الحمد لله القائل :
وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى وَاتَّقُونِ يَاأُولِي الأَلْبَابِ
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ,
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat Sekalian,
Marilah kita bersama-sama menyediakan bekalan taqwa sebagaimana Allah menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 197 yang dibacakan sebentar tadi. Taqwa bukan sahaja sebaik-baik bekalan di akhirat tetapi juga sebaik-baik bekalan di dunia.
Sidang Jumaat Sekalian,
Kita sering diperingatkan agar menyediakan bekalan bagi menempuh hari akhirat. Walau bagaimanapun kesemua pesanan dan peringatan itu adalah sama ataupun mempunyai maksud yang sama dan tidak lari daripada menyuruh kita menyediakan bekalan taqwa bagi menyelamatkan kehidupan kita di akhirat. Namun peringatan berkenaan bekalan di dunia berbeza-beza di antara kita.
Kita pernah diperingatkan agar menjadi bekalan pelajaran supaya lulus dalam peperiksaan yang boleh menjamin masa depan kita dengan sijil yang diperolehi. Kita pernah diperingatkan agar mencari bekalan kesihatan tubuh badan supaya tidak menderita di kemudian hari. Kita pernah diperingatkan agar mencari bekalan wang dan kekayaan supaya tidak,terpinggir dari arus persaingan hidup yang penuh dengan tuntutan kebendaan ini. Pernah kita diperingatkan agar menjadi bekalan perpaduan agar kita tidak menjadi lemah ditindas oleh bangsa lain. Maka kita jarang diperingatkan bahawa sebaik-baik bekalan di dunia ini adalah taqwa. Maka kebanyakan kita menyangka bahawa taqwa hanyalah sebaik-baik bekalan di akhirat sahaja dan bukan sebaik-baik bekalan di dunia ini.
Sidang Jumaat Sekalian,
Kita tidak menafikan pentingnya bekalan dan persediaan fizikal seperti ilmu pengetahuan, kekuatan ketenteraan, kekuatan ekonomi dan sebagainya dalam mengharungi kehidupan yang amat mencabar ini. Namun disebalik keghairahan kita menyediakan bekalan ini jangan kita lupakan sebaik-baik bekalan iaitu taqwa. Allah berfirman dalam surah al-Anfal ayat 60:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لاَ تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لاَ تُظْلَمُونَ(60)
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala kekuatan yang dapat kamu sedikan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap siap sedia menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya : Sedang Allah mengetahuinya, dan apa yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan diinaya.
Hadirin Yang Dirahmati Allah,
Apakah kita yakin bahawa dengan hanya semata-mata kekuatan tentera kita mampu mempertahankan Negara kita tanpa ada kekuatan dalaman yang menolong menguatkan kita. Apakah kita melawan jet-jet pejuang musuh yang menyerang sedangkan sejarah penerbangan kita penuh dengan tragedi-tragedi kemalangan udara di merata tempat. Apakah kita boleh hanya bergantung kepada kekuatan persenjataan kita sedangkan simpanan senjata kita pernah dibolosi dan dicuri. Apakah kita mampu mengharapkan institusi pendidikan kita bagi melahirkan generasi-generasi unggul sedangkan kita masih dibelenggu masalah remeh temeh seperti isu pengasingan pelajar mengikut kaum dan pembinaan makmal yang tidak siap-siap. Apakah kita mampu bersaing dengan musuh dalam dunia teknologi dan ICT jika hingga kini kita masih dalam peringkat pengguna teknologi dan kebanyakan kita masih belum mampu menguasai apatah lagi untuk mencipta sendiri.
Sidang Jumaat Sekalian,
Ada orang yang bertanya bagaimana taqwa boleh menjamin kemenangan dan kejayaan kita di dunia. Sesungguhnya kita mesti memahami bahawa setiap kemenangan dan kejayaan hanyalah berlaku dengan izin Allah. Dan bagi umat Islam adakah Allah akan memberikan kemenangan kepada kita jika kita dimurkai Allah. Allah menggambarkan tentang janji kemenangan bagi orang yang bertaqwa dalam surah al-Baqarah ayat 249 :
فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَنْ لَمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلاَّ مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلاَّ قَلِيلاً مِنْهُمْ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ ءَامَنُوا مَعَهُ قَالُوا لاَ طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلَاقُو اللَّهِ كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maka tatkala Tholut keluar membawa tentera ia berkata “ sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai maka barangsiapa di antara kamu meminum airnya, bukanlah ia pengikut ku, kecuali menceduknya sedikit dengan tangan, maka ia adalah pengikut ku, kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka, maka tatkala tenter-tentera Tholut dan orang-orang yang beriman bersama di telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang yang telah minum berkata tidak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya, orang-orang yang menyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang yang sabar.
Allah juga berfirman dalam surah al-Thalaq ayat 2-3 :
......وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا(2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ........
Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluaer, dan akan memberikan rezeki daripada jalan yang tidak disangka………...
Dalam ayat yang keempat dalam surah yang sama pula , Allah menyatakan :
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا
Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka Allah akan memberikan kemudahan dalam segala urusannya.
Dalam ayat yang kelima dalam surah yang sama pula, Allah menyatakan :
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُعْظِمْ لَهُ أَجْرًا
Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan melipat gandakan ganjaran pahalanya.
Sidang Jumaat Sekalian,
Sesuatu kemenangan dan kejayaan yang tidak berlandaskan ketaqwaan tidak akan bertahan lama dan akan menemui kehancuran jua akhirnya. Suatu kejayaan yang tidak berlandaskan ketaqwaan hanya mengundang bersamanya anasir-anasir yang akan menghancurkannya. Kemajuan bidang seni menghasilkan bahan-bahan kesenian yang amat menakjubkan dan menghiburkan hati yang gundah gulana, tetapi tanpa asas taqwa menyebabkan bidang seni hari ini hanyalah menjadi satu elemen mengkhayalkan yang hanya membuang masa masyarakat terutamanya remaja. Bidang seni kini hanya melahirkan gaya hidup yang berserabut dan pendokong-pendokong yang tidak sempurna akhlaknya. Kemajuan bidang ekonomi hari ini melahirkan ramai usahawan dan jjutawan yang amat hebat, tetapi tanpa asas taqwa menyebabkan bidang ekonomi dan dimonopoli oleh mereka yang hanya memperkayakan diri tanpa ada rasa simpati rasa tanggungjawab bagi membantu dan mendidik umat dan anak bangsa sampai dapat mencapai kejayaan yang sama. Kemajuan bidang politik yang tidak berasaskan taqwa hanya melahirkan persaingan mencari kekuasaan mengumpul harta kekayaan. Kemewahan dan kekayaan hasil bumi negara-negara Islam yang tidak bertunjangkan ketaqwaan hanya memperlihatkan ketundukan kepada sandiwara barat dalam memerangi keganasan.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Renungilah sifat-sifat orang yang bertaqwa sebagaimana disifatkan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 1-4 :
الم(1)ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ(2) الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ(3) وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ(4)
Alif Lam Mim , Itulah kitab yang tiada keraguan bagi orang yang bertaqwa, iaitu mereka yang beriman dengan perkara-perkara ghaib serta mendirikan sembahyang, dan menafkahkan rezeki yang kami kurniakan, dan mereka yang beriman dengan apa yang diturunkan kepadamu dan apa yang diturunkan sebelumnya dan mereka benar-benar yakin dengan hari akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
No comments:
Post a Comment