Cukup 3 kali menghadiri Solat Jumaat di Mesir menyebabkan aku berani membuat beberapa kesimpulan mengenainya. Kali pertama bersolat di Masjid Jamek Al-Badawi Tonto aku terlepas peluang keemasan merakamkan aktiviti Tarekat yang begitu aktif di sana. Kali kedua aku bersolat di masjid kecil yang hanya layak bergelar surau di negara kita tidak jauh dari rumah sewa kami. Dan pada minggu ketiga, kami dijemput oleh Ustaz Yahya, Pegawai dari Wilayah Persekutuan untuk bersolat Jumaat di Masjid 4 Mazhab yang menurut beliau mempunyai teknologi binaan yang mampu melantunkan suara khatib kepada seluruh jemaah dengan jelas tanpa memerlukan bantuan alat pembesar suara. Namun apakan daya hari ini sistem pembesar suara telahpun digunakan walaupun tidak seperti yang sepatutnya diperlukan oleh masjid sebesar itu.
Beberapa perkara yang unik dalam urusan Solat Jumaat di sini boleh dibandingkan dengan Solat Jumaat di negara kita. Secara umumnya khutbah Jumaat berkumandang di seluruh bandar dan pekan. Setiap orang boleh mendengar dengan jelas walaupun tidak berada di perkarangan masjid. Entah kerana PA sistemnya hebat ataupun suara khatib yang amat bersemangat. Khutbah di atas adalah yang paling kurang bersemangat pernah aku dengar sepanjang 3 minggu di sini. Di sebelah masjid ini adalah sebuah masjid lagi yang turut mendirikan Solat Jumaat. Manakala di seberang jalan pula terdapat sebuah lagi masjid yang juga mendirikan Solat Jumaat dengan jemaah yang begitu ramai.
Khatib di sini sememangnya hebat dari segi penyampaiannya yang jauh bertenaga dari khatib di negara kita walaupun isunya tidaklah sehebat mana. Ini ditambah lagi dengan kelancaran mereka berkhutbah secara bersahaja tanpa melihat sebarang teks yang disediakan. Jauh sekali untuk melihat mereka tergagap-gagap membaca ayat-ayat Allah yang menjadi rukun khutbah. Sepanjang penelitianku tidak kedengaran sebarang doa untuk pemerintah. Minggu ini aku bertemu dengan tazkirah yang diadakan selepas solat berbanding kita yang aku rasakan lebih baik kerana diadakan sebelum khutbah.
Kemeriahan di sini dapat dirasakan dengan kehadiran begitu ramai jemaah wanita bersama di belakang. Setiap masjid pasti ada menyediakan tempat duduk khas bagi yang uzur dan berusia. Begitu juga turut disediakan tempat letak kasut di tepi-tepi tiang di dalam masjid.
Satu isu yang sering dibangkitkan di negara kita tentang Solat Jumaat adalah kenapa susah sangat nak dibenarkan solat di masjid atau surau berhampiran seperti ini. Oleh kerana aku tidak pernah samapi ke negara Arab maka aku tidak mampu berkata apa-apa bila dibangkitkan mengenai suasana di Mesir. Namun apabila melihat keadaan dan sistem hidup masyarakat di sini ditambah dengan jumalah penduduk yang begitu padat, maka bagiku perbandingan tersebut hanyalah qias maal fariq yang tidak seharusnya ditimbulkan oleh mereka yang jauh lebih lama tinggal di sini yang akhirnya bukan sahaja menjadi sindiran dan penghinaan terhadap ulamak di negara sendiri, tetapi hakikatnya adalah penghinaan kepada ulamak-ulamak Syafeiah dan Imam Syafie sendiri seolah-olah ulamak-ulamak besar inipun tidak pernah tinggal di negara Arab seperti ini. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment