Thursday, January 28, 2021

Kisah permulaan hidupku sebagai seorang Qadi

 

Kisah hidupku sebagai seorang Qadi bermula pada 1 September 1995 ketika mana aku memulakan tugasku di Jabatan Agama Islam Perak. Aku pernah bertekad untuk berkhidmat sehingga pencen di Negeri Perak jika diterima bekerja di Jabatan Agama Islam Perak walaupun tawaran ini merupakan sejarah peribadiku yang agak aneh.

 

MENGHADIRI TEMUDUGA SPA

Sebaik sahaja menamatkan pengajian di Universiti Malaya antara permohonan yang paling aku harapkan adalah jawatan di Jabatan Agama Islam Perak. Aku pernah menghadiri pelbagai temuduga termasuk bagi jawatan yang sama di Pulau Pinang yang mana di antaranya melibatkan Syeikh Azmi, Mufti Kerajaan Pulau Pinang ketika itu. Beliau hanya bertanya mengenai Tuan Sheikh Haji Yunus, seorang Ulamak dari Kampung Tualang Sekah yang terkenal suatu masa dahulu. Walaubagaimanapun semua permohonan menemui kegagalan. Ironinya bagi jawatan yang aku pegang sehingga kini juga pernah mengecewakan aku apabila dinyatakan gagal. Aku telah menghadiri sesi temuduga bagi mengisi jawatan ini yang dilaksanakan melalui Panel Penemuduga Suruhan Jaya Perkhidmatan Awan Negeri Perak. Sesi temuduga melibatkan SS Mufti Negeri Perak yang ketika itu disandang oleh SS Tan Seri Dato Seri Haji Harussani Bin Haji Zakaria dan tujuh atau lapan individu lain yang tidak aku kenali. Tidak banyak soalan daripada panel lain melainkan beberapa soalan umum yang boleh dijawab dengan tenang dan yakin. Namun terdapat beberapa soalan dari SS Mufti yang menarik untuk dikenangkan. Antaranya adalah :

Mufti  : Keje Qadi ni banyak berurusan dengan orang-orang tua..boleh ke?

Aku     : Saya tak pernah lagi menghadapinya tapi kalau orang lain boleh kenapa

              tidak saya ?

Mufti :  Keje Qadi mesti boleh baca kitab Arab…tolong baca kitab tu….

Aku    : Sebelum baca saya nak maklumkan guru Bahasa Arab saya bagitau, kita

              kalau pertama kali baca kitab Arab ni mesti ada salah. Cuma kita perasan ada salah dan kita betulkan kali kedua dan kali ketiga baca.

Mufti : Okay ana bagi enta baca 3 kali !!!!

Akupun mula membaca dengan penuh ketenangan dan kegelabahannya…..

Mufti : Ada 3 tempat salah.

Aku     : Aku mengulang bacaan dengan lebih hati-hati dan penuh kepasrahan…

Mufti  : Okay…(tak dapat dipastikan samada betul atau dia menyampah nak

              mendengarnya)

            : Hukum ada berapa?

Aku     : Hukum apa yang dimaksudkan…ada orang kata hukum hudud, qisas

              dan takzir tu hukum…..(Entah macam mana aku gagal memahami

              apakah maksud soalan tersebut)

Mufti  : Apa lagi hukum yang ada ?

Aku     : Tak ingatlah….

Mufti : Fardhu Ain ni sheikh !!!!!! Hukum Syarak, Hukum Akal dan Hukum

              Adat…..

Mufti  : Dahla…boleh keluar……

Aku     : Sebelum saya keluar saya nak maklumkan ketiga-tiga syarat Qadi yang

              saya baca tadi telahpun saya penuhi…

Mufti  : Ha Ha haa (mufti ketawa tebahak-bahak seorang diri hampir setengah

              minit dengan diperhatikan oleh panel lain dengan penuh kehairanan.

Aku     : Tanpa menunggu lama akupun mengumpul segala sijil yang aku bawa

   dan bergegas ke pintu keluar.

Sambil aku berjalan keluar mufti menjelaskan kepada panel lain mengenai 3 syarat awal menjadi qadi yang aku baca dalam Kitab Ahkamu Sultaniah tadi iaitu Islam, Lelaki dan Baligh.

Aku tak pasti berapa lama setelah itu untuk aku mandapatkan jawapannya. Setelah suratnya kubuka maka jelas tertulis di situ keputusan temuduga tersebut adalah GAGAL…..bukan simpanan apatah lagi bukan berjaya…..aku ulangi….GAGAL.

 

Wednesday, August 15, 2018

Harta Di Akhirat












Kita pasti akan pulang menemui Allah dengan meninggalkan berbagai perkara yang berada di sekeliling kita. Rasulullah saw menjelaskan bahawa keluarga, teman dan sahabat, harta benda dan sebagainya tidak akan mengiringi kita hingga ke alam barzakh. Namun ada beberapa perkara yang akan terus menerangi kehidupan kita walaupun hingga ke alam barzakh. Rasulullah saw bersabda :

إذا ماتَ الرجلُ انقطعَ عملُهُ إلاَّ من ثلاثٍ ولدٍ صالحٍ يدعو لَهُ ، أوصدقةٍ جاريةٍ أو علمٍ يُنتَفعُ بِهِ

Apabila mati seseorang itu terputuslah amalannya kecuali 3 ; anak yang soleh yang mendoakannya, atau sedekah jariah atau ilmu yang diambil manfaat dengannya.

Untuk memastikan sesuatu harta itu benar-benar menjadi harta kita adalah dengan menginfaqkannya di jalan Allah. Hanya melalui cara ini kita akan memberikan nilai tambah kepadanya kepada satu nilaian yang jauh berbeza dengan nilaian di dunia.

Kereta Kia Sephia keluaran Korea ini adalah merupakan kereta ketiga yang kami miliki setelah 2 buah kereta tempatan iaitu kereta pertama second hand Proton Aeroback, ABX 8816 dan kereta baru Iswara 1.5, ADR 74. Kereta yang dibeli second hand dengan harga RM 42k ini telah memberikan perkhidmatannya melebihi nilaian harga sebenarnya. Dengan sistem suspension yang begitu lembut membolehkan pemanduan jarak jauh dilakukan dengan selesa. Ianya menjadi "first car" keluarga selama beberapa tahun sebelum kami membeli kereta Naza Citra, AFT 7071 dan SangYong Stavic, AHY 7170.
Walaupun tidak mempunyai harga jika dijual pada masa ini, namun kereta ini masih berkeadaan baik enjinnya. Ia hanya mengalami kerosakan penyaman udara dan beberapa kerosakan kecil seperti alternator, bateri dan sebagainya. 
Walaupu begitu lama tidak digunakan setelah bermastautin di Taiping ini, namun menyerahkannya kepada pihak lain bukanlah suatu urusan yang mudah. Berbagai pihak menawarkan pembelian dengan harga yang langsung tak munasabah dan akhirnya aku kami bersetuju agar ianya diwaqafkan kepada SMK Bukit Jana Kamunting, bagi tujuan kegunaan pengajaran dan pembelajaran bagi panitia PVMA Automotif bermula 9 Ogos 2018. Semoga anak-anak kita akan dapat menggunakannya semaksima mungkin dan mendapatkan manfaat yang amat berguna kepada Umat Islam seluruhnya.

Alhamdulillah...Thummal Alhamdulillah....    

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...