Jawapan kepada 20 soalan yang dikemukakan oleh Eric Paulsen, pengasas bersama dan pengarah eksekutif Lawyers For Liberty yang telah disiarkan di http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/hudud-20-soalan-untuk-pas
1. Bolehkah hudud
dilaksanakan dalam keadaan terdapatnya perbezaan besar di antara golongan
berada dan papa, di antara golongan paling kaya seperti Syed Mokhtar, Mokhzani
Mahathir, Vincent Tan, Ananda Krishnan dengan mereka yang miskin, papa dan
tiada tempat tinggal? Ia menjadi jelas apabila Indeks Pekali Gini (yang
mengukur tahap ketidaksamaan dalam agihan pendapatan) menunjukkan Malaysia
sebagai negara yang ke-3 paling tidak adil agihan pendapatannya di Asia.
Ketidak adilan dan perbezaan
besar antara golongan kaya dan golongan miskin yang begitu besar di negara ini
adalah bukti menunjukkan undang-undang dan sistem kewangan sedia ada yang
diamalkan di negara ini telah gagal dan tidak mendatangkan sebarang kebaikan
kepada mana-mana pihak.
Di sinilah wujudnya keperluan
kepada sistem dan undang-undang yang lebih baik dan mampu menjamin keadilan
bagi semua pihak yang bukan terhad kepada Hukum Hudud malah Sistem Kewangan
Islam secara menyeluruh.
Amatlah pelik sikap mereka yang
sentiasa menonjolkan kelemahan dan ketidakadilan yang berlaku dalam negara
tetapi berterusan mempertahankan sistem yang gagal dan menolak sebarang
penambahbaikan kepada sistem tersebut.
2.
Bolehkah hudud
dilaksanakan dalam keadaan orang-orang kaya dan berkuasa biasanya terlepas
daripada penguatkuasaan undang-undang? Bilakah kali terakhir seorang VVIP
didapati bersalah dan benar-benar menjalani tempoh pemenjaraannya? Seterusnya,
bolehkah hudud wujud apabila VVIP orang Islam masih duduk dalam Lembaga
Pengarah Genting Berhad, memiliki saham dalam syarikat bir San Miguel atau
mempunyai rangkaian kelab Hard Rock Café di dalam negara?
Segala masalah
dan kepincangan penguatkuasaan yang dinyatakan adalah di bawah undang-undang
sedia ada bukan di bawah penguatkuasaan Undang-Undang Islam. Undang-Undang
Islam akan menyelesaikan masalah tersebut dan menyelesaikan masalah VVIP orang
Islam yang memiliki saham di syarikat-syarikat yang dinyatakan.
3. Adakah hudud
(seperti undang-undang Syariah sekarang) diamalkan secara terpilih dan
mempunyai kesan tidak seimbang terhadap golongan lemah dan miskin, manakala
orang-orang kaya dan berkuasa dapat melepaskan diri daripada hukuman? Sebagai
contoh, hanya orang Islam biasa dan buruh Indonesia yang akan disebat kerana
minum arak, atau adakah akan terdapat menteri Umno, ahli kerabat diraja dan
anak-anak mereka, serta para pelancong beragama Islam dari Timur Tengah juga yang
akan disebat ?
Undang-Undang
Hudud tidak sebagaimana Undang-Undang Syariah sekarang kerana ianya sepatutnya
adalah Undang-Undang Negara dan bukan menjadi undang-undang Negeri semata-mata.
Jika Negara menerima Hudud sebagai Undang-Undang Negara maka segala masalah dia
atas akan dapat diselesaikan.
4.
Dengan begitu
banyak rasa tidak puas hati terhadap Mahkamah Syariah sekarang ini dan
penguatkuasaan undang-undang (terutamanya hal nafkah atau tanggungan
penyelenggaraan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan suami), tidakkah pihak
berkuasa mengambil kira apa yang akan berlaku jika mereka tersalah jatuh hukum
seseorang yang tidak bersalah untuk dipotong tangan atau kakinya atau pun
merejam dengan batu sehingga mati seorang wanita yang tidak bersalah?
Rasa tidak puas hati terhadap
Mahkamah Syariah sekarang ini dan penguatkuasaan undang-undang (terutamanya hal
nafkah atau tanggungan penyelenggaraan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan
suami) tidaklah sebesar rasa tidak puas hati terhadap Mahkamah Sivil yang
mempunyai kemudahan dan kakitangan yang jauh lebih lengkap berbanding Mahkamah
Syariah. Namun sikap prejudis masyarakat
terhadap Mahkamah Syariah dan sikap prejudis masyarakat terhadap undang-undang
Islam menyebabkan pandangan serong ini berterusan. Jika Undang-Undang Islam
dijadikan undang-undang Negara maka tidak timbul lagi persoalan ini kerana
segalanya adalah terletak di bawah bidangkuasa kehakiman Negara.
Persoalan hukuman kepada
seseorang yang tidak bersalah tidak timbul sama sekali kerana Undang-Undang
Islam tidak hanya sekadar menetapkan kadar melampaui keraguan yang munasabah
malah tidak membenarkan sebarang keraguan sama sekali sebelum hukuman hudud
boleh disabitkan. Ini bermakna setiap kesalahan Hudud memerlukan tahap keyakinan
100% sebelum hakim boleh mensabitkan sesuatu kesalahan.
5.
Bolehkah hudud
hanya dilaksanakan untuk orang Islam, manakala orang bukan Islam tertakluk
kepada undang-undang yang berbeza? Adakah adil, jika dua orang ditangkap di
Kelantan atas sebab kecurian motosikal, seorang beragama Islam dipotong
tangannya, sedangkan seorang lagi yang bukan Islam dipenjara selama setahun?
Hudud boleh
dikenakan terhadap orang bukan Islam jika mereka memilih untuk tertakluk di
bawah undang-undang tersebut dan boleh dikecualikan daripadanya. Persoalan adil
atau tidak tidak timbul bagi orang Islam kerana mereka terikat dengan hukuman
yang telah ditetapkan oleh Allah. Orang Islam tidak boleh mempersoalkan
keadilannya kerana itulah hukuman terbaik dan paling adil serta layak bagi
mereka kerana ianya adalah ketentuan Allah. Ini adalah akidah dan pendirian
yang wajib ada bagi semua umat Islam.
Bagi orang bukan Islam mereka
tidak dilepaskan begitu sahaja dan dikenakan Hukum Takzir atau Undang-Undang
Sivil yang digunapakai pada masa ini. Dakwaan tidak adil oleh orang bukan Islam
tidak langsung relevan kerana mereka sendiri yang memilih untuk tidak dikenakan
hukuman Hudud, Jika mereka mahukan keadilan dan kesamaan dalam hukuman maka
dengan besar hati mereka dipersilakan untuk memilih Hukuman Hudud.
6.
Bolehkah hudud
hanya dilaksanakan di Kelantan sahaja, manakala negeri-negeri lain di negara
ini melaksanakan undang-undang jenayah sedia ada? Adakah adil jika dua orang
lelaki Islam yang ditangkap kerana kecurian motosikal, satu di Kelantan dan
satu lagi di Selangor; lelaki di Kelantan itu dipotong tangannya, sedangkan
lelaki di Selangor dipenjara selama setahun?
Adalah janggal sekiranya hanya
sebuah negeri sahaja yang melaksanakannya sedangkan negeri lain tidak. Namun
kejanggalan ini bukan disebabkan oleh Undang-Undang Hudud itu sendiri tetapi
disebabkan keengganan Kerajaan Pusat untuk menjadikannya sebagai Undang-Undang
Negara. Bagi Umat Islam, rakyat Kelantan jauh lebih bertuah kerana mereka
mendapat kerajaan yang mahu melaksanakannya dan mereka dapat merasakan
perlaksanaan Hukum Allah yang diwajibkan ke atas mereka. Mereka meyakini bahawa
pensabitan hukuman Allah itu menjadi penghapus kepada segala dosa mereka jika
mereka bertaubat berbeza dengan undang-undang manusia. Bagi Umat Islam Kelantan
mereka lebih redha menerima hukuman bagi kesalahan yang mereka lakukan dengan
Hukuman Allah dan ini dibuktikan dengan mandat yang masih diamanahkan kepada
Pas bagi menerajui negeri tersebut.
Bagi orang Islam di negeri lain,
mereka terpaksa pasrah dengan kehendak pimpinan mereka yang walaupun Islam
tetapi masih meyakini kehebatan Undang-Undang Barat dalam menyelesaikan masalah
ummat.
7. Bolehkah hudud wujud beriringan dan selaras dengan undang-undang jenayah sedia ada yang jauh lebih menyeluruh daripada kesalahan hudud yang terhad, walaupun ditambah dengan kesalahan-kesalahan takzir, qisas dan diyat? Adakah adil jika seorang lelaki Islam ditangkap kerana kecurian motosikal di Kelantan dan tangannya dipotong manakala seorang lelaki Islam yang ditangkap kerana pecah amanah (sama ada di Kelantan atau sebaliknya) untuk jumlah yang jauh lebih besar daripada kos motosikal itu pula dipenjarakan selama setahun?
Tidak timbul soal undang-undang
jenayah sedia ada lebih menyeluruh berbanding kesalah hudud kerana
undang-undang jenayah Islam mesti dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi
Hukum Qisas, Hukum Hudud dan Hukum Takzir. Bagi kes yang tidak menepati
kehendak undang-undang Hudud makan ianya akan disabitkan atas kesalahan Takzir.
Perbezaan hukuman bagi kesalahan mencuri motosikal dan pecah amanah hanyalah
bersifat teknikal dan ianya boleh diselesaikan melalui undang-undang Takzir
yang memberi kebebasan budi bicara kepada Hakim bagi menetapkan hukuman yang
sesuai.
Undang-undang sedia ada juga
sering menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat seperti kes pencuri makanan
di pasaraya yang dihukum penjara 2 tahun sedangkan ada kes pecah amanah yang
hanya dipenjara 6 bulan atau dilepaskan terus.
8.
Adakah adil
jika dua lelaki yang ditangkap kerana rogol di Kelantan, seorang lelaki Islam
hanya dihukum di bawah takzir mengikut budi bicara hakim, manakala lelaki bukan
Islam dipenjarakan sekurang-kurangnya lima tahun dan juga disebat di bawah
undang-undang jenayah yang sedia ada?
Melalui
Undang-Undang Takzir boleh sahaja dikenakan penjara sekurang-kurangnya 5 tahun
dengan sebatan bagi kesalahan rogol.
9. Adakah adil bagi mangsa rogol Islam untuk didedah kepada
kemungkinan pertuduhan zina atau qazaf (tuduhan palsu zina) jika dia gagal
memberikan keterangan atau saksi yang mencukupi? Apa yang berlaku dalam keadaan
seorang wanita atau gadis hamil kerana dirogol sama ada dengan kekerasan atau
pun rogol bawah umur? Adakah ianya akan diambil sebagai bukti muktamad kejadian
zina jika dia, meskipun mangsa rogol, tidak dapat menyangkal tuduhan kerana
beban bukti yang tidak seimbang?
Mangsa rogol
tidak pernah terdedah kepada kesalahan pertuduhan zina atau qazaf kerana
kesalahan rogol tidak memerlukan kaedah pensabitan sebagaimana zina. Mana
mungkin mangsa rogol mampu untuk mendatangkan saksi kerana jika wujudnya empat
orang saksi atau seorang saksi sekalipun, maka tidak mungkin saksi tersebut
akan membiarkan jenayah rogol itu daripada berlaku.
Kesalahan qazaf adalah bertujuan
manjaga maruah seseorang daripada dituduh melakukan perbuatan keji itu secara
melulu. Apa yang penting beliau perlu menunjukkan bahawa wujudnya jenayah rogol
itu sama ada melalui laporan kepada pihak berkuasa ataupun qarinah-qarinah
tertentu yang menunjukkan bahawa beliau dirogol. Dalam hal ini, tidak ada
bezanya undang-undang rogol ini menurut undang-undang Islam dan undang-undang
Barat kerana kedua-duanya meletakkan tuduhan palsu sebagai satu kesalahan melainkan
Islam meletakkan tuduhan palsu melakukan jenayah seksual ini sebagai satu kesalahan
khusu di bawah Hudud iaitu qazaf.
10. Adakah adil, jenayah
rogol, suatu kesalahan yang lebih serius daripada zina, hanya diklasifikasikan
sebagai kesalahan takzir yang boleh dihukum mengikut budi bicara hakim manakala
orang yang sudah berkahwin yang melakukan zina akan direjam dengan batu sehingga
mati?
Jenayah rogol dan zina adalah dua
kesalahan jenayah di sisi Allah. Samada yang mana satu lebih serius hanyalah
semata-mata berdasarkan ketentuan akal manusia yang tidak sama dan sentiasa
berubah-ubah. Pemikiran yang normal mudah sahaja memahami betapa seriusnya
suami apabila isterinya berzina dengan lelaki lain berbanding kes rogol.
11. Adakah adil, kerana tidak ada kesalahan hudud untuk penipuan secara besar-besaran, penyelewengan, pecah amanah, rasuah (contohnya skandal "peminjaman" NFC dan penyelewengan RM250 juta dana kerajaan) manakala seseorang yang mencuri motosikal akan mendapati tangannya dipotong?
Tidak sepakat
ulamak mengenai isu apakah hukuman Takzir boleh dikenakan melebihi daripada
hukuman hudud. Walaupun ada ulamak yang menghukumkan tidak boleh namun
pandangan yang membolehkannya adalah lebih praktikal. Apakah penyoal merasakan hanya potong tangan sahaja yang
merupakan hukuman paling berat yang boleh dihjatuhkan oleh hakim.
12. Adakah adil jika
hanya lelaki Islam sahaja yang biasanya dianggap berkelayakan untuk memberi
keterangan manakala keterangan wanita dan orang bukan Islam tidak diterima atau
mempunyai nilai yang lebih rendah? Mengapa harus orang bukan Islam terutama
wanita melibatkan diri dalam undang-undang jenayah Islam yang memang
memperlakukan keterangan orang bukan Islam atau wanita sebagai bersifat lebih
rendah nilainya daripada orang lelaki Islam?
Saksi lelaki hanya
diperlukan bagi kesalahan-kesalahan hudud.
Bagi kesalahan selain hudud maka boleh sahaja disabitkan melalui saksi
yang tidak mencukupi syarat dalam mensabitkan Hukuman Hudud. Jika kesalahan
tersebut adalah kesalahan hudud sedangkan saksi yang ada tidak mencukupi syarat
bagi mensabitkan kesalahan takzir maka pendakwaan akan disabitkan melalui hukuman
takzir. Islam tidak begitu bimbang dengan kegagalan mensabitkan mereka yang
bersalah kerana tidak seperti sistem perundangan manusia, sistem perundangan
Allah tidak bermatlamat semata-mata untuk menghukum pesalah.
13. Bidang kuasa manakah
yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah
itu melibatkan pelaku orang Islam dan mangsa bukan Islam? Bagaimana jika pelaku
orang Islam mendesak untuk memakai hudud (kerana beban pembuktian yang lebih
tinggi dan kurangnya nilai keterangan orang bukan Islam), manakala mangsa bukan
Islam tidak ingin berserah kepada bidang kuasa perundangan Islam?
Penentuan Bidangkuasa
dalam melaksanakan hukuman adalah terletak pada pelaku jenayah tidak kepada
mangsa jenayah. Kenapa pulak selama ini tidak pernah dipersoalkan kesalahan
orang bukan Islam terhadap Agama Islam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah
Enakmen Jenayah Syariah Islam Negeri di mana hanya melibatkan orang Islam.
Kenapa tidak diambil kira mangsanya yang beragama Islam hanya kerana pelakunya
tidak beragama Islam.
14. Bidang kuasa manakah
yang terpakai – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu
melibatkan pelaku bukan Islam dan mangsanya orang Islam? Bagaimana jika mangsa
Islam menuntut hanya hudud yang dapat memberikan keadilan dan hukuman yang
setimpal?
Sama seperti persoalan di atas.
15. Bidang kuasa manakah
yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika
kesalahan yang dilakukan seperti kecurian dan rompakan terdapat dalam kedua-dua
bidang kuasa? Bolehkah pelaku orang Islam meminta diadili di bawah
undang-undang jenayah sedia ada kerana dia tidak mahu tangannya dipotong? Atau
dia boleh memilih hudud kerana beban pembuktian yang lebih tinggi, yang
membolehkan dirinya melepaskan diri daripada hukuman?
Semua orang Islam wajib tertakluk kepada Hukum Allah.
16. Bagaimana hudud akan
dapat berfungsi jika ia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam?
Bolehkah pihak berkuasa memaksa orang bukan Islam untuk membantu dalam
penyiasatan atau memberi keterangan di Mahkamah? Adakah keterangan mereka
bernilai?
Persoalan hudud
akan dapat berfungsi jika ia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan
Islam bukanlah masalah yang disebabkan oleh Hukum Hudud itu sendri tetapi berpunca
daripada Kerajaan Pusat yang tidak mahu menjadikannya sebagai Undang-Undang
Negara. Maka pihak yang menentang Hukum Hudud yang sewajarnya menjawab
persoalan ini. Adapun keterangan daripada orang bukan Islam masih mempunyai
nilai tertentu dalam membantu penyiasatan.
17. Adakah adil jika
orang bukan Islam yang membantu dan bersubahat dengan orang Islam yang
melakukan kesalahan untuk dilepaskan, manakala orang Islam itu pula tertakluk
kepada hukuman rejam dan sebat dalam kes-kes zina dan syurb (pengambilan
alkohol)?
Ketidakadilan dalam kes orang
bukan Islam yang membantu dan bersubahat dengan orang Islam yang melakukan
kesalahan sehingga dilepaskan adalah kelemahan dalam Undang-undang sedia ada
bukan kelemahan dalam Undang-Undang Hudud. Jika mahukan keadilan Kerajaan Pusat
hendaklah menjadikannya sebagai satu kesalahan bagi membolehkan mereka dihukum
di bawah undang-undang sivil.
18. Adakah hukuman rejam sampai mati, penyaliban, sebatan dan
pemotongan anggota badan masih diterima di zaman ini? Adakah ianya tidak
tergolong sebagai penyeksaan, hukuman kejam dan tidak berperikemanusiaan?
Bagaimana jika Israel mahu mengenakan hukuman undang-undang Yahudi yang sama,
yang terdapat dalam Taurat (yang berkongsi asas hukuman yang sama dalam
Al-Quran) terhadap rakyat Palestin yang menentang pemerintahan mereka?
Hukuman hukuman rejam sampai
mati, penyaliban, sebatan dan pemotongan anggota badan hanya dianggap kejam dan
zalim kerana ianya dikaitkan dengan undang-undang Islam. Jika ianya
dilaksanakan oleh pihak barat maka dunia terpaksa menerimanya walaupun ternyata
jauh lebih zalim daripada itu seperti hukuman gantung sampai mati, kerusi
elektrik apatah lagi berbagai kaedah penyiksaan di luar batas kemanusiaan
seperti dilakukan oleh US terhadap tahanan di Guantanamo. Apa yang pasti semua
hukuman yang dilaksanakan oleh Undang-undang Islam jauh lebih bertimbang rasa
berbanding undang-undang barat. Secara mudah perbandingan boleh dibuat terhadap
hukuman sebat yang dilaksanakan oleh Islam berbanding sebatan yang dilaksanakan
di penjara pada hari ini.
19. Adakah pihak
berkuasa prihatin terhadap kemungkinan kematian ataupun sebarang komplikasi
lain yang mengancam nyawa akibat pemotongan anggota badan? Siapakah yang akan
bertanggungjawab?
Dengan kecanggihan dan kemajuan
dunia perubatan yang ada pada hari ini maka isu yang ditimbulkan adalah tidak
lagi relevan melainkan hanya bertujuan untuk mencari alasan untuk tidak
melaksanakannya.
20. Bagaimanakah hukuman ini dijalankan? Siapakah yang akan memotong, menyalibkan dan membaling batu sehingga mati itu? Adakah dilakukan oleh pegawai-pegawai Mahkamah, "profesional" terlatih, saksi, mangsa-mangsa jenayah atau ahli keluarga mereka atau orang ramai? Adakah hukuman ini dilakukan di khalayak ramai atau secara rahsia?
Persoalan siapa yang akan
melaksanakan hukuman tidak pernahpun menjadi persoalan besar tatkala
undang-undang barat mahu dilaksanakan. Apa yang penting adalah “Political Will”
dalam melaksanakan sepenuhnya Undang-Undang Allah yang ternyata jauh lebih baik
berbanding undang-undang ciptaan manusia. Segalanya telah ditentukan garis
panduannya oleh Allah dan diterangkan oleh Rasulullah SAW. Selanjutnya kita
mempunyai ulamak pewaris nabi yang tidak pernah mengenal penat dan lelah dalam
mengistinbat hukum bagi mencari kaedah terbaik bagi memastikan keadilan dan
redha Allah dalam pengutakuasaan undang-undang yang telah ditetapkanNya.
Persoalan-persoalan di atas
hanyalah terbit dari sikap prejudis mereka terhadap Islam dan sengaja tidak
mahu memahami kaedah Islam dalam menyelesaikan segala masalah ummat. Jika semua
pihak bekerjasama dan sentiasa berusaha untuk melaksanakannya maka tidak ada
sebarang masalah yang tidak mampu diselesaikan. Apa yang menjadi masalah adalah
perbagai alasan dikemukakan oleh berbagai pihak untuk tidak melaksanakannya sehingga
kelihatannya undang-undang Allah ini amat janggal dan terlalu banyak masalah
dalam pelaksanaannya. Allah telah menyediakan sebaik-baik undang-undang bagi
manusia yang dijadikan sebagai sebaik-baik kejadian. Namun manusia sendirilah
yang menolak hukum Allah sehingga menjatuhkan martabat mereka daripada
sebaik-baik kejadian kepada sehina-hina makhluk yang ada di muka bumi.
ولله أعلم بالصواب
8 comments:
Terimakasih Tuan diatas penerangan yang jelas dan terang. Tiada undang undang yang lebih adil dari undang undang Allah swt.
Apa pandangan tuan...bolehkah kaum lain menggunakan hukuman mengikut kitab masing-masing. Sebab kita percaya negara bukan Islam juga merujuk kepada ajaran agama masing-masing dalam semua aspek kehidupan.Jadi kita boleh lihat sejauhmana mereka mengiktiraf hukum Tuhan dalam kehidupan seperti orang Islam menjunjung hukum yang terkandung dalam kita Al Quran.
Memang asalnya dibenarkan org bukan Islam menggunakan hukuman kitab masing-masing.
Bagi agama samawi sama sahaja hukumannya sepertimana hukuman di dalam Islam.
Agama selain agama samawi tak pasti apakah ada perbincangan mengenai kesalahan jenayah
jawapan ke ni? tak paham golongan macam abu ni. suka sangat seksa orang. tak perikemanusian. tuhan mana yang mau bunuh2, buat kejam...
manusia buat kejam bukannya salah tuhan...tuhan takkan kejam buat ni hukum.
lagipun u pernah jumpa ke DIA? cakap on behalf DIA....
Mamat Atheis mana ni....Hukuman tuhan kata kejam. Penjenayah buat jenayah tak nampak kejam
Belajar dengan undang2 barat jer broo.... hukum hakam islam tahu ke tidak. Kalau jadi atas diri sendiri atau kat keluarga dia baru sedar..
Just realise yang blog ni tak berapa menjawab soalan secara details . I am the one yang mencari jawapan . But still ada persoalan yang tak terjawab . Like "siapa yang bertanggungjawab untuk melakukan hudud ni ? Pegawai2 mana perlu dinyatakan" . I still search for it . But , apa2 ponnn such a very informative blogs ! Thanks
Post a Comment