Friday, May 07, 2010

Minggu Pertama Di Kaherah



Seminggu berada di bumi Mesir kurasakan seolah-olah terlalu lama untuk dihabiskan. Suasana yang terlalu berbeza berbanding negara tercinta, benar-benar mengujakan walaupun bukan sedikit gambaran mengenainya kudengar dari teman-teman. Mungkin catatan ini tidak membayangkan hakikat sebenar, memandangkan ianya hanya berdasarkan pandangan mata yang tidak sempurna.

Setakat berada di Kaherah, khususnya Hayyu Sabi' tempat kami menginap, beberapa perkara yang dapat aku perhatikan. Mungkin ada tempat lain yang lebih mewah, namun di sini keadaannya agak menyedihkan. Keluar dari lapangan terbang, tidak lama dapat dirasakan kesesakan lalu lintas yang bergerak tanpa sistem yang sempurna. Kebanyakan jalan tidak mempunyai garisan tengah sehingga menyebabkan kenderaan boleh dipandu sesuka hatinya.


Sepertimana Indonesia yang pernah aku lawati, pemanduan di sini amat memerlukan kecekapan dan pemfokusan. Kenderaan sering berselisih terlalu hampir dan asal sahaja ada ruang, pemandu akan meluru ke situ. Namun apakah sebagaimana Indonesia, pelanggaran kurang sekali ditemui. Berbeza dengan Malaysia yang kononnya bersistem, mungkin kerana merasakan keselamatan yang begitu terjamin, maka pemandu di negara kita tidak begitu bimbangkan pelanggaran.

Kebanyakan bangunan di sini tidak begitu indah dipandang. Kebanyakannya menggunakan batu yang tidak dicat walaupun nampak terlalu kukuh dan melangit. Udara sekeliling begitu tercemar dengan debu pasir yang menyebabkan kasut tidak mungkin dapat di kilatkan. Rata-rata kenderaan di sini tidak berada dalam keadaan yang baik fizikalnya.
Kesempatan menaiki bas masih belum kuperolehi sehingga kini. Kebimbangan lewat menghadiri kuliah menyebabkan kami lebih selesa menggunakan perkhidmatan teksi. Menggunakan teksi bermeter membawa dua kemungkinan untung dan ruginya. Jika bernasib baik, tambang tetap 5 hingga 15 junaih boleh dijimatkan. Namun belum sampai seminggu, 2 kes menyedihkan telah kami lalui. Kes pertama menaiki teksi dari Syubra ke Hayyu Sabi', pemandu teksi bermeter ketika mengambil penumpang mengatakan tahu jalan ke Hayyu Sabi'. Ketika sudah begitu hampir,tidak semena-mena teksi dipandu seolah-olah sesat entah ke mana. Setelah bertanya beberapa kali akhirnya kami sampai ke rumah dengan bacaan meter yang mencecah 25 junaih. Jika tidak sesat, barangkali bayarannya hanyalah sekitar 15 junaih. Akhirnya pertengkaran berlaku dengan segala bentuk cacian dan makian saling dihamburkan apabila kami enggan membayar mengikut meter yang dicatatkan.
Tengahari tadi kami mengambil teksi tanpa meter dari kuliah dengan janji bayaran sebanyak 10 junaih sahaja. Ketika di dalam perjalanan pemandu tersebut, keramahannya begitu terserlah, apabila bercerita tentang kehebatan Malaysia dan kefasikan pemerintah Mesir. Apabila hampir tiba, beliau mengambil jalan yang silap hingga terpaksa berpusing balik dalam jarak yang tidaklah sejauh mana. Hanya atas sebab yang kecil kami dipersalahkan kononnya silap memberi arahan hingga merugikan bahan api yang terpaksa digunakan. Ketika itu, hilang segala keramahan dan terserlahlah sikap tak bertamadunnya di hadapan kami yang menjadi tetamu di negaranya sendiri. Mudah-mudahan ini bukanlah sikap sebenar warga Mesir yang diwariskan Allah bumi Anbiya' ini. Semoga hari-hari yang mendatang memberikan sedikit pengalaman indah dan manis agar segala prasangka dan prejudisku terhadap warga Mesir akan sepenuhnya terusir.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...