mereka tidak langsung menampakkan keterpaksaan, malah bergelak ketawa sesama mereka di selang seli dengan tindakan aggresif mengganyang saudara seagama sendiri. Ini berbeza dengan ketenangan wajah anggota keselamatan di Eropah ketika mengawal berbagai rusuhan. Satu persoalan yang masih menghantui di sanubari, kenapakah semburan dan tembakan telah dimulakan seawal jam 2.30 petang sedangkan gerombolan jemputan hanya akan melalui jalan menjelang jam 3. Mudah sahaja membuka jalan dengan hanya sekali tembakan, kerana tidak ada manusia normal yang mampu bertahan melainkan bertempiaran mencari perlindungan. Apakah ianya sengaja dibuat berulang kali sebagai bahan ujian atau latihan atau dianggap sebagai pesta atau temasya yang menghiburkan hati mereka yang mungkin menanggung berbagai beban masalah samada keluarga ataupun di tempat kerja.
No comments:
Post a Comment