Saturday, March 26, 2011

Khutbah: Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing (Hari Polis Kali Ke 204)


اَلْحَمدُ ِللهِ الَّذِيْ بَعَثَ رَسُوْلَهُ ِلإِتْماَمِ مَكَارِمِ اْلأَخْلاَقِ لِيُخْرِجَ الناَّسَ مِنَ الظُّلُماَتِ اِلَى النُّوْرِ وَيَهْدِيْهِمْ اِلَى سَعاَدَةِ الدَّارَيْنِ
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ,
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
فيا عِبَادَ الله اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita kepada Allah dengan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Dan janganlah kita mati kecuali kita dalam keadaan berakidah Islam, dan istiqamah dengan ajaran Islam dan berada dalam perjuangan menegakkan Syariat Islam hingga ke akhir hayat kita.

Sidang Jumaat Sekelian,
Di antara prinsip utama dalam Syariat Allah adalah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Dalam Surah Ali Imran ayat 104, Allah telah mewajibkan kepada Umat Islam untuk melaksanakan amanah ini kepada orang-orang yang beriman bagi mendapatkan kejayaan :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ   

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Atas dasar ini, maka tertubuhnya Pasukan Polis Diraja Malaysia yang telah berusia 204 tahun pada 25 Mac 1897.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tugas menjaga keselamatan negara berkait rapat dengan tuanggungjawab mencegah kemungkaran daripada berlaku dalam masyarakat secara berleluasa. Tugas ini walaupun merupakan tanggungjawab semua umat Islam, namun ianya adalah tugas asasi bagi pihak pemerintah dan kerajaan yang berkuasa.
Rasulullah saw bersabda dalam hadis riwayat Imam Muslim :

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia menghalangnya dengan tangan (kuasa) yang ada padanya. Jika dia tidak mempunyai kemampuan maka hendaklah dia menghalangnya dengan lidahnya. Dan jika dia tidak mempunyai kemampuan maka hendaklah dia menghalangnya dengan hati (membencinya). Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.


Sidang Hadirin yang dirahmati Allah,

Berdasarkan statistik yang dicatatkan oleh pihak PDRM menunjukkan bahawa kadar indeks jenayah pada tahun lalu adalah menurun sebanyak 15%. Indeks jenayah jalanan telah menurun sebanyak 35%, manakala sebanyak 45% daripada kes-kes jenayah berat telah dapat diselesaikan. Penurunan yang amat memberangsangkan ini amat bergantung kepada faktor kerjasama yang erat di antara pasukan Polis dan orang ramai.

Jika sekiranya kerjasama yang lebih erat di antara pasukan Polis dan orang ramai dapat dipertingkatkan, pastinya kadar penurunan ini akan dapat terus dipertingkatkan. Pihak orang ramai seharusnya sentiasa memahami, bagaimana pasukan Polis melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menjaga keamanan Negara. Orang ramai perlu memahami Konsep 4P yang diperkenalkan oleh Pasukan Polis dalam menghasilkan budaya kerja cemerlang di kalangan semua anggota. Konsep 4P tersebut adalah :

a. PDRM bertindak sebagai pelindung masyarakat dan Negara.
b. Bertindak secara produktif.
c. Melaksanakan Program-Program berorientasikan masyarakat.
d. Melaksanakan tugas dengan berorientasikan keberhasilan.
Kerjasama antara pasukan polis dan orang ramai ini adalah merupakan perintah Allah swt sebagaimana firman Allah dalam Surah :

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ    

…..Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan atas asas kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya - Al-Maidah :2



Hadirin yang dirahmati Allah,

Tugas Pasukan Polis tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut menjaga keselamatan dan keamanan dari segi fizikal semata-mata. Islam telah menetapkan matlamat menjaga keselamatan dan keamanan dari sudut yang lebih luas dari itu. Ini digaraiskan dalam matlamat penetapan Hukum Syarak yang tersimpul dalam 5 asas yang perlu dipelihara oleh semua Umat Islam dan juga pemerintah. 5 matlamat ini adalah :

a. Menjaga Agama.
b. Menjaga Nyawa.
c. Menjaga Akal
d. Menjaga Keturunan.
e. Menjaga Harta.

Oleh yang demikian, Pasukan Polis mestilah berusaha memastikan kesemua matlamat Syarak ini dapat dicapai. Demi menjaga agama maka akidah Umat Islam mestilah dipertahankan dan diperkukuhkan dari masa ke semasa. Demi menjaga nyawa, keselamatan diri semua manusia mestilah dipelihara. Demi menjaga akal maka diharamkan segala yang boleh merosakkannya seperti arak, dadah dan sebagainya. Demi menjaga keturunan pergaulan bebas tanpa ikatan perkahwinan yang sah hendaklah dibenteras. Dan demi menjaga harta, rompakan dan rampasan harta sesama manusia tanpa hak yang diakui oleh Syarak tidak boleh dibiarkan berleluasa.

Sebagai cara hidup yang terbaik dan hebat dalam menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh manusia, maka Islam menyediakan sistem pencegahan yang terbaik melalui penguatkuasaan Hukum Qisas, Hudud dan Takzir di kalangan mereka yang melakukan jenayah dan pencabulan terhadap 5 perkara di atas.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Akhir kata, sempena Peringatan Hari Polis ke 204 ini, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia yang telah banyak menaburkan jasa dan bakti kepada agama, bangsa dan Negara. Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada semua lapisan masyarakat yang telah memberikan kerjasama dan sokongan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia dalam menjaga keamanan Negara. Namun apa yang mesti dipastikan adalah, kerjasama ini hendaklah berteraskan kepada asas kebaikan dan ketaqwaan. Jangan sekali-kali kerjasama yang sama dilaksanakan, jika terdapat padanya sebarang unsur kemungkaran dan permusuhan.

Dalam hal ini, pihak Pasukan Polis Diraja Malaysia mestilah memastikan mereka tidak melibatkan diri dalam segala bentuk maksiat dan perkara yang boleh mencetuskan kemurkaan Allah. Mereka juga mestilah memastikan perlaksanaan tugas dibuat secara adil dan saksama tanpa bersikap berat sebelah dan memihak kepada mana-mana kumpulan atau golongan, yang akhirnya akan mencetuskan bibit-bibit permusuhan di antara rakyat jelata. Mudah-mudahan kita akan mampu melahirkan masyarakat yang aman, tenteram, beriman dan diberkati tuhan. Ini sahajalah yang akan memastikan kita akan menjadi umat yang terbaik sebagaimana syarat yang ditetapkan oleh Allah bagi mencapai matlamat tersebut. Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 110 :

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (110)


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْانِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...