Friday, June 28, 2013

Sekali kakiku melangkah..

Sekali lagi aku menerima keputusan yang tidak pernah aku jangka dan harapkan sepanjang perkhidmatan. Menjadi calon simpanan bagi sesuatu jawatan bukanlah suatu yang menggembirakan malah amat menjengkelkan. Dalam masa 3 bulan jika ada kekosongan bagi jawatan yang sudah terisi itu maka akulah yang bakal menggantikan mereka. Hal ini akan terjadi jika salah seorang mereka dibuang kerja atau hilang upaya untuk bekerja atau kembali ke rahmatullah buat selama-lamanya. Mana mungkin aku mengharapkan ianya berlaku terhadap teman-temanku. Maka aku tidak mungkin akan menaruh harapan apatah lagi mendoakannya.
Pemilihan bagi kenaikan ke gred 48 (Imam Besar) kali ini merupakan satu pemilihan yang agak unik. Ianya membabitkan satu jawatan yang begitu berprestij dan amat memerlukan kemahiran dan ilmu yang mencukupi. Akibat ketiadaan calon berkelulusan Al-Quran yang layak memohon, maka kami terpaksa memberanikan diri mengisi borang permohonan agar tidak disalahertikan. Dalam tempoh penantian selama ini, sememangnya aku amat berharap agar calon lain yang terpilih.


Dengan terpilihnya junior yang pernah meminta garis panduanku untuk menghadiri temuduga bagi mendapatkan kerja di Jabatan, sedikit sebanyak tetap mengguris naluri dan perasaanku. Bagaikan sudah terang lagi bersuluh, ianya tidak lain tidak bukan kerana dia dianggap paling bersih antara yang dicalonkan. Politik sentiasa menjadi sandaran pihak atasan seolah-olah mereka yakin bahawa iktikad politik yang mereka pegang mampu membawa mereka kepada keredhaan tuhan. Bukan aku menyalahkan sesiapa antara kami kerana kami hanya menjadi objek penilaian pihak atasan. Apa sangat kelayakan mereka menilai kami sedangkan mereka hanya seolah-olah lembu yang dicucuk hidungnya dan menjadi pak turut kepada politik kampungan.

Pertama kali aku ditemuduga untuk mendapatkan jawatan, aku mendapat surat gagal secara jelas. Aku seolah-olah pasti kerana dalam sesi temuduga tersebut, ketika Mufti meminta aku membaca kitab Arab aku tidak terus melakukannya. Aku lantas mengingatkannya bahawa lumrah kita akan tersilap baris jika pertama kali membaca kita Arab hatta orang Arab sendiripun. Namun orang yang berilmu akan menyedari kesilapan yang dilakukannya untuk diperbetulkan kemudian. Mufti serta merta memberiku 3 kali peluang untuk membaca. Pertama kali aku membacanya, mufti menyatakan ada 3 kesalahan yang aku lakukan. Aku lantas mengulangi bacaan dan dapat memperbetulkan kesemuanya pada bacaan kedua. Apa yang aku baca adalah syarat-syarat Qadhi yang disebutkan dalam Kitab Al-Ahkamu As-Sultaniah oleh Imam Al-Mawardi. Di akhir sesi temuduga sebelum melangkah keluar aku membuka mulut untuk mengingatkan pada kesemua ahli panel. Aku dengan seriusnya menyebutkan bahawa 3 syarat awal untuk menjadi Qadhi telahpun aku penuhi. Ungkapan ini memecahkan gelak yang begitu kuat dari mulut Mufti tapi menyebabkan panel lain terpinga-pinga. Maka terbukti manusia sepertiku tidak diperlukan untuk jawatan ini. Peliknya kuasa Allah mengatasi segalanya, sedang aku melanjutkan pelajaran selama sebulan di UIA dalam Diploma Pentadbiran Dan Kehakiman (DAIJ), tawaran sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S3 selamat diterima oleh ayahku di kampung.

Sebulan diposting ke Lenggong aku mendapat surat temuduga ke jawatan Hakim Mahkamah Syariah yang kupohon bersama YA Mohd Taifor, teman sepengajian di Fakulti Syariah, U. Malaya.  Aku mengambil cuti untuk menghadirinya dan dijanjikan jawatan tersebut oleh Ketua Hakim Syar'ie dan Setiausaha SPA. Malangnya akibat dendam pihak atasan di Jabatan  terhadap Mahkamah Syariah maka aku menjadi mangsa. Setiausaha SPA telah didesak agar tidak mengeluarkan tawaran kepadaku. Berbeza dengan YA Taifor yang ketika itu bertugas di Baitulmal dengan jawatan bertaraf kontrak, beliau dengan mudah meletakkan jawatan setelah mendapat tawaran. Berbeza denganku yang masih tanpa sebarang tawaran ke jawatan baru, mungkin akan kehilangan kedua-dua jawatan jika meletakkan jawatan.

Tugas sebagai Qadhi Daerah amat jauh bezanya dengan impianku untuk menjadi Hakim. Akibat kekotoran hati manusia, cara hidup dan masa depanku berubah sama sekali. Namun kugagahi jua setelah menyedari kehidupan baru yang tidak pernah aku bayangkan terpaksa aku tempuhi. Tahun berganti tahun, hari bersilih ganti akhirnya aku menjadi biasa dengan tugasku kini. Kelebihan yang ada padaku adalah hobiku yang suka membaca. Aku membaca apa sahaja sehingga perintah am dan pekeliling kemajuan aku kuasai setiap helaian. Hasilnya tatkala PTK di perkenalkan hanya 2 orang teman yang lulus TK1 dan hanya aku yang lulus TK2. Kala itu politik benar-benar menunjukkan kegilaan mereka. Kenaikan pangkat dibekukan demi menantikan calon-calon lain yang kelihatan bersih memenuhi kelayakan. Walaupun mengambil masa bertahun-tahun namun akhirnya kenaikan ke gred 44 diluluskan dan hasilnya beberapa orang juniorku mengambil tempat.

Ketika pemilihan untuk gred 48 sekali lagi politik memainkan peranan. Yang terpilih adalah juniorku melebihi 2 tahun yang kini sudah mencecah gred 54 sebagai Timbalan Pengarah, sedangkan aku berhempas pulas untuk mendapatkan kenaikan ke gred 44 setelah bertengkar dengan Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum diluluskan. Kenaikan kesemua calon ditangguhkan sehinggalah aku pulang ke negara daripada berkursus di Mesir selama 3 bulan. Setelah mendapat surat kenaikan ke gred 44, penempatan pula ditangguhkan sehingga kenaikan gaji tidak dapat dilaksanakan. Setelah lebih 3 bulan tertangguh aku terpaksa berhadapan sekali lagi dengan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memperjuangkan hak kami. Aku terpaksa berkasar dengan mengingatkan beliau bahawa adakah dia mahu pejabat SUK dianggap lembab disebabkan kes-kes sebegini. Akhirnya surat penempatan kami dikeluarkan beberapa hari selepas itu tatkala aku berada di Mekah menunaikan Fardhu Haji.
   
Beginilah nasib yang akan dihadapi bagi setiap yang memilih untuk tidak menyokong aliran politik pihak berkuasa yang tidak mengamalkan agama. Golongan agama secara umumnya dianggap sebagai musuh dan tidak seharusnya diberikan hak mereka. Namun kebodohan pemimpin politik seperti ini tidaklah begitu menghairankan kerana sebahagian besar pemimpin politik bukanlah orang yang berilmu dan bekelulusan tinggi. Namun amat menghairankan bagi pegawai tinggi kerajaan yang kononnya cerdik pandai dalam perkhidmatan awam  menjadi hamba kepada golongan yang kurang cerdik. Mereka seringkali mengingatkan anggota bawahan agar tidak berpolitik sedangkan penglibatan politik anggota bawahan tidak langsung menimbulkan sebarang kesan buruk kepada rakyat. Berbeza dengan mereka yang bukan sahaja menzalimi rakyat dengan kecenderungan politik mereka, malah kezaliman yang begitu merata turut dihadapi oleh penjawat awam sendiri.

Walaupun hakikatnya tidak ada bukti jelas penglibatan dalam politik pembangkang, malah tidak ada sebarang dakwaan dan tunjuk sebab yang pernah dikemukakan, namun politik kampungan tidak sama sekali memerlukan bukti dan pensabitan. Tidak ada apa yang perlu dikesalkan kerana semuanya hanya cabaran kecil dalam perjuangan dan langsung tidak layak untuk melemahkan daya juang. Paling tidak aku amat bertuah kerana mempunyai alasan peribadi yang amat kukuh bagi menentang dan meruntuhkan kerajaan BN kerana aku sendiri sering menjadi mangsa kerakusan mereka. Sekali kakiku melangkah takkan kuundur walaupun setapak. Biarpun sekiranya tunduk dan akur semua anggota di Jabatan ini terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh Kerajaan BN, maka aku akan tetap berdiri tegak menjadi benteng terakhir menegakkan Syariat Allah.....   

4 comments:

Anonymous said...

Berbaik sangka sahajalah. Memang belum ditakdirkan rezeki kita. Lagipun mungkin ada yang belum selesai dalam hubungan kita dengan Allah. Allah melengahkan nikmat atau tidak memberi nikmat itu sekarang supaya kita tidak lalai daripada bermuhasabah dan bermunajat padaNya. Ada banyak lagi nikmat Allah yang berkitar di sekeliling kita. Dan mungkin juga menyedarkan deria kita, beginilah rasanya kecewa dan dikecewakan..

Abu Izzah At-Tualanji said...

Kita wajib bersyukur dan qanaah dengan apa yang kita ada. Kita wajib bermuhasabah terhadap hubungan kita dengan Allah.
Namun tidak ada nas meyuruh kita berbaik sangka dengan kejahatan musuh. Kita wajib berwaspada dan mengatur langkah menghadapinya...

Anonymous said...

Koreksi diri, jangan mengenang perkara yang dah berlalu. Bukan semua kejadian buruk berlaku kerana kejahatan orang. Namun amat bijak berwaspada dalam mengatur langkah menghadapinya.

Yg selalu mendoakanmu... said...

Tak mengapalah... Dunia dan segala isinya memang bukan milik kita, semuanya hak Allah yang Allah pinjam atau kurniakan saja. Kalau Tuan berlapang dada, ada ganjaran tinggi di sisi Allah. Itulah tasauf namanya.

Namun, jika Tuan memilih utk mempertahankan hak tuan, atau setidak2nya memilih utk menulis bagi menyedarkan manusia lain ttg kezaliman politik yg tidak adil hingga menidakkan hak penjawatan tuan,tuan juga ada hak utk melakukannya. Itulah namanya syariat, yg memberi jaminan hidup manusia di dunia...

Kedua2nya tindakan mulia, redha dan berlapang dada... atau menuntut hak dan keadilan. Semoga Allah merahmati tuan...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...