السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Apabila kita memperkatakan tentang Bulan Ramadhan sukar untuk kita meninggalkan firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang berbunyi :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu semua berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas mereka yang sebelum dari kamu, mudah-mudahan kamu akan menjadi orang-orang yang bertaqwa.
Sesungguhnya amat kasihnya Allah terhadap Umat Muhammad saw, dimana Allah telah membantu meringankan bebanan kita dalam melaksanakan ibadat puasa di Bulan Ramadhan ini. Dengan menyatakan mengenai perkongsian beban antara umat ini dan umat-umat terdahulu, telah mengurangkan tekanan perasaan bagi mereka yang mungkin menganggap ibadat puasa sebagai suatu ibadat yang amat berat. Dari sudut teorinya, ibadat puasa adalah satu ibadat yang paling mudah untuk dilaksanakan.
Ulamak mengkategorikan ibadat kepada beberapa jenis iaitu Ibadat Badaniah iaitu ibadat yang memerlukan kekuatan fizikal untuk melaksanakannya seperti solat, membaca quran dan sebagainya.
Jenis kedua adalah Ibadat Maliah iaitu ibadat yang memerlukan kekuatan kewangan bagi melaksanakannya seperti zakat fitrah, sedeqah, waqaf dan sebagainya.
Manakala jenis ketiga adalah gabungan kedua-duanya iaitu seumpama ibadat Haji yang memerlukan kedua-duanya; kekuatan fizikal dan kekuatan kewangan.
Adapun puasa tidak mewakili mana-mana jenis yang disebutkan di atas. Puasa tidak memerlukan sebarang usaha fizikal mahupun kewangan. Ianya hanya sekadar meninggalkan segala-galanya. Tidak ada arahan untuk melakukan sesuatu perbuatan melainkan diminta mengurangkan segala perbuatan yang tidak baik dan perbuatan yang membatalkan puasa iaitu makan, minum dan bersetubuh. Tidak ada juga arahan untuk melafazkan sesuatu melainkan diminta meninggalkan sebarang perkataan yang tidak baik walaupun tidak membatalkan puasa.
Suatu perkara yang amat penting untuk kita berikan perhatian dalam ayat di atas adalah ungkapan Allah " يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا " yang bermaksud 'wahai orang-orang yang beriman'. Ini bermakna, perintah Allah untuk berpuasa di Bulan Ramadhan adalah khusus bagi orang-orang yang beriman semata-mata, tidak pada yang selainnya. Ini bermakna hanya orang-orang yang beriman sahajalah yang mampu melaksanakan ibadat puasa dengan jayanya dan haya orang-orang yang beriman sahajalah yang bakal menerima rahmat dan keberkatan Allah sepanjang Ramadhan ini. Persoalannya adakah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang benar-benar beriman. Adakah keimanan kita terjejas akibat berbagai faktor yang boleh menjejaskan keimanan kita terhadap Allah.
Ciri-ciri orang yang beriman secara jelas diterangkan oleh Allah dalam Surah Al-Mukminun :
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾
(1) Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman
الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾
(2) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ﴿٣﴾
(3) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ ﴿٤﴾
(4) Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾
(5) Dan mereka yang menjaga kehormatannya;
إِلاَّ عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾
(6) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela;
فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾
(7) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
وَالَّذِينَ هُمْ ِلأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ ﴿٨﴾
(8) Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ ﴿٩﴾
(9) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
أُولَـٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ ﴿١٠﴾
(10) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi;
الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ ﴿١١﴾
(11) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
Mudah-mudahan kita berjaya mengekalkan ciri-ciri orang yang beriman sepanjang Bulan Ramadhan ini agar kita layak untuk mencalonkan diri dalam perebutan mengejar kedudukan dan martabat taqwa di akhir Ramadhan nanti.
والله اعلم بالصواب
No comments:
Post a Comment