Monday, February 28, 2011

Pilihan Raya Kecil Asas Pembangunan Negara

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan hampir RM10 juta bagi projek pembangunan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, di Temerloh.

( http://www.malaysiakini.com/news/157221 )

Entah kenapa terlalu banyak pilihanraya kecil berlaku selepas Pilihanraya Umum Ke 12 ini. Allah Maha Mengetahui apakah hikmah di sebalik kejadian ini. Namun apa yang pasti terlalu banyak nikmat pembangunan yang diperolehi oleh penduduk tempatan setiap kali Pilihan Raya Kecil diadakan.

Selama ini begitu banyak analisa yang dibuat mengenai kaedah untuk mendapatkan peruntukan di bawah pemerintahan BN. Jika dikatakan di tempat yang dikuasai pembangkang tidak akan mendapat apa-apa peruntukan, maka kita melihat Kelantan seolah-olah menjadi anak emas yang mendapat durian runtuh hampir setiap tahun. Jika dikatakan kawasan yang menjadi kubu kuat BN akan mendapat kemewahan, maka terlalu banyak kawasan kubu kuat BN yang tidak dipedulikan oleh kerajaan.

Apa yang pasti, kaedah pilihanraya kecil adalah satu kaedah baru yang terbukti mampu melambakkan peruntukan kepada penduduk tempatan. Apakah kerajaan mampu selamanya menabur wang di setiap kawasan Pilihanraya Kecil jika situasi ini berterusan sebelum pilihan raya umum akan datang. Apakah selepas ini ada wakil rakyat yang akan mengambil kesempatan meletakkan jawatan selepas memenangi pilihanraya umum bagi membolehkan penduduk kawasannya memperolehi durian runtuh.
 
Jika ini terjadi apakah kerajaan akan terus mampu bertahan dan mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai keperluan tersebut. Jika ini terjadi, pegawai kerajaan tidak akan mempu merancang sebarang pembangunan mengikut keperluan, kerana segala apa yang dirancang terpaksa dilencongkan kepada kawasan-kawasan yang diadakan pilihanraya kecil dari masa ke semasa.
 
Jika sekiranya masa mencukupi untuk diadakan pilihanraya kecil bagi setiap kawasan yang dipertandingkan bagi tempoh 5 tahun selepas pilihanraya umum, nescaya negara akan mendapat pembangunan yang seimbang dan ini akan mempercepatkan lagi langkah menuju negara maju sebelum 2020.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...