Monday, July 20, 2009

HUKUMAN SEBAT MENURUT SYARAK

Seorang model pelancongan didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak. Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, dari Sungai Siput, Perak menjalani hukuman penjara tiga tahun, jika gagal membayar denda itu. Tertuduh didakwa meminum arak jenama Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating kira-kira pukul 11.40 malam pada 11 Julai tahun lepas, laporan Bernama. Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

(http://www.malaysiakini.com/news/108916)

Satu perkembangan yang baik bagi peningkatan taraf Mahkamah Syariah. Selama ini amat kurang kedengaran hukuman sebat disabitkan di Mahkamah Syariah. Walaupun Hukum Syarak memperuntukkan sehingga 100 kali sebatan namun bidangkuasa sebanyak 6 kali sebatan ini masih gagal diambil manfaat. Antara alasan yang sering diberikan adalah ketidak tepatan perlaksanaan hukuman tersebut dengan kehendak Syarak. Namun apakah tidak ada garis panduan dikeluarkan ataupun kaedah yang digubal bagi membolehkan perlaksanaan hukuman sebat mengikut kaedah Syarak. Belum pernah kedengaran sebarang penganjuran kursus perlaksanaan hukuman sebat mengikut kehendak Syarak khusus bagi para penyebat penjara. Ini menjadikan pembaziran bidangkuasa sebatan yang diperuntukkan kepada kita sehingga kedengaran suara-suara sinis yang mengatakan, bagaimana nak melaksanakan 100 kali sebatan jika 6 kali yang dibenarkanpun gagal dipergunakan sepenuhnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...