Sehingga saat ini saya belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik. Saya mengharapkan semua pihak tidak membuat andaian yang terlalu cepat terhadap kenyataan mana-mana pihak mengenai isu ini. Perbincangan dengan pihak yang membuat kenyataan akan di adakan. Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini. Saya berdoa kepada Allah agar diberikan kebaikan untuk umat Islam dan para pendakwah Islam yang ikhlas. - dr mohd asri zainul abidin.
Berikut adalah kenyataan rasmi yang boleh dilihat melalui laman web beliau. Sebagai orang agama ini adalah ucapan berhati-hati demi menjaga hati semua pihak. Tetapi sebagai orang politik ucapan seperti ini adalah ucapan pengesahan mengenainya cuma menanti masa yang sesuai.
Berbagai reaksi timbul apabila berita sensasi ini tersebar. Orang UMNO tersenyum lebar seolah-olah orang PAS akan terkunci lidah dari berhujjah kerana "raja hujjah" akan berada bersama mereka. Orang PAS pula merasa kecewa kerana memikirkan kerugiannya seorang cendekiawan tenggelam bersama kesesatan.
Bagi yang tidak meneliti mungkin menganggap beliau sebagai aset yang bernilai yang akan membantu menaikkan semangat dan kredibiliti gerakan Islam. Namun bagi yang mengkaji tidaklah menghairankan jika keputusan di atas benar-benar terjadi. Walaupun dilihat seolah-olah tidak memihak kemana-mana, namun dari kata bicaranya, dari artikel dan penulisannya tidaklah menjadi perkara yang pelik jika akhirnya UMNO menjadi pilihannya.
Apabila PAS yang menjadi sasaran serangannya, maka kebebasan bersuara dan keberanian mengkritik akan dilaung-laungkan. Walaupun menggunakan topeng akademik, perjuangan dan hujjah PAS sentiasa disalah anggap dan ditentang. Apabila ada yang mempertikaikan kebiadabannya, maka isu ketaksuban dibesar-besarkan.
Semenjak menjawat jawatan dalam kerajaan, beliau terlalu lunak dengan pimpinan kerajaan. Jika teguran perlu dibuat, hanya sindiran dilontarkan. Berbeza sangat uslub dan pendekatannya tidak sebagaimana ketika menyerang pembangkang.
Jika dilihat dari manusia yang ada di sekelilingnya, maka apa dihairankan jika UMNO yang menjadi pilihannya. Bukankah pimpinan UMNO yang menjadikannya sebagai Mufti. Bukankah UMNO yang mempertahankannya ketika beliau ditahan. Bukankah melalui UMNO beliau mandapat tempat dan keistimewaan.
Jika PAS yang jadi pilihanm belum tentu kehebatannya akan terserlah. PAS ada segala-galanya yang ada padanya. Jika petahnya dia berkata-kata, ribuan penceramah yang mampu dikeluarkan oleh PAS. Jika ilmu hadis yang jadi sandaran, guru-guru besar ilmu hadis sudah ada di dalam PAS. Beliau perlu menapak dari bawah mencari akar umi jika mahu popular di dalam PAS. Apatah lagi untuk bertanding dan menjadi wakil rakyat di negeri atau parlimen.
PAS perlu menerima kenyataan. Jika UMNO yang jadi pilihan, maka ianya lahir dari jiwanya yang lebih selesa dengan mereka. Bagi mereka yang menyangka beliau bersama-sama kita, maka perbetulkanlah kesilapan dalam menilai selama ini. Tiada guna mengharapkan beliau mengganggotai parti, namun akhirnya menjadi duri dalam daging yang akan menghancurkan parti.
Tunggulah saat-saat yang dinantikan. Jika UMNO yang diisytiharkan maka bersyukurlah kepada tuhan. Jika sebaliknya yang berlaku, PAS akan berhadapan dengan masalah yang sukar untuk diselesaikan. Wallahu A'lam
No comments:
Post a Comment