Tuesday, October 27, 2009

Kuala Dipang Sekali Lagi Menjadi Saksi

Amat mengejutkan apabila mendapat khabar tentang tragedi yang menimpa Program Perkhemahan Satu Malaysia anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia yang diadakan di SK Kuala Dipang. Tragedi yang amat menyayat hati ini berlaku apabila sebuah jambatan gantung yang melintasi sebuah sungai terbungkar dan roboh menyebabkan beberapa orang murid yang sedang melaluinya jatuh kedalam sungai lalu dihanyutkan oleh air yang dalam dan deras. Lebih kurang 22 orang murid masih belum dapat dikesan. Program malang ini melibatkan 296 lebih murid-murid sekolah. Di fikiran ini terbayang wajah Tuan Haji Radhi, Pengarah JPN Perak dan orang-orang kanannya di Taman Lapangan SSI yang tidak kelihatan di surau sebagaimana biasa semenjak semalam.

Mungkin agak keterlaluan jika ada yang mengaitkan tragedi ini dengan 1Malaysia yang dijadikan tajuk perkhemahan ini. Walau apapun nama program ini namun, suatu yang sudah ditentukan pasti akan berlaku mengikut ketentuan Allah. Semoga ibu bapa yang terlibat, mungkin ada melibatkan kaum kerabat aku yang terdekat dapat bersabar dan redha dengan ketentuan Allah.

Namun fakta yang menyebut bahawa jambatan yang runtuh ini baru 2 minggu disiapkan itu tidak harus dipandang ringan. Kita bukan pertama kali mendengar kesilapan manusia menyebabkan mala petaka seperti ini. Lebih menyedihkan apabila membabitkan nyawa anak-anak yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Kebimbangan ini sentiasa menghantui fikiran setiap kali melepaskan anak-anak menyertai perkhemahan anjuran sekolah. Apakah nilainya keuntungan projek jambatan seperti ini jika taruhannya adalah nyawa manusia yang tidak berdosa. Semoga kesilapan seperti ini tidak sekali-kali akan berulang dan jika ada sebarang penyelewengan maka hendaklah dicari petualangnya sehingga ke lubang cacing

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...