Friday, December 16, 2011

Khutbah: Hilangnya Ketuanan Islam

الحمد لله القائل :

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلاً مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا
اَشْهَدُ اَنْ لاَ الــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Dunia hari ini sedang menyaksikan situasi yang amat sukar bagi kebanyakan umat Islam di seluruh dunia. Manusia semakin keliru dalam membezakan antara baik dan jahat, antara berperang dan mengganas, antara jihad dan jahat . Dunia hari ini bukan lagi dunia yang dikuasai oleh kepimpinan dan ketuanan Islam, tetapi dicernakan dan diaturkan oleh dunia barat yang penuh kepalsuan. Sekian lama dunia Islam menghadapi penginayaan dan penindasan, namun Islam juga yang masih menjadi musuh utama alam sejagat . Umat Islam masih dilihat sebagai umat yang sukakan keganasan walaupun di mana-mana kita melihat Umat Islamlah yang sering menjadi mangsa keganasan. Ketika bumi Palestin dirampas oleh Yahudi laknat, dunia masih sibuk menuding jari menyalahkan dan mempertikaikan tindakan kumpulan Islam yang berjihad mempertahankan negara mereka. Ketika umat Islam disembelih di Bosnia dunia hanya menganggapnya sebagai suatu malapetaka biasa. Ini semua berpunca daripada kelemahan Umat Islam yang terlalu bergantung kepada orang lain dan semakin jauh daripada ajaran Allah.
Umat Islam hari ini tidak mempunyai sebab dan musabab bagi melayakkan mereka menerima bantuan dan pertolongan Allah. Terlalu jauh bezanya zaman ketuanan Islam suatu masa lalu dengan zaman kelesuan dan kedayusan umatnya pada masa ini. Khalifah Umar al-Khattab bersama tenteranya memasuki negara barat dengan hanya memberikan penduduk negeri tersebut tiga pilihan iaitu menerima Islam sebagai pegangan, bernaung di bawah pemerintahan Islam dan memberi jizyah atau bersedia menghadapi peperangan Oleh kerana Islam mempunyai ketuanan serta dihormati oleh musuh dan kawan, maka tindakan tersebut tidak pernah dipersalahkan. Malah sebahagian besar penduduk menyambut kemasukan tentera Islam sebagai bulan jatuh ke riba kerana sekian lama mereka tersiksa dengan kekejaman pemerintah yang ada. Masyarakat dunia terlalu dahagakan keadilan dan kebebasan Islam. Dunia memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan Islam walaupun Umar Al-Khattab merupakan seorang pemimpin yang zuhud yang tinggal di rumah yang buruk dan memakai pakaian yang bertampal, namun keberanian, ketegasan dan keyakinannya melaksanakan Islam dihormati oleh penduduk dunia dan masyarakat antarabangsa . Ini berbeza dengan umat Islam hari ini yang lebih banyak menyembah mengharapkan keredhaan barat berbanding keyakinan terhadap pertolongan Allah. Walaupun pemimpin Islam hari ini mempunyai sumber kekayaan yang mampu menguasai dunia serta mempunyai mahligai dan kemewahan yang menakjubkan dunia namun segala tindakan kita seolah-olah masih mengharapkan pertolongan orang bukan Islam. Umat Islam hari ini lebih banyak menjaga imej agar tidak disalah anggap oleh orang lain daripada memperlihatkan amalan dan perlaksanaan Islam walaupun imej yang dikehendaki tidak pernah diperolehi. Kita lebih banyak bertolak ansur sehingga dunia langsung tidak mendapat gambaran apakah Islam sebenarnya.
Sidang Jumaat Sekalian,

Peristiwa 11 September beberapa tahun lalu terlalu banyak memberi pengajaran kepada umat manusia seluruhnya. Dunia melihat hancurnya keegoan satu kuasa besar yang selama ini seolah-olah mahu mencabar kekuasaan Allah. Dunia menyaksikan pengganas kecilan mampu menggugat pengganas terhormat yang selama ini bermaharajalela mencorakkan dunia mengikut hawa nafsu mereka. Peristiwa tersebut menampakkan kedayusan umat Islam dalam mempertahankan kehormatannya. Suka atau tidak seluruh dunia termasuk negara-negara Islam terpaksa melahirkan simpati melebihi simpati mereka terhadap penginayaan terhadap umat Islam. Sebenarnya situasi ini hampir sama dengan kisah yang diungkapkan dalam surah al-Rum ayat 1-4 :

الم (1) غُلِبَتِ الرُّومُ (2) فِي أَدْنَى الأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ (3) فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ (4 ) 

Alif, Lam, Mim, Telah dikalahkan bangsa Romawi, di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun lagi . Bagi Allah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang) dan di hari (kemenangan bangsa Romawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman .
Sidang Jumaat Sekalian,

Kita amat sedih dengan nasib orang ramai yang tidak bersalah. Islam tidak pernah menaja dan merestui sebarang keganasan di muka bumi. Oleh itu Islam juga tidak membenarkan perbuatan membalas dendam walaupun atas alasan mencari keadilan. Islam tidak mungkin menyokong sebarang tuduhan yang dibuat tanpa asas dan bukti yang jelas. Oleh yang demikian segala bantuan dan pertolongan terhadap perbuatan tersebut adalah juga diharamkan Allah. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 8 :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman  hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan jangan sekali-kali kebencian mu terhadap sesuatu kaum  mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan .
 
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
 
Segala kekalutan seperti ini tidak akan berlaku jika Islam menguasai dunia. Dunia hari ini akan aman jika Islam diberi peranan yang secukupnya. Umat Islam mestilah mengembalikan jati diri dan berusaha mendapatkan kembali  السيادة atau ketuanan Islam bagi memimpin dunia. Marilah kita kembali menghayati pendirian yang seharusnya ada pada umat Islam sebagaimana Allah menggambarkan dalam surah al-Fath ayat 29 :
مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلاً مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الإِِنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
Muhammad adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kufur, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaannya. Tanda-tanda mereka nampak dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan Injil, iaitu seperti tanaman yang kuat , lalu menjadi besarlah dia dan menjadi tegak lurus di atas pokoknya, tanaman itu menyenangkan hati penanamnya kerana Allah menjengkilkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang salih di antara mereka keampunan dan pahala yang besar.

Firman Allah dalam surah Hud ayat 113 :
ولاَ تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لاَ تُنْصَرُونَ
Janganlah kamu cenderung kepada orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tiada penolong yang lain dari Allah, kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
 
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...