Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan datang lagi, Apakah sepertimana dulu...



حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ الصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَأَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ أَجْلِي وَالصَّوْمُ جُنَّةٌ وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ حِينَ يُفْطِرُ وَفَرْحَةٌ حِينَ يَلْقَى رَبَّهُ وَلَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Telah menceritakan kepada kami Abu Nu'aim telah menceritakan kepada kami Al A'masy dari Abu shalih dari Abu Hurairah dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda: "Allah Azza wa Jalla berfirman: 'Puasa adalah milik-Ku, dan Aku sendirilah yang akan memberikan ganjarannya, orang yang berpuasa itu meninggalkan syahwatnya, makan dan minumnya karena Aku. Puasa adalah perisai, dan bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika berjumpa dengan rabbnya. Dan sungguh, bau mulut orang yang berpuasa jauh lebih wangi di sisi Allah daripada bau minyak kesturi." - Riwayat Bukhari
Ramadhan Al-Mubarak sekali lagi melabuhkan tirainya. Terasa sangat betapa belas dan kasihnya Allah kepada hambaNya yang hina ini, yang masih diberikan peluang sekali lagi untuk merebut segala kelebihan yang dikurniakannya. Bukan sekali dua peluang ini sudah diberikan, bukan setahun dua kesempatan ini diabaikan, namun sekali lagi Allah masih memilih aku di antara hambanya yang masih bernafas di Bulan Ramadhan tahun ini.
Kesibukan tugas seharian yang tidak pernah berkurangan, sering menyebabkan keletihan yang mengurangkan peluangku untuk menambahkan ibadat-ibadat sunat. Melayani jemputan berbuka dari hotel hingga ke istana, pernah menyebabkan luputnya terawikhku suatu masa dulu. Jemputan tazkirah di masjid dan surau, memaksa aku melupakan hasrat bertadarus bersama jemaah di surau sendiri.
Apakah Ramadhan tahun ini masih sebagaimana dulu. Apakah kelalaian ini akan berterusan atau akan ada sedikit perubahan. Ya Allah, sebagaimana Engkau kurniakan nikmat memasuki Ramadhan kepadaku, maka berilah kekuatan kepadaku untuk menumpukan pengabdianku kepadaMu. Golongkanlah aku di kalangan hambaMu yang bertaqwa dan mendapat kejayaan cemerlang apabila berakhirnya Ramadhan nanti.

Tuesday, August 03, 2010

Akhirnya Dipanggil Juga

Jumaat, 30 Julai 2010, seminggu setelah kembali ke tanahair, sekali lagi menjadi sejarah tersendiri dalam perkhidmatanku sebagai penjawat awam. Sekali lagi aku dipanggil mengadap Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menggenapkan senarai 3 blacklisted yang dianggap bermasalah. Satu kelainan yang kurasa, apabila sehari sebelumnya, ketika sedang berbengkel di Hotel Seri Malaysia, aku dihubungi oleh PA beliau. Diberitahu mengenai hasrat Dato' Seri SUK hendak bertemu, aku ditanya bila ada kelapangan, berbeza dengan biasanya, ditetapkan masa untuk mengadap.

Pertemuan berlangsung tanpa mengambil masa yang lama. Tidak sebagaimana 2 sahabat terdahulu yang ditanya berkaitan beberapa isu, aku terus ditanya kenapa tidak dinaikkan pangkat. Seperti biasa aku katakan, manalah aku tahu kerana bukan aku yang menentukan. Selainnya kukatakan andaianku bahawa aku terkena tempias lantaran lamanya berkhidmat di masjid negeri yang dianggap markas pembangkang, dan kerana aktifnya aku mengarang khutbah ketika itu. Beliau menyatakan kekesalannya tentang suasana terkini sehingga berbagai penghinaan dilemparkan kepada Mufti.

Ketika beliau menyebut agar tidak menjadi seperti 2 orang sahabatku yang dianggap melampau, aku terus memintas untuk memberikan cadangan. Aku menyatakan bahawa ruginya kerajaan menggantung tugas 2 orang pegawai ini sedangkan mereka tiada masalah dalam bidang pentadbiran dan menjadi rujukan kepada teman-teman. Jika ketakutan politik yang jadi asas pertimbangan, maka aku cadangkan Unit Ukhuwwah atau Penguatkuasaan yang begitu kurang risiko berceramah dan bercakap politik di hadapan masyarakat.

Sebelum menamatkan pertemuan, beliau bertanya apakah sebelum ini ada secara tidak langsung menyelitkan unsur politik dalam khutbah atau ceramah. Aku menjawab bahawa 9 tahun aku di Bahagian Pengurusan Masjid, tidak ditukar ke mana-mana, maka aku menganggap bahawa aku bersih. Akhirnya beliau mengucapkan tahniah dan mengatakan aku telahpun melepasi tapisan dan layak untuk kenaikan pangkat.

Secara lisannya aku sudah layak untuk mengadakan kenduri kesyukuran, namun realitinya apa sahaja boleh berlaku. 

Kembalinya aku ke pejabat disambut oleh Pengarah dengan ucapan tahniah kerana bakal dinaikkan pangkat. Aku bergurau mengatakan :"apa kelas tahniah dari Pengarah...Setiausaha Kerajaan Negeri dah ucap tahniah dulu". 

Maka marilah kita meletakkan segala pengharapan hanya kepada Allah, bukan manusia biasa kerana manusia terlalu banyak helah dan tipu dayanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...