Kemenangan calon PAS, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi Parlimen Bukit Gantang dengan majoriti 2,789 undi wajib diinsafi oleh semua penyokong Pakatan Rakyat. Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memperoleh sebanyak 21,860 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian yang mendapat 19,071 undi dan calon Bebas, Kamarul Ramizu mendapat 62 undi. Ingatan Allah dalam Surah An-Nasr semestinya menjadi panduan dalam menghadapi ujian kemenangan.
Pengajaran yang besar juga seharusnya diambil oleh pemimpin dan penyokong Barisan Nasional, Suruhanjaya Pilihanraya, penjawat-penjawat awam, ahli-ahli akademik, pihak istana dan tidak ketinggalan mufti-mufti seluruh negara.
Antara isyarat yang dipancarkan melalui kemenangan ini antaranya adalah :
a. Rakyat sudah menolak politik perkauman yang mendiskriminasi mana-mana kaum.
b. Rakyat Perak menolak rampasan kuasa secara tidak bermoral.
c. Penderhakaan terhadap Allah lebih besar daripada penderhakaan kepada manusia.
d. Ketinggian daya intelek rakyat marhain sudah ada yang lebih tinggi daripada sebahagian dari ahli akademik yang tidak berprinsip.
e. Bloggers dan blog-blog mereka telah mengambilalih sepenuhnya tugas dan peranan media-media perdana.
f. Celik agama di kalangan rakyat jelata menyebabkan fatwa-fatwa agama tidak lagi menjadi hak eksklusif bagi para mufti dan peranan mereka akan sirna jika terus menjual agama dengan harga yang tidak seberapa.
g. Seluruh negara tidak lagi mempunyai pilihan kecuali bersedia menghadapi pilihanraya seluruh Negeri Perak kerana rakyat mahukan pembubaran untuk menyerahkan mandat kepada kerajaan yang benar-benar mewakili inspirasi rakyat.
h. Seluruh negara harus menginsafi, bahawa khurafat yang mengatakan hanya Barisan Nasional sahaja yang mampu memerintah negara tidak relevan lagi untuk dikumandangkan di era ini.
Semoga peristiwa hebat ini akan membawa kebaikan kepada semua pihak dan bakal menjadi pemangkin kepada perubahan lanskap negara ke arah yang lebih gemilang.
No comments:
Post a Comment