Diantara cerita menarik tentang bas di Kaherah ini sebagaimana yang sering digambarkan adalah tentang bas yang tidak berhenti betul ketika hendak menurunkan penumpang. Namun begitu mengikut pemerhatianku sepanjang berada di sini, terdapat beberapa perkara menarik yang berlaku di dalam bas yang tidak pernah berlaku di Malaysia. Walaupun sering diingatkan agar berhati-hati dengan penyeluk saku yang begitu cekap di sini, terdapat unsur-unsur akhlak mulia yang diamalkan. Sikap bertolak ansur seperti memberi tempat duduk kepada wanita, orang tua dan orang yang sakit menjadi budaya di sini.
Bas di sini tetap menerima penumpang selagimana ada ruang yang masih ada. Dalam keadaan yang begitu sesak, penumpang di hadapan hanya perlu memberikan duit tambang kepada mereka yang berhampiran dan duit tersebut akan bertukar tangan ke belakang hingga sampai ke tangan penjaga tiket. Kemudian tiket pula akan bertukar tangan hingga sampai ke penumpang tadi semula. Mungkin tidak pernah berlaku, duit tersebut hilang di tengah jalan.
Aktiviti perniagaan juga berlangsung dengan aktif di dalam bas. Penjual hanya perlu meletakkan barangan di atas peha atau tangan setiap penumpang bermula dari belakang hingga ke depan. Kemudian setelah habis semua mendapat barang, beliau akan mula mengambil kembali bermula dari belakang terus ke depan. Sebahagian dari penumpang akan membuat pembelian jika berkenan. Aktiviti ini juga turut diamalkan oleh pengemis dan pengutip derma.
Berbeza dengan pintu bas di Malaysia yang hanya dibuka satu untuk masuk dan keluar, manakala satu lagi di belakang sebagai pintu kecemasan, bas di sini mempunyai dua pintu yang sentiasa digunakan. Masuk melalui pintu belakang dan turun melalui pintu depan. Biasanya jika turun melalui pintu depan, pemandu hanya akan menggerakkan bas setelah selesai semua penumpang turun di pintu depan. Maka sesiapa yang turun melalui pintu belakang akan menanggung risikonya sendiri.
No comments:
Post a Comment