Sunday, July 12, 2009

Pertemuan DPP dengan Mufti Perak

IPOH,10 Julai - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah mengadakan pertemuan di antara pimpinannya dengan Mufti Perak Tan Sri Dato’ Seri Harussani Zakaria bagi menjelaskan pendirian dan hasrat Pemuda PAS Perak berkenaan dengan isu-isu Islam yang berlaku dewasa ini. Pertemuan yang berlangsung di pejabat Mufti hampir dua jam ini banyak menyentuh isu berkaitan permasalahan yang melanda ummah yang semakin meruncing. Di akhir pertemuan itu Dewan Pemuda PAS Perak membawa hasrat majoriti rakyat yang inginkan kestabilan politik dan ekonomi di negeri ini kembali kukuh dan ampuh dengan menuntut agar dibubarkan DUN Perak seberapa segera. Walaupun saya mengharapkan agar ada sedikit manfaat daripada pertemuan ini, namun jauh di sudut hati terlalu sukar untuk mengharapkan ianya berlaku.


Apakah kesempatan ini digunakan oleh DPP untuk menyatakan pendirian PAS kepada Tan Seri ataupun ianya hanya digunakan oleh Tan Seri untuk menyatakan pendiriannya kepada PAS. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada DPP atas initiatif ini. Sekurang-kurangnya menunjukkan keterbukaan PAS yang masih menghormati Mufti kerana kita hanya menentang UMNO bukan kerajaan.

Saya bukanlah rapat sangat Tan Seri sementelah saya bukan jenis yang suka merapatkan diri dengannya. Namun setiap kata-kata dan tindakannya selama ini sentiasa saya ikuti dan analisis. Jangkaan saya selepas ini adalah :

- Tan Seri tetap sama sebagaimana biasa dengan menyokong sepenuhnya segala yang baik yang dilakukan oleh Kerajaan BN dan berdiam diri atas maksiat yang dianjurkan.

- Tan Seri akan tetap membidas keras apa sahaja pandangan pimpinan PAS dengan menggunakan hujah demi perpaduan Melayu.

- Pertemuan ini akan dijadikan modal dalam ucapannya bagi membuktikan - keberaniannya bertemu dengan sesiapa sahaja.

Nasihat saya kepada DPP, Tan Seri sebagaimana manusia biasa mempunyai hati yang tidak kurang lembutnya. Beliau telah lama dikenali sebagai berpendirian lalang iaitu menghentam UMNO dalam forum PAS dan menghentam PAS dalam forum UMNO. Sesiapa yang sering bertemu muka apatah lagi melazimkan diri mencium tangannya akan terlepas dari hentamannya. Setiap cadangan yang dibincangkan terlebih dulu dengannya akan bermatian dipertahankannya berbeza dengan cadangan yang walau sebaik mana sekalipun jika tidak melaluinya terlebih dahulu akan dihalang semaunya. Oleh yang demikian, rapatilah beliau agar ada sedikit cuak di hatinya untuk bercakap sesedap rasa terhadap PAS. Hampir mustahil untuk mengharapkan beliau bersama PAS namun cukuplah bagi kita jika mulutnya tertutup daripada bercakap mengenai sesuatu yang tidak diketahuinya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...