Wednesday, November 16, 2011

Khutbah: Perlaksanaan Syariat Islam Secara Beransur-Ansur

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقَائِلِ :

لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْءَانَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ اْلأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ(21)
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ,
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat Sekalian,

Hari ini perlaksanaan syariat Islam secara menyeluruh begitu hebat diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat. Di mana sahaja dan sesiapa sahaja umat Islam malah orang bukan Islam begitu ghairah membicarakannya walaupun sebahagiannya umat tandus pengetahuan mengenainya malah cara sebutan merekapun mengambarkan kecetekan ilmu mereka mengenainya.



Sidang Jumaat Sekalian,

Nabi Muhammad S.A.W mengambil masa 23 tahun bagi melaksanakan keseluruhan syariat Allah yang selengkapnya. Kesempurnaan syariat Allah dirasai dan dapat dihayati di zaman Khalifah Ar-Rashidin dan kesannya masih menjadi igauan seluruh umat Islam sehingga kini. Namun sedarkah kita bahawa Allah sendiri membuat perancangan yang cukup rapi bagi mensyariatkan keseluruhan syariat Islam dan menggunakan pendekatan yang berasur-ansur dalam menguatkuasakannya. Dalam kitab Minhaj Ilmu Fiqh karangan Haji Said Haji Ibrahim, bekas Mufti Sabah menjelaskan fasal ke 14, muka surat 132, bahawa perlaksanaan hukum syarak adalah berasaskan tiga prinsip pokok iaitu :
1. Tiada Kepayahan

2. Mengurangkan bebanan

3. Beransur-ansur dalam perlaksanaan

Ini dapat dilihat dengan jelas dalam pensyariatan pengharaman arak dan judi telah mendarah daging dalam kehidupan masyarakat ketika itu. Dalam kitab Al-Tibyan fi Uluumi Quran karangan Al-Sheikh Muhammad Ali Al-Shobuni menerangkan kaedah pengharaman arak di zaman Nabi Muhammad S.A.W. Secara tidak langsung Allah S.W.T menggambarkan mengenai keburukan arak dengan menurunkan surah al-Nahl ayat 67 :
وَمِنْ ثَمَرَاتِ النَّخِيلِ وَاْلأَعْنَابِ تَتَّخِذُونَ مِنْهُ سَكَرًا وَرِزْقًا حَسَنًا إِنَّ فِي ذَلِكَ َلآيَةً لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
 Dan dari buah-buah kurma dan anggur dapat kamu ambil minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik.



Dalam ayat ini Allah S.W.T hanya menerangkan bahawa anggur boleh digunakan bagi membuat minuman yang memabukkan dan boleh juga menjadi sumber rezeki yang baik kepada manusia. Selepas turunnya ayat ini sebahagian umat Islam yang mampu berfikir menyedari bahawa seolah-olah ada satu isyarat dari tuhan Rabbul Jalil mengenai perahan anggur yang dijadikan arak oleh masyarakat. Persoalan ini terus bermain difikiran mereka tanpa ada jawapannya. Kemudian Allah S.W.T menurunkan pula surah al-Baqarah ayat 219 :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ اْلآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ(219)

Mereka bertanya mengenai arak dan judi, Katakanlah bahawa pada keduanya ada mudarat yang besar dan ada juga beberapa manfaat bagi manusia. Dan kemudaratan keduanya bagi manusia adalah melebihi daripada manfaatnya. Dan mereka bertanya mengenai apa yang akan mereka nafkahkan, maka katakanlah : yang melebihi keperluan. Demikianlah Allah S.W.T menerangkan ayat-ayatnya kepada mu supaya kamu mampu memikirkan.



Amaran Allah S.W.T dalam ayat ini samalah dengan amaran kerajaan di tepi kotak-kotak rokok yang menyatakan bahawa merokok mebahayakan kesihatan namun berapa ramaikah yang mahu mengambil pengajaran. Para sahabat juga mengambil sikap tunggu dan lihat malah masih meneruskan kegiatan mereka kerana tiada tanda yang jelas mengenai pengharamannya.



Sidang Jumaat Sekalian,

Diceritakan bahawa Abdul Rahman Bin Auf mengadakan kenduri dan mengundang para sahabat. Saidina Ali bin Abi Talib mengatakan bahawa aku diundang dan dihidangkan dengan arak lalu aku meminumnya. Kemudian apabila aku menjadi imam solat maka aku diminta menjadi imam sehinggalah aku membaca surah al-Kafirun ayat 1-3 dalam keadaan mabuk dan tersilap.
قُلْ يَاأَيُّهَا الْكَافِرُونَ (1) أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ(2) وَنَحْنُ نَعْبُدُ مَا عَبَدْتُمْ  (3)
Katakanlah wahai orang-orang kafir, aku akan menyembah apa yang kamu sembah dan kami telah pun menyembah apa yang kamu sembah.

Maka turunlah ayat 43 surah an-Nisa' yang berbunyi :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لاَ تَقْرَبُوا الصَّلاَةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُوْلُوْنَ 
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu kerjakan sembahyang ketika kamu sedang mabuk kecuali setelah kamu mengetahui apa yang kamu katakan.



Sidang Jumaat Sekalian,

Setelah penurunan ayat ini sebahagian sahabat terus menjauhi arak manakala sebahagiannya masih meneruskannya kecuali apabila mahu mendirikan solat. Maka diriwayatkan bahawa sebahagian sahabat termasuk Hamzah, bapa saudara Nabi sedang berkumpul dan ketika itu terdapat seorang hamba menghiburkan mereka dengan lagunya :
اَلاَ يَا هَمْزُ لِلشَّرَفِ النَّوَاءِ  وَهُنًّ مُعَقَّلاَتٌ بِالْفِنَاءِ

Ingatlah wahai Hamzah terdapat unta-unta tua yang bermain-main itu, mereka telah diikat di halaman rumahnya.

Lalu Hamzah terus memotong tali unta milik Saidina Ali lalu Ali mengadu kepada Nabi. Apabila Nabi memarahi Hamzah lalu Hamzah menjawab : Bukankah kamu semua bapa-bapa saudara ku ? Maka sedarlah Nabi bahawa bapa saudaranya itu sedang mabuk.

Tidak lama kemudian maka turunlah ayat 90-91 surah al-Maidah yang mengharamkan terus arak daripada di minum oleh umat Islam :


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَاْلأَنْصَابُ وَاْلأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ(90) إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلاَةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ  (91)

Wahai orang-orang yang beriman sesungguhnya arak dan judi, penyembahan berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji yang menjadi amalan syaitan. Maka kamu jauhilah ia semoga kamu mendapat kemenangan. Sesungguhnya syaitan menghendaki agar timbul di kalangan kamu permusuhan dan kebencian kerana arak dan judi seterusnya dengan itu menghalang kamu dari mengingati Allah S.W.T dan mendirikan solat. Masih kah kamu berdegil lagi ?



Sidang Jumaat Sekalian,

Ayat keempat ini tidak akan turun sebelum turunnya 3 ayat sebelumnya. Inilah kaedah yang sebenar perlaksanaan syariat Islam secara berperingkat yang diatur oleh Allah. Walaupun terlalu sukar melembutkan hati bangsa Arab namun Rasulullah S.A.W berjaya mengubah mereka sepenuhnya dalam masa 23 tahun. Namun Negara-negara Islam hari ini masih gagal menguatkuasakan hukum Allah walaupun telah mencapai kemerdekaan berpuluh-puluh tahun. Kita gagal kerana kita tidak beransur-ansur mahu melaksanakannya. Di mana sahaja ada umat Islam berusaha melaksanakannya maka wujud pula umat Islam yang mencari kelemahan dan cuba menghalangnya. Kita tidak punya masa lagi untuk berbahas mengenai keindahan syariat Islam kerana orang bukan Islam pun ramai yang telah mengakuinya. Apa yang tinggal adalah untuk kita membuktikannya. Sesiapa sahaja yang mahu mengusahakannya wajib kita bantu dan segala kekurangannya harus sama-sama ditampung. Semua pihak mesti sama-sama berusaha menegakkannya secara beransur-ansur. Jika 10 tahun lalu kita sudah memulakan penerangan mengenai syariat Allah kepada seluruh masyarakat, maka pasti hari ini kita tidak lagi menghadapi masalah dalam melaksanakannya. Media massa dan media cetak hari ini telah gagal menjalankan tugasnya bagi menjelaskannya kepada masyarakat malah lebih banyak menambahkan kekeliruan dalam masyarakat. Maka marilah kita semua bersatu tenaga bagi melaksanakannya secara beransur-ansur. Jika semua pihak memang berniat untuk melaksanakannya walaupun pendekatannya berbeza, maka tiada alasan bagi kita berbalah kerananya kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama. Gunakanlah segala cara yang ada bagi menerangkannya kepada masyarakat agar pihak yang berusaha menguatkuasakannya tidak diganggu oleh pihak yang sebenarnya amat jahil mengenai perlaksanaannya. Jika ini kita lakukan maka bukan sahaja orang Islam malah orang bukan Islam juga akan menerimanya sebagai undang-undang negara.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...