Saturday, January 01, 2011

Mencium Hajarul Aswad

31 Oktober 2011 - Selepas Solat Subuh aku menyusup di celah-celah manusia yang sedang tawaf dan berjaya masuk ke Hijr Ismail. Hajat untuk bersolat sunat terpaksa kemudian batalkan kerana tidak ada sebarang ruang di dalamnya kecuali diisi dengan manusia. Tidak ada ruang langsung untuk ruku' apatah lagi sujud. Aku keluar dengan hasrat menuju ke Multazam. Tiba-tiba muncul dua orang anak muda Indonesia bertubuh kecil menyapa dan bertanya; sudah ke belum Pak ?



Tanpa sempat menjawab aku disuruh memanjat dan berdiri di atas Syazarwan dan menyusur sehingga ke sudut Hajarul Aswad. Di atas syazarwan hanya ada aku dan seorang perempuan Turki. Ketika sampai di sujud Hajarul Aswad, aku melihat dengan mata kepalaku bagaimana dia memasukkan kepalanya mencium Hajarul Aswad setelah bersusah payah sambil ditarik oleh tangan-tangan dari berbagai arah. Beberapa saat kemudian dia ditarik keluar dan terhumban ke atas manusia lain yang sedang berebut-rebut untuk mencium Hajarul Aswad. Aku mendengar dia menjerit kesesakan nafas dan entah apa nasibnya selepas itu. Oleh kerana aku berdiri di atas syazarwan aku terpaksa tunduk kerana Hajarul Aswad berada di paras pinggangku ketika itu. Seketika aku tersentak kerana ada seseorang telah meloloskan kepalanya ke dalam. Dengan penuh keyakinan aku membatalkan niat, lalu melepaskan pegangan dari bingkai Hajarul Aswad dan terjun ke bawah. dengan serba kepayahan melebihi kepayahan ketika masuk aku keluar dengan di kawal oleh kedua budak Indon tadi. Sampai ke tepi dalam cungap yang jelas kedengaran mereka menyuruhku sujud syukur seolah-olah tidak menyedari bahawa aku tidak mencium Hajarul Aswad. Aku sujud syukur dengan rasa kesyukuran kerana diberi peluang melihat sandiwara ini. 
Perbincangan dibuat selepasnya dimana mereka meminta hadiah sebanyak 2000 riyal. Aku katakan tiada siapa yang membawa duit sebanyak itu di sini. Dengan wajah kecewa yang jelas dibuat-buat, mereka mengomel tentang tanggungan mereka yang tidak sangat aku berikan perhatian. Aku hulurkan kepingan duit 5 riyal sebanyak yg ada dipoket yg aku tidak pasti jumlahnya samada seratus, dua ratus atau 3 ratus. Ianya memang aku bawa untuk tujuan sedeqah atau berbelanja jika ada keperluan. Mereka menolak tanganku dan berkata; Bapak jangan berbohong di hadapan kaabah. Setelah di desak berkali-kali aku membalas; Tidak timbul soal aku berbohong tetapi bertengkar di hadapan kaabah jauh lebih keji. Aku letakkan duit itu di tangan salah seorang dari mereka sambil berkata, namanya saja hadiah maka terserah saya mahu bagi berapa. Aku terus meninggalkan mereka dan masuk ke dalam masjid.

Seorang Indon lain mengejarku dan bertanya berapa mereka minta. Setelah aku nyatakan beliau beristighfar sambil berkata; itu memang bajingan, memalukan Indonesia. aku katakan bukan soal Indonesia, tapi terpulang kepada individu, di mana-mana saja serupa. Dia meminta aku berpesan kepada teman-teman Malaysia agar jangan jadi mangsa.

Mungkin ada yang mengatakan aku bodoh kerana melepaskan peluang yang sudah ada di hadapan mata. Bagiku walaupun ada hadis janji syurga buat mereka yang mengucupnya, namun bukan itu tiket ke syurga. Jika kemuliaan dikira dengan kucupan aku pasti penjaga sudut Hajarul Aswad itu akan lebih dulu masuk syurga berbanding Imam Sudais yang mungkin tidak sekerap penjaga itu dalam soal mengucup batu itu. Apakah manfaatnya berebut-rebut untuk mengucup beberapa ketul batu, dalam masa yang sama kita meletakkan diri kita dalam keadaan yang mudharat dan memudharatkan orang lain. Aku malu jika sekiranya aku berjaya melakukannya, maka pasti aku akan berbangga dengan kejayaan itu, dan meletakkan aku sebaris dengan manusia-manusia yang pada pandanganku terlalu ekstrim dan taksub dalam melakukannya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...