Friday, December 19, 2014

Jawapan terhadap soalan Eric Paulsen mengenai Hudud

Jawapan kepada 20 soalan yang dikemukakan oleh Eric Paulsen, pengasas bersama dan pengarah eksekutif Lawyers For Liberty yang telah disiarkan di http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/hudud-20-soalan-untuk-pas

1.  Bolehkah hudud dilaksanakan dalam keadaan terdapatnya perbezaan besar di antara golongan berada dan papa, di antara golongan paling kaya seperti Syed Mokhtar, Mokhzani Mahathir, Vincent Tan, Ananda Krishnan dengan mereka yang miskin, papa dan tiada tempat tinggal? Ia menjadi jelas apabila Indeks Pekali Gini (yang mengukur tahap ketidaksamaan dalam agihan pendapatan) menunjukkan Malaysia sebagai negara yang ke-3 paling tidak adil agihan pendapatannya di Asia.
         
Ketidak adilan dan perbezaan besar antara golongan kaya dan golongan miskin yang begitu besar di negara ini adalah bukti menunjukkan undang-undang dan sistem kewangan sedia ada yang diamalkan di negara ini telah gagal dan tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada mana-mana pihak.
         
Di sinilah wujudnya keperluan kepada sistem dan undang-undang yang lebih baik dan mampu menjamin keadilan bagi semua pihak yang bukan terhad kepada Hukum Hudud malah Sistem Kewangan Islam secara menyeluruh.
         
Amatlah pelik sikap mereka yang sentiasa menonjolkan kelemahan dan ketidakadilan yang berlaku dalam negara tetapi berterusan mempertahankan sistem yang gagal dan menolak sebarang penambahbaikan kepada sistem tersebut.

2.           Bolehkah hudud dilaksanakan dalam keadaan orang-orang kaya dan berkuasa biasanya terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang? Bilakah kali terakhir seorang VVIP didapati bersalah dan benar-benar menjalani tempoh pemenjaraannya? Seterusnya, bolehkah hudud wujud apabila VVIP orang Islam masih duduk dalam Lembaga Pengarah Genting Berhad, memiliki saham dalam syarikat bir San Miguel atau mempunyai rangkaian kelab Hard Rock Café di dalam negara?


   Segala masalah dan kepincangan penguatkuasaan yang dinyatakan adalah di bawah undang-undang sedia ada bukan di bawah penguatkuasaan Undang-Undang Islam. Undang-Undang Islam akan menyelesaikan masalah tersebut dan menyelesaikan masalah VVIP orang Islam yang memiliki saham di syarikat-syarikat yang dinyatakan.

3.   Adakah hudud (seperti undang-undang Syariah sekarang) diamalkan secara terpilih dan mempunyai kesan tidak seimbang terhadap golongan lemah dan miskin, manakala orang-orang kaya dan berkuasa dapat melepaskan diri daripada hukuman? Sebagai contoh, hanya orang Islam biasa dan buruh Indonesia yang akan disebat kerana minum arak, atau adakah akan terdapat menteri Umno, ahli kerabat diraja dan anak-anak mereka, serta para pelancong beragama Islam dari Timur Tengah juga yang akan disebat ?

       Undang-Undang Hudud tidak sebagaimana Undang-Undang Syariah sekarang kerana ianya sepatutnya adalah Undang-Undang Negara dan bukan menjadi undang-undang Negeri semata-mata. Jika Negara menerima Hudud sebagai Undang-Undang Negara maka segala masalah dia atas akan dapat diselesaikan.

4.           Dengan begitu banyak rasa tidak puas hati terhadap Mahkamah Syariah sekarang ini dan penguatkuasaan undang-undang (terutamanya hal nafkah atau tanggungan penyelenggaraan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan suami), tidakkah pihak berkuasa mengambil kira apa yang akan berlaku jika mereka tersalah jatuh hukum seseorang yang tidak bersalah untuk dipotong tangan atau kakinya atau pun merejam dengan batu sehingga mati seorang wanita yang tidak bersalah?

Rasa tidak puas hati terhadap Mahkamah Syariah sekarang ini dan penguatkuasaan undang-undang (terutamanya hal nafkah atau tanggungan penyelenggaraan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan suami) tidaklah sebesar rasa tidak puas hati terhadap Mahkamah Sivil yang mempunyai kemudahan dan kakitangan yang jauh lebih lengkap berbanding Mahkamah Syariah.  Namun sikap prejudis masyarakat terhadap Mahkamah Syariah dan sikap prejudis masyarakat terhadap undang-undang Islam menyebabkan pandangan serong ini berterusan. Jika Undang-Undang Islam dijadikan undang-undang Negara maka tidak timbul lagi persoalan ini kerana segalanya adalah terletak di bawah bidangkuasa kehakiman Negara.

Persoalan hukuman kepada seseorang yang tidak bersalah tidak timbul sama sekali kerana Undang-Undang Islam tidak hanya sekadar menetapkan kadar melampaui keraguan yang munasabah malah tidak membenarkan sebarang keraguan sama sekali sebelum hukuman hudud boleh disabitkan. Ini bermakna setiap kesalahan Hudud memerlukan tahap keyakinan 100% sebelum hakim boleh mensabitkan sesuatu kesalahan.

5.           Bolehkah hudud hanya dilaksanakan untuk orang Islam, manakala orang bukan Islam tertakluk kepada undang-undang yang berbeza? Adakah adil, jika dua orang ditangkap di Kelantan atas sebab kecurian motosikal, seorang beragama Islam dipotong tangannya, sedangkan seorang lagi yang bukan Islam dipenjara selama setahun?

          Hudud boleh dikenakan terhadap orang bukan Islam jika mereka memilih untuk tertakluk di bawah undang-undang tersebut dan boleh dikecualikan daripadanya. Persoalan adil atau tidak tidak timbul bagi orang Islam kerana mereka terikat dengan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah. Orang Islam tidak boleh mempersoalkan keadilannya kerana itulah hukuman terbaik dan paling adil serta layak bagi mereka kerana ianya adalah ketentuan Allah. Ini adalah akidah dan pendirian yang wajib ada bagi semua umat Islam.

Bagi orang bukan Islam mereka tidak dilepaskan begitu sahaja dan dikenakan Hukum Takzir atau Undang-Undang Sivil yang digunapakai pada masa ini. Dakwaan tidak adil oleh orang bukan Islam tidak langsung relevan kerana mereka sendiri yang memilih untuk tidak dikenakan hukuman Hudud, Jika mereka mahukan keadilan dan kesamaan dalam hukuman maka dengan besar hati mereka dipersilakan untuk memilih Hukuman Hudud.

6.           Bolehkah hudud hanya dilaksanakan di Kelantan sahaja, manakala negeri-negeri lain di negara ini melaksanakan undang-undang jenayah sedia ada? Adakah adil jika dua orang lelaki Islam yang ditangkap kerana kecurian motosikal, satu di Kelantan dan satu lagi di Selangor; lelaki di Kelantan itu dipotong tangannya, sedangkan lelaki di Selangor dipenjara selama setahun?

Adalah janggal sekiranya hanya sebuah negeri sahaja yang melaksanakannya sedangkan negeri lain tidak. Namun kejanggalan ini bukan disebabkan oleh Undang-Undang Hudud itu sendiri tetapi disebabkan keengganan Kerajaan Pusat untuk menjadikannya sebagai Undang-Undang Negara. Bagi Umat Islam, rakyat Kelantan jauh lebih bertuah kerana mereka mendapat kerajaan yang mahu melaksanakannya dan mereka dapat merasakan perlaksanaan Hukum Allah yang diwajibkan ke atas mereka. Mereka meyakini bahawa pensabitan hukuman Allah itu menjadi penghapus kepada segala dosa mereka jika mereka bertaubat berbeza dengan undang-undang manusia. Bagi Umat Islam Kelantan mereka lebih redha menerima hukuman bagi kesalahan yang mereka lakukan dengan Hukuman Allah dan ini dibuktikan dengan mandat yang masih diamanahkan kepada Pas bagi menerajui negeri tersebut.

Bagi orang Islam di negeri lain, mereka terpaksa pasrah dengan kehendak pimpinan mereka yang walaupun Islam tetapi masih meyakini kehebatan Undang-Undang Barat dalam menyelesaikan masalah ummat.


7.      Bolehkah hudud wujud beriringan dan selaras dengan undang-undang jenayah sedia ada yang jauh lebih menyeluruh daripada kesalahan hudud yang terhad, walaupun ditambah dengan kesalahan-kesalahan takzir, qisas dan diyat? Adakah adil jika seorang lelaki Islam ditangkap kerana kecurian motosikal di Kelantan dan tangannya dipotong manakala seorang lelaki Islam yang ditangkap kerana pecah amanah (sama ada di Kelantan atau sebaliknya) untuk jumlah yang jauh lebih besar daripada kos motosikal itu pula dipenjarakan selama setahun?

Tidak timbul soal undang-undang jenayah sedia ada lebih menyeluruh berbanding kesalah hudud kerana undang-undang jenayah Islam mesti dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi Hukum Qisas, Hukum Hudud dan Hukum Takzir. Bagi kes yang tidak menepati kehendak undang-undang Hudud makan ianya akan disabitkan atas kesalahan Takzir. Perbezaan hukuman bagi kesalahan mencuri motosikal dan pecah amanah hanyalah bersifat teknikal dan ianya boleh diselesaikan melalui undang-undang Takzir yang memberi kebebasan budi bicara kepada Hakim bagi menetapkan hukuman yang sesuai.

Undang-undang sedia ada juga sering menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat seperti kes pencuri makanan di pasaraya yang dihukum penjara 2 tahun sedangkan ada kes pecah amanah yang hanya dipenjara 6 bulan atau dilepaskan terus.

8.           Adakah adil jika dua lelaki yang ditangkap kerana rogol di Kelantan, seorang lelaki Islam hanya dihukum di bawah takzir mengikut budi bicara hakim, manakala lelaki bukan Islam dipenjarakan sekurang-kurangnya lima tahun dan juga disebat di bawah undang-undang jenayah yang sedia ada?

          Melalui Undang-Undang Takzir boleh sahaja dikenakan penjara sekurang-kurangnya 5 tahun dengan sebatan bagi kesalahan rogol.

9. Adakah adil bagi mangsa rogol Islam untuk didedah kepada kemungkinan pertuduhan zina atau qazaf (tuduhan palsu zina) jika dia gagal memberikan keterangan atau saksi yang mencukupi? Apa yang berlaku dalam keadaan seorang wanita atau gadis hamil kerana dirogol sama ada dengan kekerasan atau pun rogol bawah umur? Adakah ianya akan diambil sebagai bukti muktamad kejadian zina jika dia, meskipun mangsa rogol, tidak dapat menyangkal tuduhan kerana beban bukti yang tidak seimbang?

          Mangsa rogol tidak pernah terdedah kepada kesalahan pertuduhan zina atau qazaf kerana kesalahan rogol tidak memerlukan kaedah pensabitan sebagaimana zina. Mana mungkin mangsa rogol mampu untuk mendatangkan saksi kerana jika wujudnya empat orang saksi atau seorang saksi sekalipun, maka tidak mungkin saksi tersebut akan membiarkan jenayah rogol itu daripada berlaku.

Kesalahan qazaf adalah bertujuan manjaga maruah seseorang daripada dituduh melakukan perbuatan keji itu secara melulu. Apa yang penting beliau perlu menunjukkan bahawa wujudnya jenayah rogol itu sama ada melalui laporan kepada pihak berkuasa ataupun qarinah-qarinah tertentu yang menunjukkan bahawa beliau dirogol. Dalam hal ini, tidak ada bezanya undang-undang rogol ini menurut undang-undang Islam dan undang-undang Barat kerana kedua-duanya meletakkan tuduhan palsu sebagai satu kesalahan melainkan Islam meletakkan tuduhan palsu melakukan jenayah seksual ini sebagai satu kesalahan khusu di bawah Hudud iaitu qazaf.

10.    Adakah adil, jenayah rogol, suatu kesalahan yang lebih serius daripada zina, hanya diklasifikasikan sebagai kesalahan takzir yang boleh dihukum mengikut budi bicara hakim manakala orang yang sudah berkahwin yang melakukan zina akan direjam dengan batu sehingga mati?

Jenayah rogol dan zina adalah dua kesalahan jenayah di sisi Allah. Samada yang mana satu lebih serius hanyalah semata-mata berdasarkan ketentuan akal manusia yang tidak sama dan sentiasa berubah-ubah. Pemikiran yang normal mudah sahaja memahami betapa seriusnya suami apabila isterinya berzina dengan lelaki lain berbanding kes rogol.

11.    Adakah adil, kerana tidak ada kesalahan hudud untuk penipuan secara besar-besaran, penyelewengan, pecah amanah, rasuah (contohnya skandal "peminjaman" NFC dan penyelewengan RM250 juta dana kerajaan) manakala seseorang yang mencuri motosikal akan mendapati tangannya dipotong?

          Tidak sepakat ulamak mengenai isu apakah hukuman Takzir boleh dikenakan melebihi daripada hukuman hudud. Walaupun ada ulamak yang menghukumkan tidak boleh namun pandangan yang membolehkannya adalah lebih praktikal. Apakah penyoal  merasakan hanya potong tangan sahaja yang merupakan hukuman paling berat yang boleh dihjatuhkan oleh hakim.

12.    Adakah adil jika hanya lelaki Islam sahaja yang biasanya dianggap berkelayakan untuk memberi keterangan manakala keterangan wanita dan orang bukan Islam tidak diterima atau mempunyai nilai yang lebih rendah? Mengapa harus orang bukan Islam terutama wanita melibatkan diri dalam undang-undang jenayah Islam yang memang memperlakukan keterangan orang bukan Islam atau wanita sebagai bersifat lebih rendah nilainya daripada orang lelaki Islam?

          Saksi lelaki hanya diperlukan bagi kesalahan-kesalahan hudud.  Bagi kesalahan selain hudud maka boleh sahaja disabitkan melalui saksi yang tidak mencukupi syarat dalam mensabitkan Hukuman Hudud. Jika kesalahan tersebut adalah kesalahan hudud sedangkan saksi yang ada tidak mencukupi syarat bagi mensabitkan kesalahan takzir maka pendakwaan akan disabitkan melalui hukuman takzir. Islam tidak begitu bimbang dengan kegagalan mensabitkan mereka yang bersalah kerana tidak seperti sistem perundangan manusia, sistem perundangan Allah tidak bermatlamat semata-mata untuk menghukum pesalah.

13.    Bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu melibatkan pelaku orang Islam dan mangsa bukan Islam? Bagaimana jika pelaku orang Islam mendesak untuk memakai hudud (kerana beban pembuktian yang lebih tinggi dan kurangnya nilai keterangan orang bukan Islam), manakala mangsa bukan Islam tidak ingin berserah kepada bidang kuasa perundangan Islam?

          Penentuan Bidangkuasa dalam melaksanakan hukuman adalah terletak pada pelaku jenayah tidak kepada mangsa jenayah. Kenapa pulak selama ini tidak pernah dipersoalkan kesalahan orang bukan Islam terhadap Agama Islam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Islam Negeri di mana hanya melibatkan orang Islam. Kenapa tidak diambil kira mangsanya yang beragama Islam hanya kerana pelakunya tidak beragama Islam.

14.    Bidang kuasa manakah yang terpakai – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu melibatkan pelaku bukan Islam dan mangsanya orang Islam? Bagaimana jika mangsa Islam menuntut hanya hudud yang dapat memberikan keadilan dan hukuman yang setimpal?

Sama seperti persoalan di atas.

15.    Bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika kesalahan yang dilakukan seperti kecurian dan rompakan terdapat dalam kedua-dua bidang kuasa? Bolehkah pelaku orang Islam meminta diadili di bawah undang-undang jenayah sedia ada kerana dia tidak mahu tangannya dipotong? Atau dia boleh memilih hudud kerana beban pembuktian yang lebih tinggi, yang membolehkan dirinya melepaskan diri daripada hukuman?

Semua orang Islam wajib tertakluk kepada Hukum Allah.

16.    Bagaimana hudud akan dapat berfungsi jika ia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam? Bolehkah pihak berkuasa memaksa orang bukan Islam untuk membantu dalam penyiasatan atau memberi keterangan di Mahkamah? Adakah keterangan mereka bernilai?

          Persoalan hudud akan dapat berfungsi jika ia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam bukanlah masalah yang disebabkan oleh Hukum Hudud itu sendri tetapi berpunca daripada Kerajaan Pusat yang tidak mahu menjadikannya sebagai Undang-Undang Negara. Maka pihak yang menentang Hukum Hudud yang sewajarnya menjawab persoalan ini. Adapun keterangan daripada orang bukan Islam masih mempunyai nilai tertentu dalam membantu penyiasatan.

17.    Adakah adil jika orang bukan Islam yang membantu dan bersubahat dengan orang Islam yang melakukan kesalahan untuk dilepaskan, manakala orang Islam itu pula tertakluk kepada hukuman rejam dan sebat dalam kes-kes zina dan syurb (pengambilan alkohol)?

Ketidakadilan dalam kes orang bukan Islam yang membantu dan bersubahat dengan orang Islam yang melakukan kesalahan sehingga dilepaskan adalah kelemahan dalam Undang-undang sedia ada bukan kelemahan dalam Undang-Undang Hudud. Jika mahukan keadilan Kerajaan Pusat hendaklah menjadikannya sebagai satu kesalahan bagi membolehkan mereka dihukum di bawah undang-undang sivil.

18. Adakah hukuman rejam sampai mati, penyaliban, sebatan dan pemotongan anggota badan masih diterima di zaman ini? Adakah ianya tidak tergolong sebagai penyeksaan, hukuman kejam dan tidak berperikemanusiaan? Bagaimana jika Israel mahu mengenakan hukuman undang-undang Yahudi yang sama, yang terdapat dalam Taurat (yang berkongsi asas  hukuman yang sama dalam Al-Quran) terhadap rakyat Palestin yang menentang pemerintahan mereka?

Hukuman hukuman rejam sampai mati, penyaliban, sebatan dan pemotongan anggota badan hanya dianggap kejam dan zalim kerana ianya dikaitkan dengan undang-undang Islam. Jika ianya dilaksanakan oleh pihak barat maka dunia terpaksa menerimanya walaupun ternyata jauh lebih zalim daripada itu seperti hukuman gantung sampai mati, kerusi elektrik apatah lagi berbagai kaedah penyiksaan di luar batas kemanusiaan seperti dilakukan oleh US terhadap tahanan di Guantanamo. Apa yang pasti semua hukuman yang dilaksanakan oleh Undang-undang Islam jauh lebih bertimbang rasa berbanding undang-undang barat. Secara mudah perbandingan boleh dibuat terhadap hukuman sebat yang dilaksanakan oleh Islam berbanding sebatan yang dilaksanakan di penjara pada hari ini.


19.    Adakah pihak berkuasa prihatin terhadap kemungkinan kematian ataupun sebarang komplikasi lain yang mengancam nyawa akibat pemotongan anggota badan? Siapakah yang akan bertanggungjawab?

Dengan kecanggihan dan kemajuan dunia perubatan yang ada pada hari ini maka isu yang ditimbulkan adalah tidak lagi relevan melainkan hanya bertujuan untuk mencari alasan untuk tidak melaksanakannya.


20.    Bagaimanakah hukuman ini dijalankan? Siapakah yang akan memotong, menyalibkan dan membaling batu sehingga mati itu? Adakah dilakukan oleh pegawai-pegawai Mahkamah, "profesional" terlatih, saksi, mangsa-mangsa jenayah atau ahli keluarga mereka atau orang ramai? Adakah hukuman ini dilakukan di khalayak ramai atau secara rahsia?

Persoalan siapa yang akan melaksanakan hukuman tidak pernahpun menjadi persoalan besar tatkala undang-undang barat mahu dilaksanakan. Apa yang penting adalah “Political Will” dalam melaksanakan sepenuhnya Undang-Undang Allah yang ternyata jauh lebih baik berbanding undang-undang ciptaan manusia. Segalanya telah ditentukan garis panduannya oleh Allah dan diterangkan oleh Rasulullah SAW. Selanjutnya kita mempunyai ulamak pewaris nabi yang tidak pernah mengenal penat dan lelah dalam mengistinbat hukum bagi mencari kaedah terbaik bagi memastikan keadilan dan redha Allah dalam pengutakuasaan undang-undang yang telah ditetapkanNya.

Persoalan-persoalan di atas hanyalah terbit dari sikap prejudis mereka terhadap Islam dan sengaja tidak mahu memahami kaedah Islam dalam menyelesaikan segala masalah ummat. Jika semua pihak bekerjasama dan sentiasa berusaha untuk melaksanakannya maka tidak ada sebarang masalah yang tidak mampu diselesaikan. Apa yang menjadi masalah adalah perbagai alasan dikemukakan oleh berbagai pihak untuk tidak melaksanakannya sehingga kelihatannya undang-undang Allah ini amat janggal dan terlalu banyak masalah dalam pelaksanaannya. Allah telah menyediakan sebaik-baik undang-undang bagi manusia yang dijadikan sebagai sebaik-baik kejadian. Namun manusia sendirilah yang menolak hukum Allah sehingga menjatuhkan martabat mereka daripada sebaik-baik kejadian kepada sehina-hina makhluk yang ada di muka bumi.

ولله أعلم بالصواب

7 comments:

Anonymous said...

Terimakasih Tuan diatas penerangan yang jelas dan terang. Tiada undang undang yang lebih adil dari undang undang Allah swt.

Anonymous said...

Apa pandangan tuan...bolehkah kaum lain menggunakan hukuman mengikut kitab masing-masing. Sebab kita percaya negara bukan Islam juga merujuk kepada ajaran agama masing-masing dalam semua aspek kehidupan.Jadi kita boleh lihat sejauhmana mereka mengiktiraf hukum Tuhan dalam kehidupan seperti orang Islam menjunjung hukum yang terkandung dalam kita Al Quran.

Abu Izzah At-Tualanji said...

Memang asalnya dibenarkan org bukan Islam menggunakan hukuman kitab masing-masing.
Bagi agama samawi sama sahaja hukumannya sepertimana hukuman di dalam Islam.
Agama selain agama samawi tak pasti apakah ada perbincangan mengenai kesalahan jenayah

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

jawapan ke ni? tak paham golongan macam abu ni. suka sangat seksa orang. tak perikemanusian. tuhan mana yang mau bunuh2, buat kejam...
manusia buat kejam bukannya salah tuhan...tuhan takkan kejam buat ni hukum.
lagipun u pernah jumpa ke DIA? cakap on behalf DIA....

Abu Izzah At-Tualanji said...

Mamat Atheis mana ni....Hukuman tuhan kata kejam. Penjenayah buat jenayah tak nampak kejam

Unknown said...

Belajar dengan undang2 barat jer broo.... hukum hakam islam tahu ke tidak. Kalau jadi atas diri sendiri atau kat keluarga dia baru sedar..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...