(MUNAFIQ YANG MARAH KEPADANYA)
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu semua berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas mereka yang sebelum dari kamu, mudah-mudahan kamu akan menjadi orang-orang yang bertaqwa.
Dalam ayat yang dibacakan tadi, jelas kepada kita bahawa Allah swt telah mengkhususkan ibadat puasa hanya kepada orang yang beriman sahaja. Hanya orang yang beriman sahaja yang layak dipertimbangkan untuk menjadi calon bagi meraih anugerah taqwa apabila berakhirnya Ramadhan nanti. Bagi mereka yang tidak beriman ataupun terjejas keimanannya, maka ibadat puasa yang dilakukan hanya sekadar mendapat lapar dan dahaga tanpa sedikitpun kelebihan di sisi Allah. Sabda Rasulullah saw :
رُبَّ قاَئِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِياَمِهِ إِلاَّ السَّهْرِ وَرُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صَوْمِهِ إِلاَّ الْجُوْعِ وَالْعَطْشِ
الراوي: أبو هريرة المحدث: السفاريني الحنبلي - المصدر: شرح كتاب الشهاب - الصفحة أو الرقم: 607 خلاصة حكم المحدث: إسناده صحيح
Barangkali ada yang bangun malam sedangkan tiada suatu faedahpun diperolehinya dari bangunnya itu kecuali penat, dan barangkali ada yang berpuasa sedangkan tiada suatu faeadahpun diperolehinya dari puasa tersebut kecuali lapar dan dahaga.
Setiap kita wajib memastikan bahawa aqidah dan iman kita sentiasa dipertahankan. Usaha mempertahankan keimanan ini bukanlah satu usaha yang mudah tetapi memerlukan pengorbanan dan kekuatan jihad yang hebat. Rasulullah saw bersabda mengenai cabaran yang akan di hadapi bagi setiap orang yang beriman :
اَلْمُؤْمِنُ بَيْنَ خَمسَ شَدَائِدَ : مُؤْمِنٌ يُحْسِدُهُ وَمُناَفِقٌ يُبْغِضُهُ وَكَافِرٌ يُقاَتِلُهُ وَشَيْطاَنٍ يُضِلُّهُ وَنَفْسٍ تُناَزِعُهُ
Orang beriman itu akan menghadapi 5 cabaran : orang beriman yang hasad kepadanya, orang munafiq yang marah kepadanya, orang kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang bertarung dengannya.
Allah menjelaskan banyak ciri-ciri orang munafiq dalam al-Quran. Antara yang paling jelas adalah sebagaimana dalam Surah al-Munafiqun ayat :
إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَكَاذِبُونَ ﴿١﴾
Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.
اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّهُمْ سَاءَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿٢﴾
Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا فَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لاَ يَفْقَهُونَ ﴿٣﴾
(Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).
وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ ۖ وَإِن يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ ۖ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ ۖ يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ ۚ هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ ۚ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ ۖ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ ﴿٤﴾
Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا يَسْتَغْفِرْ لَكُمْ رَسُولُ اللَّهِ لَوَّوْا رُءُوسَهُمْ وَرَأَيْتَهُمْ يَصُدُّونَ وَهُم مُّسْتَكْبِرُونَ ﴿٥﴾
Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.
سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَسْتَغْفَرْتَ لَهُمْ أَمْ لَمْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ لَن يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ ﴿٦﴾
(Tidak ada faedahnya) kepada mereka, samada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang fasik.
هُمُ الَّذِينَ يَقُولُونَ لاَ تُنفِقُوا عَلَىٰ مَنْ عِندَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّوا ۗ وَلِلَّهِ خَزَائِنُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَلَـٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لاَ يَفْقَهُونَ ﴿٧﴾
Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya). Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).
يَقُولُونَ لَئِن رَّجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنْهَا الأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَـٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لاَ يَعْلَمُونَ ﴿٨﴾
Mereka berkata lagi: Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam). Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Di antara ciri-ciri orang munafik adalah :
Berperwatakan Hebat
Orang munafiq mempunyai personaliti yang hebat dan setanding dengan orang yang beriman. Mereka mungkin berpakaian seperti ulamak ataupun orang-orang Soleh bagi menyembunyikan kemunafiqan mereka. Mereka juga mungkin berpakaian hebat sebagaimana corak pemakaian masyarakat moden dan lebih menakjubkan penampilan mereka berbanding orang yang beriman.
Orang munafiq mempunyai kemahiran dan kekuatan untuk menyampaikan informasi. Mereka mampu menyampaikan hujah mereka dengan lebih berkesan. Masyarakat lebih terdedah kepada hujah mereka berbanding hujah orang yang beriman. Mereka akan berusaha menguasai media dan menghalang orang-orang beriman daripada menggunakan media yang terletak di bawah penguasaan mereka.
Orang munafiq sentiasa dengan sebarang perkataan daripada pihak lain. Mereka sentiasa merasakan bahawa setiap apa yang diperkatakan oleh pihak lain adalah bertujuan menyindir mereka. Mereka tidak akan dapat menerima kebenaran ataupun teguran yang ditujukan kepada mereka walaupun kebenaran itu amat jelas bagi kebanyakkan manusia disebabkan mereka merasa bahawa tersebut teguran tersebut hanya bertujuan menyindir dan mencari kesalahan mereka. Mereka akan lebih banyak menuding kepada kaedah teguran yang disampaikan berbanding teguran itu sendiri.
Orang munafiq sentiasa merasakan bahawa diri mereka sentiasa berada dalam kebenaran. Walaupun sentiasa di ajak untuk melakukan kebaikan oleh orang-orang yang beriman mereka sentiasa mengelak dan mengelak tanpa sebarang rasa bersalah.
Melakukan sekatan ekonomi
Orang munafiq akan menggunakan kekuatan ekonomi mereka untuk menyusahkan orang yang beriman. Mereka bukan sahaja tidak mahu membantu orang yang beriman untuk melakukan kebaikan, malah mereka berusaha menghalang orang lain dari membantu orang yang beriman. Mereka akan mencipta berbagai syarat untuk menyusahkan orang yang beriman bagi mendapatkan bantuan kewangan dari mana-mana pihak.
Orang munafiq pasti akan melakukan pembalasan terhadap orang yang beriman apabila mereka mendapat kuasa. Allah telah menceritakan mengenai kisah orang munafiq di zaman Rasulullah yang diketuai oleh Abdullah Bin Ubai. Ketika kembali dari medan peperangan, telah berlaku pergaduhan antara seorang Ansar dan seorang muhajirin di Madinah. Apabila berita ini sampai kepada pengetahuan Abdullah Bin Ubai, dia telah menghasut orang-orang ansar lain dan menerapkan unsur-unsur perkauman dan kenegerian di kalangan para sahabat. Beliau mengatakan bahawa apabila mereka sampai ke Madinah beliau pasti akan menghukum orang-orang muhajirin, dengan menghalau mereka (yang dianggap hina itu) dari Madinah dan menggantikan kepimpinan mereka dengan orang yang lebih mulia (penduduk asal Madinah). Ini juga akan berlaku di kalangan orang-orang yang beriman pada hari ini. Orang Munafiq tidak akan membiarkan orang Islam kekal memegang sesuatu jawatan, dan mereka akan berusaha untuk merampasnya kembali apabila mereka berkuasa.
Orang-orang munafiq ini akan sentiasa wujud pada setiap zaman. Ciri-ciri yang disebutkan oleh Allah dalam al-Quran hanyalah merupakan ciri-ciri yang ada pada orang munafiq di zaman awal Islam. Ciri-ciri ini akan berulang di setiap zaman tetapi berbeza kaedah dan pendekatannya mengikut perkembangan zaman dan masa.
والله اعلم بالصواب
No comments:
Post a Comment