Monday, November 21, 2011

Khutbah: Hikmah dan Matlamat Syariah

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ عَلَّمَ اْلأِنْسَانَ مَالَمْ يَعْلَمْ  
اَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ اللهَ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ الْمُتَفَرِّدُ بِالْعِلْمِ وَالْقَائِلِ وَمَا اُوْتِيْـتُـمْ مِنَ الْعِلْمِ اِلاَّ قَلِيْلاً
وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنـَا مُحَمَّدِنِ  الْهَادِىْ اِلىَ الْحَقِّ  وَاِلىَ الصِّرَاطِ الْمُسْتَقِـيْمِ وَعَلىَ الِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ اِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ 

اَمَّا بَعْدُ , فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ فَاِنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ.

Sidang Jumaat Sekelian,

Setiap hukum yang disyariatkan oleh Allah mempunyai dua perkara penting iaitu matlamat pensyariatan dan hikmah di sebalik pensyariatannya. Terdapat lima tujuan dan matlamat asas peraturan dan perundangan Islam disyariatkan oleh Allah kepada manusia. Dalam Hal ini Imam Al-Ghazali menyebutkan bahawa :

 اِنَّ مَقْصُوْدَ الشَّرْعِ مِنَ اْلَخلْقِ خَمْسَةٌ وَهُوَ أَنْ يَحْفَظَ عَلَيْهِمْ دِيْنَهُمْ وَنَفْسَهُمْ وَعَقْلَهُمْ وَنَسْلَهُمْ وَمَالَهُمْ منهاج الصالحين
 Sesungguhnya tujuan Syarak (Allah) mensyariatkan Islam kepada manusia terkandung di dalamnya lima matlamat, iaitu menjaga agamanya, nyawanya, akalnya, keturunannya dan harta bendanya.

Menjaga agama membawa maksud untuk mengawal kesucian Agama Islam dan mencegah berlakunya kerosakan akidah di kalangan Umat Islam. Kesucian dan kedaulatan agama dan aqidah Islam adalah keutamaan yang tertinggi mengatasi kepentingan nyawa dan jiwa, akal fikiran, keturunan dan harta benda. Allah berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 136 :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا ءَامِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ وَمَنْ يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَلاً بَعِيدً

“Wahai orang yang beriman, berimanlah kamu dengan Allah, rasulnya dan kitab yang diturunkan kepada rasulnya dan kitab yang diturunkan sebelum itu. Dan sesiapa yang kufur dengan Allah dan malaikat-malaikatnya, rasul-rasulnya dan hari akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jauh”. An-Nisa : 136



Atas dasar untuk menjaga kesucian agama yang maha suci inilah maka Allah S.W.T menetapkan hukum yang amat berat bagi mereka yang mencemarkan agama. Dalam hadis riwayat Al-Bukhari menyebut :

مَنْ بَدَّلَ دِيْنَهُ فَاقْتُلُوْهُ

  Barang siapa yang menukar agamanya (Murtad) maka hendaklah kamu membunuhnya.
Kerosakan aqidah ini bukan sahaja dipandang berat dan dihukum dengan hukuman yang berat di dunia ini malah lebih berat lagi di akhirat nanti di mana mereka akan kekal di neraka.

Sidang Jumaat Yang Di rahmati Allah,

Menjaga nyawa bererti memberi hak kepada semua manusia untuk hidup aman dan tenteram termasuk menjaga anggota badan dari dicederakan, dirosakkan dan dilukakan. Bagi tujuan tersebut Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 179:

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَاأُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

 “Dan bagi kamu diwajibkan melaksanakan Hukum Qisas yang mana di dalamnya ada kelangsungan kehidupan, wahai orang-orang yang berakal semoga kamu bertaqwa”.

Ayat ini jelas mengajar kita mengenai kaedah menjaga nyawa dan jiwa manusia yang mana akan dapat dicapai dengan perlaksanaan Hukum Qisas. Walau bagaimanapun kelangsungan hidup yang akan dicapai hanya akan disedari oleh orang yang cerdik, berakal dan bertaqwa kepada Allah. Dengan adanya jaminan ini maka manusia akan dapat hidup dengan penuh ketenteraman jiwa tanpa ada yang dibimbanginya kecuali kepada Allah semata-mata.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah ,

Matlamat ketiga selepas menjaga nyawa adalah untuk menjaga akal. Akallah yang membezakan manusia dengan makhluk yang lain seperti binatang. Oleh yang demikian amatlah malang bagi yang sudah diberikan akal yang sihat tetapi sengaja merosakkannya. Hari ini ramai umat Islam yang turun martabatnya seperti binatang kerana ketagihan arak. Arak diharamkan oleh Allah kerana sifatnya yang memabukkan. Orang yang mabuk akan menyebab akalnya tidak dapat berfungsi dengan baik. Maka wajarlah Allah mengharamkan arak dan mewajibkan sebat atau rotan kepada peminum arak.

Sidang Hadirin Sekelian ,

Matlamat keempat yang ditetapkan oleh Allah adalah bagi menjaga keturunan. Ini bermakna setiap persetubuhan yang berlaku di kalangan manusia hendaklah dilakukan melalui kaedah yang halal. Ia mestilah berlaku di antara suami dan isteri serta bukan juga merupakan persetubuhan yang syubhah. Bagi memastikan keturunan manusia terpelihara kesuciannya, Allah mengharamkan sebarang bentuk penzinaan dan persetubuhan haram. Perbuatan zina adalah perbuatan yang keji dan merosakkan keturunan manusia kerana anak yang dilahirkan dari penzinaan tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang berzina dan tidak berhak mempusakai hartanya. Perzinaan dianggap lebih keji jika sekiranya penzina tersebut adalah mereka yang telah berkahwin. Sebab itulah Allah mewajibkan hukuman rejam terhadap penzina yang telah berkahwin berbeza dengan seratus sebatan bagi mereka yang masih bujang. Malah lebih jauh lagi Allah mengharamkan mukaddimah zina sebagaimana firmannya dalam Surah al-Isra’ ayat 32 :
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ﴿٣٢﴾
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah sesuatu perbuatan yang keji dan jalan yang amat buruk”.

Sidang Jumaat Sekelian,

Matlamat terakhir adalah bagi menjaga harta. Islam mengiktiraf hak individu dalam urusan pemilikan harta. Malah Islam menggalakkan umatnya menghimpun sebanyak mungkin harta bagi dibelanjakan ke jalan yang diredhai oleh Allah. Walau Bagaimanapun apalah maknanya harta yang bertimbun jika saban hari yang dilalui penuh dengan kebimbangan. Malah kebanyakan dari kita datang ke masjid bersembahyang Jumaat dengan hati yang penuh pasrah untuk pulang berkaki ayam. Inilah yang menyebabkan Allah mengharamkan mencuri dan menghukumkan potong tangan bagi yang melakukannya. Firman Allah dalan Surah al-Maidah ayat 38 :

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالاً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيم


“Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan maka potonglah tangan mereka sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan dan sebagai pencegahan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana”.

Sidang Jumaat Sekalian,

Selain daripada matlamat yang disebutkan tadi terdapat hikmah yang berbagai dalam setiap hukum yang disyariatkan. Sebahagian daripada hikmah tersebut ada yang dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran, ada yang dijelaskan oleh Rasulullah di dalam hadis dan sunnah dan ada yang boleh difikirkan oleh akal manusia. Walau bagaimanapun ada juga hukum dan syariat yang tidak diketahui hikmahnya malah dilihat sebagai tidak rasional dan tidak sesuai dilaksanakan tetapi hukumnya tetap sama dan mesti kita laksanakan. Sebagaimana Allah berfirman dalam Surah al-Ankabut ayat 45 :

إِنَّ الصَّلاَةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ


“ Sesungguhnya solat itu mencegah daripada kita melakukan perkara yang keji dan munkar”.
Allah juga berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183 :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu be“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa”.

Begitulah juga di antara hikmah Allah mewajibkan wanita menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan adalah supaya dapat merendahkan pandangan bernafsu dari lelaki dan mengurangkan keghairahan lelaki ajnabi melihatnya dan dengan itu boleh mengurangkan maksiat dan jenayah seksual secara berleluasa.

Sidang Jumaat Sekelian,

Hikmah-hikmah ini ada yang terlaksana dan ada yang tidak terlaksana. Ramai orang yang bersembahyang tetapi masih terus membuat maksiat. Ramai yang berpuasa tetapi tidak tidak bertambah ketaqwaan melainkan makin jauh dari Allah. Dan ada juga yang menutup aurat tetapi masih menjadi mangsa nafsu serakah manusia. Suatu perkara yang mesti kita ingat bahawa hukum dan syariat Allah tidak bergantung kepada terlaksana atau tidaknya hikmah ini. Walaupun masih berterusan membuat dosa, kewajipan sembahyang tidak pernah terangkat. Walaupun ramai di antara kita yang tidak bertambah taqwanya di bulan puasa tetapi hukumnya tetap sama. Walaupun yang menutup aurat juga tidak terjamin keselamatan mereka daripada nafsu manusia tetapi hukum menutup aurat tidak harus dilupakan. Jangan jadikan alasan bahawa nafsu yang tidak mengenal mangsa, baik yang bertudung atau tidak, baik yang bersopan atau tidak, jangan kita jadikan alasan untuk membenarkan kesalahan dan dosa kita, anak isteri kita dan kerabat kita yang mendedahkan aurat mereka.


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...