Sunday, June 24, 2012

Wajib Tak Semesti Di Dahulukan

Ketika aku memulakan pengajian Usul Fiqh di masjid-masjid, teman-teman melahirkan kehairanan memandangkan belum ada sesiapa secara khusus mengadakan pengajian tersebut. Mereka melahirkan kebimbangan apakah orang awam akan mampu memahaminya. Aku katakan bahwa aku juga adalah orang awam tatkala mula mempelajarinya. Lantaran minat yang mendalam aku meneruskan hasrat memecahkan benteng pemikiran yang sekian lama menganggap ilmu usul fiqh sebagai suatu yang susah difahami dan tidak diperlukan oleh orang awam.

Ilmu Usul Fiqh sememangnya merupakan ilmu Fardhu Kifayah yang diperlukan oleh para mujtahid untuk mengistinbat hukum. Bagi para isteri wqjib meminta izin suami bagi mempelajari ilmu ini. Namun bagi orang awam jika dapat mempelajari ilmu ini maka akan memudahkan mereka memahami hukum dan fatwa yang dikeluarkan oleh para mujtahid. Tanpa asas dalam ilmu ini, bukan sahaja orang awam sahaja yang terpinga-pinga dengan perbezaan pandangan fuqaha', malah sebahagian para ustaz yang hanya menumpukan kepada pengajian hadis semata-mata, turut tertipu dengan ilmu hadis mereka dengan menyangka ulama' Feqah tidak menggunakan hadis dalam mengistinbat hukum.

Keperluan kepada ilmu Usul Feqah ini amat mendesak dalam keadaan yang bercelaru pada hari ini. Suasana hari ini tidak lagi boleh bergantung kepada pengetahuan Feqah tradisional kerana suasana telah dibentuk dalam keadaan yang tidak mengikut Syarak. Dulu masyarakat membincangkan mengenai hukum menangguhkan ibadat Haji untuk tujuan berkahwin. Itupun hukumnya bergantung kepada keadaan seseorang samada masih sanggup bertahan ataupun sudah sampai ke kemuncak yang mewajibkannya berkahwin dengan segera.

Hari ini masyarakat ingin penjelasan mengenai hukum menangguhkan ibadat Haji untuk mengundi dalam PRU13. Ketika inilah beberapa orang mufti menzohirkan kelemahan mereka dalam ilmu Usul Fiqh sehingga secara mudah mengharamkan penangguhan tersebut hanya dengan alasan menunaikan Haji adalah wajib berbanding mengundi yang bagi mereka tiada hukum khusus.  

Mengundi juga adalah wajib secara pasti kerana itulah cara untuk memastikan kita dapat melantik pemimpin yang akan melaksanakan tanggungjawab menjaga agama dan mentadbir dunia dengan dasar agama. Maka pandangan yang menolak kewajipan mengundi bolehlah dianggap tidak relevan untuk dibincangkan.

Pilihan antara Haji dan mengundi adalah pemilihan antara dua kewajipan yang berbeza. Persoalannya yang mana satukah yang mesti didahulukan. Bagi menilai kedua-dua perkara ini maka perlu dilihat dari sudut perbahasan Usul Fiqh mengenai pembahagian wajib. Hukum wajib boleh dibahagikan kepada beberapa kategori dilihat daripada beberapa aspek seperti berikut :

PERTAMA : Pembahagian dari sudut waktu melaksanakannya 

                                                            (الواجب بالنظر الى وقت أدائه (

KEDUA : Pembahagian dari sudut penentuan kadarnya atau tidak ditentukan kadarnya (الواجب بالنظر الى تقديره وعدم تقديره).

 
KETIGA : Pembahagian dari sudut perincian tuntutannya atau tidak diperincikan (الواجب بالنظر الى تعين المطلوب وعدم تعينه).

 
       KEEMPAT : Pembahagian dari sudut pihak yang dituntut melakukannya  (الواجب بالنظر الى الشخص المطالب به).


           Dari sudut waktu melaksanakannya, wajib boleh dibahagikan kepada dua pembahagian iaitu Wajib Mutlaq dan Wajib Muqayyad.


a. Wajib Mutlak (الواجب المطلق).

         Wajib Mutlak iaitu wajib yang tidak dibatasi dengan waktu tertentu dan boleh dilakukan sehingga akhir batasan waktunya mengikut kemampuan. Contohnya seperti Qada’ puasa Ramadhan yang boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa berdosa melewatkannya. Namun khilaf antara Imam Abu Hanifah yang tidak membataskan langsung sedangkan Imam Syafie membataskannya sekadar tahun seseorang itu meninggalkan puasanya sahaja.


b. Wajib Muqayyad (الواجب المقيد).


Wajib Muqayyad atau juga dikenali dengan Wajib Muaqqad (الواجب المؤقت) atau Wajib yang terikat dengan waktu tertentu (الواجب المقيد بتوقيت معين) iaitu wajib yang ditetapkan masa tertentu untuk menunaikannya. Contohnya apabila masuknya Bulan Ramadhan maka diwajibkan berpuasa pada masa itu sahaja.


Wajib Muqayyad terbahagi kepada 3 pembahagian iaitu Wajib Muawassa`(الواجب الموسع), Wajib Mudhayya`(الواجب المضيع) dan Wajib Muqayyad Kesamaran (الواجب المقيد ذوالشبهين).


Wajib Muawassa`(الواجب الموسع) adalah wajib yang ditetapkan waktu perlaksanaannya tetapi masanya luas melebihi kadar perlaksanaan perkara tersebut. Contohnya seperti ibadat sembahyang yang diberi kebebasan untuk melaksanakannya dalam masa yang telah difardhukan. Selama mana masih di dalam waktunya, maka sah dilakukan sembahyang walaupun masih tertakluk kepada waktu harus, waktu makruh dan waktu afdhal. Contoh lain bagi kategori ini adalah menuntut ilmu, jihad, menghubung silaturrahim dan membantu saudara yang sedang ditimpa kesusahan.


Wajib Mudhayya`( الواجب المضيع) adalah wajib yang diwajibkan pada masa yang telah ditetapkan dan masa yang diberikan terhad kepada tempoh masa untuk melaksanakannya sahaja. Kewajipan ini mesti ditunaikan dalam waktu yang yang telah ditetapkan sahaja dan tidak boleh dibuat terlebih awal ataupun lewat dari masa tersebut. Contohnya adalah puasa yang hanya dilakukan mulai waktu subuh hingga ke waktu Maghrib sahaja. Juga puasa di Bulan Ramadhan yang hanya boleh dilakukan dalam tempoh sepanjang Bulan Ramadhan sahaja.


Wajib Muqayyad Kesamaran (الواجب المقيد ذوالشبهين) adalah wajib yang diperuntukkan masa yang tertentu dan terbatas terbatas dari satu sudut tetapi dari sudut yang lain ianya mempunyai masa yang luas untuk melaksanakan ibadat lain. Contohnya ibadat Haji yang hanya dibolehkan sekali sahaja pada setiap tahun dan hanya boleh dilakukan dalam musim haji sahaja tetapi dibolehkan melakukan umrah berkali-kali dalam tempoh yang sama.


          Maka hukum menunaikan Fardhu Haji adalah Wajib Muqayyad Kesamaran yang mana dari satu sudut ianya mempunyai masa yang luas sekurang-kurangnya seumur hidup sekali. Tidak berdosa menangguhkannya asalkan sebelum matinya seseorang dapat melaksanakannya. Dari satu sudut ianya terhad kepada musim haji dan penerimaan quota dari Lembaga Tabung Haji. Manakala mengundi adalah Wajib Mudhayya’ yang hanya terhad kepada hari mengundi semata-mata.

          Bagi wajib yang luas waktunya ini, kadang-kadang perkara sunat adalah lebih diutamakan. Contohnya seperti ketika berlangsungnya pengajian selepas Maghrib di masjid-masjid, apabila masuk waktu Isyak, maka hak dan tanggungjawab Muazzin adalah untuk azan dengan segera. Ini bagi membolehkan penduduk kampong mengetahui masuknya waktu agar dapat bersolat diawal waktu. Walaupun menuntut ilmu adalah wajib namun ianya boleh ditangguhkan sementara dan disambung semula selepas azan selesai.

          Dalam persoalan menunaikan Fardhu Haji, bagi seseorang yang uzur yang pada adatnya berkemungkinan mati pada bila-bila masa, maka tidak boleh mereka menangguhkan Fardhu Haji pada tahun tersebut. Bagi yang lain maka mengundi adalah lebih utama kerana Fardhu Haji boleh dibuat pada tahun-tahun akan datang. Fardhu Haji tidak boleh ditangguhkan jika mengundi boleh dibuat setiap tahun. Oleh kerana ianya diadakan lima tahun sekali, maka tidak wajar kita menggadaikan kepentingan negara sedangkan kita boleh menunaikan Fardhu Haji pada tahun-tahun berikutnya.

          Tahap wajib mengundi bagi setiap seorang juga adalah berbeza. Bagi penyokong Pakatan Rakyat mereka wajib mengundi untuk mengelakkan Negara terus diperintah oleh pemimpin yang zalim. Bagi penyokong Barisan Nasional juga lebih wajib bagi mengelakkan Negara jatuh ke tangan DAP yang mengikut mereka akan menghancurkan masa depan Bangsa Melayu. Bagi yang menganggap sama sahaja siapapun yang memerintah maka mereka wajib menunaikan fardhu Haji kerana tiada perkara penting untuk mereka untuk menangguhkannya.  

         Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya bermudah-mudah memfatwakan sesuatu perkara sebelum melihat kepada semua faktor yang berkaitan termasuk suasana, adat setempat, perbezaan keadaan individu dan berbagai faktor lain yang membezakan antara seseorang dengan individu lain.

                Wallahu A'lam Bissowab.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...